Friday, 24 February 2012

Planet baru diliputi air ditemui


NEW YORK 22 Feb. - Beberapa penyelidik dari Pusat Harvard-Smithsonian bagi Astrofizik di Amerika Syarikat (AS) mendakwa mereka menemui sebuah planet baru yang diliputi air.

"GJ1214b adalah sebuah planet diliputi air serta diselubungi atmosfera yang tebal dan berwap," jelas Pusat itu dalam satu kenyataan selepas meneliti planet itu dengan Teleskop Angkasa Lepas Hubble (HST) milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).

"GJ1214b adalah sebuah planet baru dan sebahagian besarnya terdiri daripada air.

"Andainya seorang angkasawan mendarat di planet itu, dia akan mendarat di dalam air panas," kata Zachary Berta, seorang ahli astronomi.

Planet itu ditemui pada 2009 oleh Projek MEarth yang berpangkalan di bumi.

Planet GJ1214b yang digambarkan sebagai ''super-Earth'', sebesar 2.7 kali diameter bumi dan beratnya hampir tujuh kali ganda bumi.

Kajian lanjut pada 2010 memberi petunjuk kepada saintis untuk mengandaikan sebahagian besar planet GJ1214b (suhu sekitar 232 darjah Celsius) diliputi air.

Andaian itu disahkan oleh Berta dan penulis bersama yang menggunakan HST untuk mengkaji planet GJ1214b apabila melintasi di hadapan bintang.

Cahaya bintang yang ditapis melalui atmosfera planet itu, membuktikan campuran gas serta menyokong teori wap air.

"Ukuran HST mempunyai keseimbangan atmosfera yang berwap," kata Berta.

Ukuran dan anggaran selanjutnya turut memberi petunjuk kepada saintis bagi memutuskan bahawa planet GJ1214b mengandungi lebih banyak air berbanding bumi. - AFP