Friday, 11 November 2011

Timur Turki gempa lagi

VAN 10 Nov. – Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi terperangkap di bawah runtuhan dua buah hotel dan bangunan lain apabila satu gempa bumi menggegarkan timur Turki malam tadi, tidak sampai tiga minggu selepas gempa bumi melanda kawasan sama yang menyebabkan 600 orang maut.

Gempa berukuran 5.7 pada skala Richter itu berlaku 16 kilometer ke selatan bandar Van pada pukul 9.23 malam tadi (3.23 pagi ini waktu Malaysia), menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).Gegaran itu menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh buah bangunan termasuk dua hotel di Van dan kira-kira 14 struktur lain di bahagian lain kawasan tersebut runtuh, lapor stesen televisyen kerajaan, TRT.

TRT melporkan sekurang-kurangnya 100 orang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan tersebut, termasuk 70 orang yang dilaporkan menginap di sebuah hotel terbabit.Setakat ini 21 orang berjaya diselamatkan dan dibawa keluar hidup-hidup daripada runtuhan kedua-dua hotel terbabit, lapor stesen televisyen itu.

Pasukan penyelamat mengeluarkan seorang wanita warga Jepun daripada runtuhan Hotel Bayram hampir enam jam selepas gegaran berlaku, lapor agensi berita kerajaan, Anatolian.Wanita tersebut, Miyuki Konnai menganggotai pasukan penyelamat dan bantuan Jepun yang dihantar ke Van selepas gempa bumi pertama, kurang tiga minggu lalu.Konnai mengalami kecederaan tetapi dilaporkan sedar ketika dibawa keluar daripada runtuhan dan kelihatan bercakap dengan pekerja penyelamat semasa dibawa ke sebuah ambulans.Bagaimanapun beliau meninggal dunia kemudian di hospital.

Siaran televisyen menunjukkan penduduk yang panik melarikan diri ke jalan-jalan raya di Van dan ambulans berkejar dengan siren dibunyikan.Gempa bumi malam tadi merupakan antara gegaran susulan yang berlaku selepas gempa berukuran 7.6 pada skala Richter melanda timur laut Van pada 23 Oktober lalu.Ratusan gegaran susulan berlaku sejak itu dan beribu-ribu mangsa masih berlindung di dalam khemah-khemah sementara dalam cuaca sejuk. – Reuters