Sunday, 18 August 2013

'Saya Ketua Menteri untuk semua'


MELAKA 15 Ogos - Ketua Menteri, Datuk Idris Haron menafikan beliau hanya mengutamakan orang Melayu sejak memegang tampuk pentadbiran kerajaan negeri pada 7 Mei lalu.

Tegasnya, beliau tidak bersikap rasis terhadap kaum lain sebaliknya orang Cina, India, Chetty, Portugis dan lain-lain tidak pernah diabaikan, sebaliknya diberikan layanan sama rata.

''Dakwaan yang mengatakan saya hanya menjaga kepentingan orang Melayu dan bersikap rasis terhadap kaum lain di negeri ini adalah tidak benar sama sekali.

''Saya adalah Ketua Menteri untuk semua kaum, bukan hanya untuk satu kaum iaitu untuk orang Melayu atau Cina tetapi untuk semua kaum termasuk India, Portugis, Chetty dan sebagainya," katanya pada Majlis Meraikan Genap 100 Hari Dilantik Sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-10 Menggantikan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada majlis serba ringkas itu, beliau memotong kek yang disumbangkan kakitangan Jabatan Ketua Menteri.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Datuk Latipah Omar dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar.

Mengulas mengenai genap 100 hari beliau menjadi Ketua Menteri, Idris berkata, beliau mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak yang tidak sangsi dengan kepimpinannya.

''Signifikannya genap 100 hari saya menjadi Ketua Menteri ialah untuk melihat saya berjaya melepasi tahap ini dengan sempurna.

''Alhamdulillah, dari hari pertama mengangkat sumpah seterusnya melantik Exco kemudian mempengerusikan mesyuarat kerajaan negeri serta agensi, menguruskan masa serta berdepan isu seperti Jonker Walk dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, sokongan padu daripada ahli mesyuarat kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan serta agensi lain banyak membantunya melaksanakan pentadbiran negeri tanpa sebarang masalah.

''Kalau nak diikutkan siapa Idris, berapa lama dia main politik, tetapi hari ini sudah duduk sebagai Ketua Menteri dan kerusi Perhubungan UMNO negeri tetapi ini adalah sokongan daripada abang dan kakak saya seperti Ahmad (Hamzah), Othman (Mohamad), Latipah (Omar) dan ramai lagi," katanya.

Justeru, beliau mengharapkan sokongan padu daripada semua pihak termasuk rakyat untuk mengemudi Melaka ke mercu yang lebih tinggi pada masa akan datang.
 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: