Thursday, 20 October 2011

PM ajak peminat tonton perlawanan United dengan City di Seri Perdana



KUALA LUMPUR 19 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak mempelawa peminat bola sepak untuk bersama-sama beliau menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris, Manchester United menentang Manchester City di kediamannya, di Seri Perdana, Putrajaya pada pukul 8 hingga 11 malam, Ahad ini.

Kata Perdana Menteri, mereka yang berminat boleh mendaftar di laman web 1Malaysia di http://www.1malaysia.com.my/sunday-night-football/ dan berpeluang menonton perlawanan itu bersama seorang rakan.

Beliau yang juga peminat setia Manchester United menambah, pendaftaran itu akan dibuka bermula esok (20 Oktober) sehingga pukul 5 petang Jumaat ini.

''Selepas dua kali menonton perlawanan bola sepak bersama-sama peminat bola di kawasan terbuka iaitu di Bukit Bintang dan Putrajaya, saya berpandangan sudah tiba masanya untuk saya pula menjadi 'tuan rumah' dengan menganjurkannya di Seri Perdana pada malam Ahad, 23 Oktober ini.

''Jemputan ini juga bagi membolehkan saya meluangkan masa secara santai (lepak) dengan rakan-rakan Facebook dan Twitter saya," katanya dalam entri terbaru bertajuk Mari Berjumpa Mari Berhubung: Sunday Nite Football @ Seri Perdana di blognya hari ini.

Bahaya spa ikan


Kementerian Kesihatan nasihat orang ramai henti terapi ikan

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan memberi amaran risiko terapi ikan atau lebih dikenali sebagai spa ikan kerana boleh menyebarkan pelbagai penyakit berbahaya, termasuk Hepatitis C, HIV/AIDS dan tibi serta beberapa penyakit lain yang berjangkit menerusi bawaan air.

Himpun diteruskan tanpa Pas


KUALA LUMPUR 19 Okt. - Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (Himpun) akan meneruskan perhimpunan mempertahankan akidah umat Islam di Shah Alam, Sabtu ini walaupun Pas membuat keputusan untuk tidak menyertai program tersebut.

Pengerusi Bersama Himpun, Mohd. Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, pihak sekretariat akan mengumpulkan seberapa ramai masyarakat Islam daripada pelbagai latar belakang atas semangat persaudaraan demi mempertahankan akidah yang satu.

Sesungguhnya beliau berkata, dorongan perhimpunan itu bertitik-tolak daripada keprihatinan terhadap amanah dan tanggungjawab kepada Allah atas kepentingan akidah tauhid yang satu dan bukan menyentuh untuk kepentingan mana-mana parti politik.

''Namun begitu, ingin saya jelaskan di sini bahawa kehadiran parti-parti politik termasuk seluruh kepimpinan dan ahlinya adalah amat dialu-alukan. Oleh itu, kami terus membuka undangan kepada semua kepimpinan Islam dari semua parti politik supaya turut serta dalam perhimpunan ini.

''Kami benar-benar mengharapkan semua pihak memahami bahawa isu yang hendak ditampilkan oleh Himpun ini berkaitan dengan persoalan mempertahankan akidah umat Islam daripada tergugat, pada masa sama mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini bagi mengulas keputusan Pas untuk tidak terlibat di dalam program Himpun Sabtu ini.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pihaknya telah dimaklumkan bahawa program itu tidak melibatkan parti-parti politik dan oleh itu, Pas mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.

Mengulas lanjut Azmi berkata, di dalam perhimpunan itu pihaknya mahu menyampaikan mesej bahawa akidah umat Islam mesti dipelihara dan diperkukuhkan dalam sebuah negara berbilang agama.

Satu lagi mesej jelas beliau, ialah mengenai penegasan berhubung larangan menyebarkan dan mengembangkan agama selain Islam kepada umat Islam yang sepatutnya dihormati dan tidak dicabar.

''Melalui perhimpunan ini kita juga mahu menyampaikan mesej supaya semangat perhubungan yang harmonis antara semua penganut agama perlu dipertahankan berdasarkan hak dan kebebasan beragama seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan,,'' ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Penasihat Kehormat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, keengganan Pas menyertai perhimpunan itu membuktikan parti tersebut berkiblatkan kuasa semata-mata.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai talam dua muka, beliau turut mendesak Pas supaya membuat pertimbangan untuk kembali ke pangkal jalan semula dengan menyertai perhimpunan ini.

"Tindakan Pas seolah-olah menolak realiti wujudnya cabaran keruntuhan akidah umat Islam yang berleluasa di negara ini.

"Kenapa Pas menggadai prinsip asas agama ini? Adakah mereka (Pas) melihat kuasa politik itu lebih besar daripada perjuangan mendaulatkan agama? Adakah menjaga hati rakan-rakan pembangkangnya lagi penting?'' soalnya.

Tambah Ahmad Zaki, sepatutnya Pas dengan imej Islamnya berada di barisan paling hadapan bagi menangkis gejala murtad dan bukannya bertindak mengecewakan masyarakat Islam kerana enggan terlibat.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman yakin perhimpunan itu akan menerbitkan nilai-nilai positif di kalangan penganut agama lain terhadap Islam.

''Melalui perhimpunan ini kita akan mengingatkan mereka supaya menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bukannya bertindak mencetuskan ketegangan agama,'' katanya lagi.-utusan

Samsung-Apple masih mesra


SEOUL 19 Okt. - Hubungan perniagaan antara Samsung Electronics Co. dan Apple Inc masih kukuh namun tindakan saman pelanggaran hak cipta oleh syarikat telekomunikasi Amerika Syarikat (AS) tersebut terhadap rakan perniagaannya mungkin memutuskan hubungan itu pada masa depan.

Apple membeli beberapa komponen utama untuk produk telefon pintar iPhonenya dari syarikat Korea Selatan itu walhal Samsung merupakan pesaing terbesarnya dalam pasaran telefon pintar berkenaan.

Laporan menyatakan tindakan undang-undang pelanggaran hak cipta oleh Apple itu mungkin menjejaskan perjanjian baru dengan Samsung dalam membekalkan komponen kepada syarikat telekomunikasi AS tersebut.

Ketua Operasi Samsung, Lee Jae Yong berkata, beliau sudah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook 'selama dua, tiga jam'.

''Kebanyakan perbincangan dengan Cook melibatkan penghantaran komponen kepada Apple yang dipersetujui akan diteruskan sehingga 2013 dan 2014,'' katanya selepas pulang dari majlis memperingati pengasas Apple, Steve Jobs yang meninggal dunia di AS.

Jemputan Cook kepada Jae Yong itu menimbulkan persoalan apakah kesan kepada pertikaian undang-undang hak cipta antara kedua-dua syarikat telekomunikasi gergasi tersebut.

Spekulasi timbul bahawa Apple mungkin menukar pembekal komponen di Taiwan ekoran pertikaian berkenaan.

Ditanya kesan perbincangan itu terhadap pertikaian undang-undang antara kedua-dua syarikat, Jae Yong berkata, kes saman itu merupakan isu berasingan yang akan dibincangkan oleh peguam mereka.

Samsung kelmarin memfailkan tindakan undang-undang di Jepun dan Australia bagi menghalang penjualan model terbaru iPhone atas dakwaan Apple melanggar hak cipta paten telefon bimbitnya. - dpa