Monday, 7 November 2011

Arab Saudi guna peralatan moden sempena musim haji


RIYADH 6 Nov. - Pihak berkuasa Arab Saudi menggunakan peralatan elektronik terkini dan moden bagi mengawal kebanjiran dan pergerakan berjuta-juta jemaah haji dari seluruh dunia sempena musim haji kali ini.

Pegawai Kementerian Hubungan Agama, Sheikh Talal al-Uqail berkata, kementerian itu menghantar 3.25 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada telefon bimbit jemaah bagi memaklumkan prosedur betul dalam mengerjakan haji bagi membendung 'perkara yang berbahaya'.

''Mesej itu yang bertujuan membetulkan kesalahan yang dilakukan oleh jemaah dan ia diselia oleh lebih 3,000 guru agama, penterjemah dan pentadbir,'' katanya yang dipetik oleh agensi berita rasmi SPA.

Pada masa sama, Menteri Haji Arab Saudi, Fuad al-Farsi berkata, pihak berkuasa negara ini juga mengikuti dan menguruskan pergerakan setiap jemaah dengan menggunakan alat pemantauan elektronik.

Polis agama pula menerbitkan video dan dokumen bimbingan kepada jemaah di laman web YouTube melalui alamat http://www.youtube.com/user/movieshajj.

Buat pertama kali pada tahun ini, pergerakan haji dapat disaksikan secara langsung di YouTube melalui youtube.com/hajjlive.

Setakat ini tiada kemalangan buruk dilaporkan sepanjang musim haji kali ini. - AFP