Sunday, 18 August 2013

Promosi produk pelancongan desa


 Kolam Air Panas Gadek Alor Gajah


MELAKA 13 Ogos - Kerajaan negeri akan meningkatkan usaha mengembangkan produk-produk pelancongan di kawasan luar bandar raya ini bagi memastikan ia terus menjadi tarikan baharu kepada pelancong ke Melaka serta tidak dipinggirkan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad berkata, banyak produk pelancongan negeri sebelum ini hanya tertumpu di daerah Melaka Tengah.

Menurutnya, banyak lagi produk pelancongan di luar bandar seperti di daerah Alor Gajah dan Jasin yang menarik dan berpotensi memberi pulangan namun ia kurang dikunjungi.

"Oleh itu, kerajaan negeri akan memberi fokus untuk mengembang dan mempromosikan lagi produk-produk pelancongan luar bandar ini agar ia dapat dijadikan produk pelancongan tambahan yang memberi faedah kepada ekonomi penduduk setempat dan negeri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ghazale berkata, antara tempat-tempat menarik yang jarang dikunjungi termasuk Air Panas di Gadek dan Bemban serta Perigi Portugis di Merlimau.

"Selain itu, kita juga mempunyai Rumah Tradisional Penghulu Mad Natar, Merlimau serta Halaman Tiga Budaya di Asahan yang mana tapak itu menemukan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

"Produk pelancongan ini akan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi penduduk setempat jika dapat diketengahkan kepada orang ramai termasuk dari dalam dan luar negara.

"Usaha ini juga dilihat mampu mengagihkan perkembangan ekonomi kepada pelancongan luar bandar termasuk kepada para pengusaha kraf tangan, peniaga makanan dan lain-lain yang bergantung kepada kedatangan pengunjung," jelasnya.

Dalam masa sama katanya, kerajaan negeri turut akan sentiasa menambah baik produk-produk pelancongan di kawasan bandar untuk memastikan ia terus diminati pengunjung.

"Ini termasuk pembangunan fasa dua Sungai Melaka sejauh enam kilometer yang dilihat dapat memberikan tambahan produk pelancongan dan tarikan baharu kepada pelancong ke negeri ini," katanya.

 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: