Sunday, 18 August 2013

Melaka tumpuan pelancong sempena cuti sekolah, raya


MELAKA 14 Ogos - Cuti persekolahan dan Hari Raya Aidilfitri sejak seminggu lalu tidak menghalang para pelancong dari dalam dan luar negara untuk terus membanjiri negeri yang sarat dengan sejarahnya yang tersendiri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Bandar Hilir di sini hari ini mendapati kawasan tumpuan pelancong terutama sekitar bangunan Stadhuys dan Kota A Famosa mula dibanjiri pelancong sejak awal pagi lagi.
Kunjungan yang tidak pernah surut malah semakin bertambah sejak minggu lalu memberi manfaat kepada golongan peniaga.

Bagi mereka, cuti persekolahan dan hari raya bagaikan membuka ruang rezeki buat mereka apabila barangan kraf tangan yang dijual membuahkan pendapatan berganda.
Seorang peniaga, Ahmad Nasrudin Hussein, 54, berkata, sejak enam tahun berniaga di kawasan bangunan Stadhuys, setiap kali cuti persekolahan dan hari raya pasti bilangan pelancong turut bertambah.
"Alhamdulillah, rezeki sentiasa ada malah, berganda setiap kali cuti persekolahan dan hari raya.
"Kunjungan pelancong ke Melaka pada waktu cuti ini ternyata membawa banyak manfaat kepada kami para peniaga.

"Syukur setakat ini kami tiada masalah berniaga di sini malah, gembira menerima kunjungan yang ramai ini," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi peniaga, Fadil Yahya, 30, yang menjual pelbagai kemeja T berkata, sejak lapan tahun berniaga di kawasan yang sama, dia tidak berdepan dengan sebarang masalah dari segi jualan.

Katanya, cuti persekolahan dan hari raya serentak membolehkan orang ramai terutamanya pelancong domestik berkunjung ke negeri ini.

"Fenomena ini sudah biasa buat kami para peniaga dan sudah menjadi lumrah untuk kami menerima ramai pembeli pada waktu cuti begini.

"Alhamdulillah bukan hanya dari segi kunjungan pembeli bertambah malah pendapatan kami juga bertambah," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: