Saturday, 13 July 2013

Projek Pengindahan Sungai Melaka berjalan lancar, dijangka siap Jun 2014



MELAKA 12 Julai - Projek Pengindahan Sungai Melaka sepanjang 5.2 kilometer yang bermula dari Jambatan Hang Tuah hingga ke Pintu Kawalan Air Batu Hampar berjalan lancar dan dijangka siap pada Jun tahun hadapan.
Timbalan Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau, Datuk Ghazale Muhamad berkata, pada masa ini, kerja melebar dan mendalamkan sungai sedang giat dijalankan selain kerja mengukuhkan tebing sungai.
Menurutnya, infrastruktur seperti stesen teksi air dan jeti juga telah berjalan dan apabila kerja pembinaan itu siap, projek pengindahan akan diteruskan dengan membina trek jalan kaki di samping basikal di kiri serta kanan tebing sungai.
"Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan kerana selepas kerja mendalam dan melebarkan sungai selesai, kerja mengukuhkan tebing akan dilaksanakan sebelum kerja landskap dan pengindahan dapat dilakukan.
"Bagaimanapun saya yakin pihak kontraktor yang dilantik dapat menjalankan kerja mengikut jadual yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan projek berkenaan di sepanjang Sungai Melaka di sini kelmarin.
Turut hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Baharom Majid serta wakil daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Ghazale berkata, projek itu dibahagikan kepada tiga pakej utama iaitu pakej satu dari Jambatan Hang Jebat ke Jambatan Tun Razak sepanjang 2.4 kilometer, pakej dua (Jambatan Tun Razak ke Jambatan Melaka Sentral sejauh 1.2 kilometer) dan pakej tiga (Jambatan Melaka Sentral ke Pintu Kawalan Air Batu Hampar sejauh 1.6 kilometer).
Difahamkan, pakej satu dijangka siap sepenuhnya pada November ini, diikuti pakej tiga iaitu pada April 2014 dan pakej dua pada Jun 2014 yang melibatkan kawasan sungai yang berliku-liku.


sumber utusan

No comments: