Thursday, 17 January 2013

Jambu air Asahan dikomersialkan



JASIN 16 Jan. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri bakal mengkomersialkan tanaman buah jambu air yang dilihat berpotensi untuk bersaing dengan pasaran buah-buahan tempatan yang lain.
Pengurus Ladang Kontrak Melaka dan Negeri Sembilan, Mohd. Ariff Miskon berkata, selepas Mangga Delight diperkenalkan di negeri ini, jambu air turut memperlihatkan sambutan menggalakkan daripada para pembeli ketika berlangsungnya karnival dan jualan buah-buah segar yang dianjurkan oleh FAMA.
Menurutnya, pihak FAMA negeri juga telah mengenal pasti petani ladang kontrak yang mengusahakan tanaman jambu air di Asahan yang berjaya mencapai tahap pasaran tempatan dengan menghasilkan buah-buahan berkualiti tinggi untuk dikomersialkan secara meluas.

"Melalui program ladang kontrak ini, pihak kami akan memberikan jaminan pasaran dengan membantu mereka memasarkan hasil pertanian secara terus di pasar tani, selain menyediakan khidmat sokongan pemasaran serta pengaturan pasaran dan insentif bimbingan.

"FAMA juga membantu para petani mengikut keperluan mereka dengan mendapatkan harga yang lebih baik manakala bagi pengguna mereka akan mendapat harga yang murah dan berkualiti untuk buah-buahan tersebut," katanya semasa ditemui dalam majlis penyerahan alatan khemah kepada petani ladang kontrak di Kampung Relau, Asahan di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Unit Ladang Kontrak, Yusoff Said serta Md. Nor Sun dari Unit Komunikasi dan Korporat FAMA negeri.
Mohd Ariff berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 500 petani ladang kontrak di negeri ini sejak diwujudkan pada tahun 2007 yang bertujuan menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan pengeluar, selain memastikan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti dan menepati kehendak pasaran.

Katanya, melalui penyertaan petani ladang kontrak ini akan membantu mereka mendapat kemudahan dalam pemindahan teknologi di sepanjang rantaian bekalan bagi meningkatkan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran.

Sementara itu, petani ladang kontrak, Jeson Liow Joon Seng berkata, tanaman jambu air yang diusahakan di tanah berkeluasan 3.9 ekar itu mampu memberikan pulangan sehingga RM20,000 dengan menghasilkan lima tan metrik sebulan.

"Saya mula menyertai ladang kontrak di bawah FAMA sejak enam bulan lalu untuk memperluaskan pasaran jambu air di negeri ini serta sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Berbeza dengan buah jambu air lain, buah ini mempunyai rasa lebih manis dan rangup," katanya

Jeson mengusahakan tanaman itu sejak tujuh tahun lepas, yang mana tanaman buah jambu airnya itu mengambil tempoh tiga hingga lima tahun sebelum berjaya dikomersialkan.

Tambah Jeson, dia juga berjaya mendaftarkan nama Jambu Air Asahan pada hujung tahun lalu dan bakal mengusahakan Jambu Air Giant pada pertengahan tahun ini yang mana buah jambu itu bersaiz tapak tangan.


sumer : Utusan Malaysia