Saturday, 29 October 2011

Terengganu jadi pilihan, NS mantap


KUALA LUMPUR – Terengganu menjadi pilihan untuk menjulang Piala Malaysia pada final di Stadium Shah Alam hari ini.

Namun, pengalaman beraksi pada perlawanan akhir serta dibarisi pemain berpengalaman, menjadikan harapan Negeri Sembilan tidak boleh diketepikan.

Itu ramalan jurulatih bola sepak negara menjelang aksi kemuncak bola sepak negara hari ini.

Bagi jurulatih Terengganu, Irfan Bakti, pasukannya mempunyai rangkaian pemain terbaik untuk menjulang Piala Malaysia buat kali kedua selepas kali terakhir pada 2001 ketika menewaskan Perak 2-1.

Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah pula lebih selesa jika pasukannya dilabel sebagai underdog.

Sebaliknya, dia menganggap Terengganu sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Malaysia pada final hari ini, berdasarkan prestasi skuad Penyu musim ini.

Menganggap Terengganu merupakan pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia, Azraai berkata, rekod menjuarai Piala FA dan keupayaan muncul naib juara Liga Super membuktikan skuad Penyu merupakan pasukan yang lebih konsisten.

Ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusof pula menyifatkan kehadiran bekas rakan sepasukannya di Terengganu ketika memenangi Piala Malaysia 2001, Hairuddin Omar, serta beberapa lagi pemain berpengalaman menjadikan Negeri Sembilan pasukan yang perlu dihormati.

Ketua pasukan Negeri Sembilan, Shukor Adan berkata, pengalamannya yang pernah beraksi pada pentas akhir bukan kelebihan.

“Bermain buat kali ketiga berturut-turut dalam perlawanan akhir Piala Malaysia saya tidak fikir bukan satu kelebihan buat kami.

“Tiap kali perlawanan akhir, ia adalah satu pentas yang berbeza buat setiap pemain, perasaan gementar itu sentiasa ada sebelum melangkah ke dalam padang.

“Tambahan berdepan Terengganu yang semakin konsisten dan mempunyai barisan serangan paling berbisa, perlawanan esok (hari ini) bukan satu perlawanan yang mudah buat Negeri Sembilan,” katanya.

Saintis ulang eksperimen "lebih laju dari cahaya"


PARIS 29 Okt- Para saintis yang mengejutkan dunia fizik dengan laporan ujikaji zarah yang bergerak melepasi had laju alam semesta berkata semalam bahawa mereka sedang mengulangi eksperimen yang mencetuskan perdebatan itu.

"Ujian yang baru telah bermula dua atau tiga hari lalu," kata Timbalan Ketua Institut Fizik Nuklear dan Fizik Partikel Kebangsaan Perancis (IN2P3), Stavros Katsanevas.

"Para pengkritik mengatakan bahawa keputusan kami adalah kesilapan statistikal. Ujian yang baru ini akan membantu kami menjawab kritikan itu," katanya kepada AFP.

Pada 23 September, pasukan itu mengejutkan ahli-ahli fizik partikel dengan mengatakan mereka telah berjaya mengukur neutrino yang bergerak sekitar enam kilometer sesaat lebih pantas daripada halaju cahaya yang diputuskan oleh Einstein sebagai kelajuan yang paling tinggi boleh wujud.

Neutrino itu telah diukur melalui trajektori sepanjang 732 kilometer antara Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) di Switzerland dan sebuah makmal di Itali.

Menerusi transformasi yang kompleks beberapa daripada proton tiba di destinasi sebagai neutrino dengan perjalanan merentas kerak bumi.