Sunday, 13 November 2011

Dakwat kekal tak perlu pinda perlembagaan



KUALA LUMPUR, 13 Nov: Pakar perlembagaan Profesor Abdul Aziz Bari berkata, penggunaan dakwat kekal semasa pilihan raya boleh dilakukan tanpa pindaan Perlembagaan Pesekutuan.

Menurut Abdul Aziz yang juga Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), pendiriannya itu berdasarkan perinsip 'jika tiada yang menghalang, ia adalah sah dan dibenarkan'.

“Dalam undang-undang, cukup mudah; jika tiada yang menghalang, ia adalah sah dan dibenarkan. Malah, pelajar undang-undang tahun satu juga tahu hal itu,” kata Abdul Aziz dipetik Malaysiakini.

Beliau juga dilapor berkata, tidak timbul kemungkinan keputusan pilihan raya boleh dicabar di mahkamah jika dakwat kekal diperkenalkan tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau tidak tahu dari mana ahli Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) bagi pembaharuan sistem pilihan raya, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad mendapat tanggapan itu.

Sebaliknya, kata Abdul Aziz, pandangan pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan dan presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee bahawa perlembagaan tidak perlu dipinda bagi penggunaan dakwat kekal adalah betul.

“Ambiga dan Lim adalah betul: tak perlu pinda perlembagaan. Malah, saya katakan saya pasti 100 peratus, tak perlu pinda.

“Seperkara, adakah terdapat sebarang peruntukan dalam perlembagaan yang menghalang penggunaan dakwat kekal?

Semalam, semasa pendengaran awam, Mohd Radzi dilaporkan berkata kemungkinan keputusan pilihan raya boleh dicabar di mahkamah jika sistem itu diperkenalkan tanpa meminda perlembagaan persekutuan.

PAS gesa kaji semula guru kerja 9 jam sehari



KUALA LUMPUR, 13 Nov: PAS menggesa kerajaan mengkaji semula projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang dilaksanakan di Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor.

Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Idris Ahmad ketika mengulas perkara itu berkata, tindakan itu dilihat tidak wajar memandangkan guru memang sedia terbeban pada masa ini termasuk tugasan selain mengajar.

"Rasional apakah guru-guru terpaksa bekerja selama 9 jam? Sebenarnya guru-guru di Malaysia sudah sedia terbeban, bukan sahaja Pembelajaran dan Pengajaran.

"Malahan guru sudah menjadi "multi purpose" kerana semua perkara guru terpaksa melakukan. Guru juga pemandu Ambulan jika pelajar sakit, menjadi polis trafik ketika pelajar keluar sekolah, pengawal disiplin, pegawai kewangan kalau ia guru kelas, menjadi kerani untuk masuk markah," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Idris, Kementerian Pelajaran sepatutnya mencari jalan untuk menyenangkan guru-guru supaya mereka berada di zon selesa, kerana di tangan mereka yang akan melahirkan modal insan yang berguna untuk masa akan datang.

"Mungkin ada orang cemburu kerana guru banyak mendapat cuti berbanding dengan mereka yang berada di pejabat. Tetapi perlu diingat tugas guru bukan sahaja di sekolah, malahan kerja mereka berterusan sehingga balik ke rumah. Kerana kerja latihan pelajar perlu diperiksa, persiapan mengajar perlu dibuat. Budaya ini berlainan dengan mereka yang bekerja di pejabat, selesai sahaja waktu pejabat ia tidak perlu dibawa balik ke rumah," katanya lagi.

Kerajaan juga ujarnya perlu membanyakkan kemudahan dan membina banyak sekolah supaya mengurangkan bilangan pelajar di dalam sebuah kelas.

Banyak sekolah pada hari ini katanya dibina lebih 20 tahun dahulu dan sudah tidak mampu menampung pertambahan penduduk di sekitarnya sehingga suasana di dalam bilik kelas tidak lagi ada keselesaan kerana bilangan pelajar yanga begitu ramai.

Beliau menasihatkan kerajaan agar tidak jadikan guru sebagai makmal percubaan, sepertu sebelumnya ketika perlaksanaan PPSMI.

"Sekarang terdapat lambakan lebihan opsyen Sains dan Matematk seramai 26000 orang. Pihak Kementerian juga perlu selesaikan masalah graduan Universiti Perguruan Sultan Idris yang tidak ada penempatan bertugas.

"Atas asas inilah maka Pakatan Rakyat menjanjikan RM500 sebulan kepada guru-guru jika diberi mandat ke Putera Jaya. Ini sebagai penghormatan kepada guru-guru yang mendidik rakyat di negara ini," katanya.

Raja Bhumibol pengsan akibat banjir



BANGKOK: Raja Thailand berdepan masalah kesihatan yang menyebabkan beliau tidak sedarkan diri, kata anaknya Puteri Chulaborn yang, mengaitkan kejadian itu dengan tekanan berikutan krisis banjir yang melanda negara berkenaan.

Berita meluas mengenai masalah kesihatan Raja Bhumibol Adulyadej, 83, dianggap Puteri Chulabhorn sebagai tidak menyenangkan ketika Thailand masih belum pulih daripada banjir yang menenggelami kawasan pedalaman dan sebahagian Bangkok.
Lebih 500 penduduk maut manakala kemusnahan dianggarkan bernilai berbilion dolar dan tengah Bangkok masih diancam bencana alam itu.
Chulabhorn, anak bongsu Raja Bhumibol kelmarin berkata ketika melawat mangsa banjir di wilayah Nonthaburi di utara Bangkok, bapanya tidak sedarkan diri selepas mengalami pendarahan perut dan tekanan darah rendah mendadak.

Berita rasmi disiarkan kelmarin menyatakan kesihatan Raja Bhumibol kembali pulih selepas menerima rawatan di hospital.

Raja Bhumibol yang ditabalkan pada 1950, dimasukkan ke hospital September 2009 apabila Istana Diraja berkata beliau dirawat kerana demam dan keletihan melampau.

Puteri itu berkata, doktor memberitahu pendarahan mungkin disebabkan kebimbangan berhubung banjir teruk di Thailand.
Chulabhorn tidak memaklumkan bila kejadian berlaku tetapi kenyataan menunjukkan ia terjadi lebih seminggu lalu. Beliau menyatakan mengenai perkara itu pada 7 November lalu walaupun tidak secara terperinci.

Kelmarin beliau berkata ia berlaku pada hari sama raja itu melawat mangsa banjir di Ayutthaya, juga berhampiran Bangkok. Beliau tyurut melawat kuil Buddha di situ pada 4 November lalu.

Raja Bhumibol dilihat sebagai ikon perdamaian dalam masyarakat Thai, dan masalah kesihatan Raja Bhumibol berkebetulan dengan masalah di negara itu. Thailand berdepan krisis sejak rampasan kuasa tentera pada 2006 yang membawa ketidakstabilan politik, berikutan bantahan jalanan ganas.

Kelibat Raja Bhumibol yang jarang kelihatan di khalayak ramai turut menimbulkan persoalan mengenai apa yang akan berlaku selepas kematiannya. Anak lelakinya dan pewaris takhta, Putera Mahkota Vajiralongkorn, tidak mendapat penghormatan dan kemuliaan sama seperti bapanya daripada rakyat. – AP