Thursday, 29 March 2012

Malaysia pertimbang ambil pembantu rumah Myanmar

NAYPYITAW, Myanmar 29 Mac – Malaysia sedang mempertimbangkan untuk mengambil rakyat Myanmar berkhidmat sebagai pembantu rumah.Malaysia telah menyatakan pertimbangan tersebut kepada Myanmar pada lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Myanmar yang berakhir hari ini.

Najib telah menyatakan kemungkinan untuk memberi peluang kepada rakyat Myanmar bekerja sebagai pembantu rumah kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatannya Khamis.

Namun, katanya, perkara itu memerlukan rundingan lanjut antara kedua-dua negara tersebut."Kita perlu perbincangan lanjut mengenai perkara ini, kita tidak tahu terma dan peraturannya."Jika termanya dapat diterima, sudah pasti kita akan mempertimbangkannya,” katanya.

Najib berkata Malaysia bersifat terbuka berhubung pengambilan rakyat Myanmar untuk berkhidmat sebagai pembantu rumah.Sambil menyifatkan rakyat Myanmar sebagai “rakyat yang sopan”, Najib berkata ia tidak menjadi sesuatu yang sukar untuk meneruskan dengan cadangan itu jika mereka mampu dapat menyesuaiakn diri dengan budaya di Malaysia.

Dalam pada itu, Najib berkata beliau telah memaklumkan kepada Myanmar bahawa kira-kira 250,000 rakyat Myanmar telah didaftarkan di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P). - BERNAMA

SPR: Daftar sebelum Ahad ini


PUTRAJAYA 28 Mac - Rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pemilih sebelum Ahad ini berpeluang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), jika pilihan raya diadakan selepas bulan Jun tahun ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, daftar pemilih bagi suku pertama tahun ini akan berakhir pada 31 Mac dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun (DPT ST) 1/2012 dijangka diwartakan pada bulan Mei ini.

"Kalau (pemohon) tidak terlibat dengan bantahan, mereka layak mengundi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi pada suku tahun pertama tahun ini layak untuk mengundi pada PRU-13 sekiranya pilihan raya UMUM diadakan pada bulan Jun ke atas.