Tuesday, 8 November 2011

PM Greece setuju letak jawatan


ATHENS 7 Nov. – Perdana Menteri Greece, George Papandreou semalam bersetuju untuk meletakkan jawatan dan para pemimpin politik dijadual bermesyuarat hari ini untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan baru bagi menamatkan krisis politik di negara ini.

Persetujuan itu dicapai selepas pertemuan hampir dua jam antara Papandreou, ketua pembangkang Antonis Samaras dan Presiden Carolos Papoulias,

“Persetujuan dicapai bagi membentuk sebuah kerajaan baru untuk memimpin negara ini menghadapi pilihan raya selepas mengesahkan keputusan yang diambil oleh Majlis Eropah pada 26 Oktober lalu,” menurut satu kenyataan pejabat Presiden.

Keputusan itu merujuk kepada perjanjian Kesatuan Eropah (EU) yang mengurangkan hutang Greece sebanyak hampir satu pertiga.

Perjanjian EU itu telah terancam disebabkan situasi politik tidak menentu di Athens, dengan para pemimpin Eropah mengugut untuk tidak meluluskan dana pinjaman yang melindungi Greece daripada diisytiharkan muflis.

“Papandreou sudah pun menyatakan beliau tidak akan mengetuai kerajaan baru.

“Esok (hari ini) rundingan akan diadakan antara Perdana Menteri dengan ketua pembangkang mengenai calon Perdana Menteri baru dan kerajaan baru,” menurut kenyataan itu.

Presiden juga dijadual mengadakan mesyuarat dengan para pemimpin politik hari ini. – AFP