Saturday, 13 July 2013

MBMB naik taraf 20 persimpangan lampu isyarat


MELAKA 12 Julai - Sebanyak 20 persimpangan empat lampu isyarat di Bandar Raya Melaka akan dinaik taraf melibatkan kos sebanyak RM1.2 juta bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di waktu puncak dan hujung minggu serta cuti umum.
Penolong Pengarah Kejuruteraan (Lalu Lintas dan Kerja Awam) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mazlan Mohd. Said berkata, kesemua lampu isyarat yang telah dikenal pasti itu akan mula dinaik taraf menggunakan sensor aliran kontra perkongsian masa mulai tahun hadapan.
Menurutnya, antara persimpangan lampu isyarat yang telah dikenal pasti ialah di Kota Laksamana, Jalan Laksamana, Hotel Ramada Plaza dan Jalan Bunga Raya.
Beliau berkata, sensor aliran kontra itu paling praktikal digunakan untuk mengurangkan masa menunggu dan mempercepatkan kelancaran kenderaan di setiap persimpangan empat lampu isyarat khususnya yang sering berlaku kesesakan.
''MBMB telah mula mengunakan sensor aliran kontra perkongsian masa ini di persimpangan empat lampu isyarat Melaka Sentral, Plaza Wang di Bachang dan terbaharu di Taman Malinja Lebuh AMJ.
''Berdasarkan kajian, masa menunggu dari 295 saat telah dapat dikurangkan kepada 220 saat manakala kelancaran pergerakan kereta pula daripada 48,269 meningkat kepada 60,440 sehari," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat persimpangan empat lampu isyarat Taman Malinja Lebuh AMJ dekat sini hari ini.
Persimpangan tersebut akan dinaik taraf menggunakan sensor aliran kontra melibatkan kos sebanyak RM19,710.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Sallehuddin Abd. Rahman.
Mazlan berkata, antara kelebihan sistem baharu itu apabila pergerakan kenderaan berkurangan di satu laluan, lampu isyarat akan secara automatik dari lampu hijau bertukar ke merah.
''Lampu isyarat susur ke kiri atau kanan persimpangan empat akan berfungsi memberi laluan kepada kenderaan lain dan sekali gus mengurangkan kesesakan di lampu isyarat," katanya.
Sementara itu, kata Mazlan, MBMB akan memasang lampu isyarat di simpang empat berdekatan bank OCBC Jalan Merdeka mulai 17 Julai ini.
Menurutnya, pemasangan lampu isyarat tersebut dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas akibat pertembungan kenderaan dari arah Jalan Merdeka ke Hotel Equatorial ke Jalan Melaka Raya.
Ujarnya, kos pemasangan sebanyak RM130,500 itu dijangka siap dalam tempoh empat minggu iaitu pada 7 Ogos ini.

sumber utusan

No comments: