Wednesday, 19 October 2011

Terminal kapal angkasa pertama Virgin Atlantic dibuka secara rasmi



LONDON 18 Okt. - Jutawan Britain, Richard Branson hari ini merasmikan pembukaan lapangan terbang kapal angkasa yang pertama di dunia bernilai AS$209 juta (RM627 juta) bagi memberi peluang kepada pelancong untuk terbang ke orbit.

Terminal itu dibina di kawasan gurun di New Mexico dan akan memulakan operasi pada tahun depan.

Terminal tersebut akan menempatkan kapal angkasa Virgin Galactic, pusat kawalan misi dan kawasan menunggu khas apabila penerbangan pertama dijangka berlepas pada akhir 2012.

Semasa upacara pembukaan, jutawan tersebut disertai Gabenor New Mexico, Susana Martinez, angkasawan Buzz Aldrin serta orang ramai bagi menyaksikan ciptaan unik itu.

Syarikat Virgin kini dalam usaha melakukan ujian roket di lapangan terbang itu.

"Lapangan terbang itu sangat hebat dan menjadi antara yang paling unik di dunia.

"Kami berharap mempunyai sumber kuasa yang mencukupi untuk melakukan penerbangan ke angkasa lepas menjelang 2012," kata Branson.

Sementara itu, kira-kira 450 orang telah membeli tiket untuk menyertai penerbangan ke orbit dengan 150 daripada mereka hadir pada upacara pembukaan tersebut.

Sebelum memasuki kawasan hangar, pengunjung disajikan dengan simulator penerbangan kapal angkasa WhiteKnightTwo yang akan menjadi kapal utama untuk membawa penumpang ke orbit.

Tambang bagi penerbangan ke orbit menaiki kapal angkasa WhiteKnightTwo melibatkan kos sebanyak AS$200,000 (RM600,000) bagi perjalanan pergi balik.

Penerbangan ke orbit itu dijangka mengambil masa selama dua jam setengah dan penumpang berpeluang menyaksikan Bumi dari orbit serta berada dalam keadaan terapung-apung, yang sebelum ini hanya dialami oleh angkasawan. - AGENSI