Friday, 14 October 2011

Rich vs Poor: How Parents Wealth Helps Or Hurts Children

Bali kena gempa dari dasar laut


50 cedera gegaran magnitud 6.1 dirasai sehingga Pulau Jawa, Lombok

BALI: Gempa bumi kuat pada magnitud 6.1 menggegarkan Pulau Bali, destinasi pelancongan popular Indonesia, semalam menyebabkan penduduk panik selain menjadi punca sekurang-kurangnya 50 orang cedera, ramai luka di kepala dan ada yang mengalami patah tulang.
Kajian Jabatan Geologi Amerika menyatakan, gempa bumi itu berpusat 100 kilometer barat daya pulau itu pada kedalaman 60 kilometer di bawah dasar laut.
Walaupun ia tidak mencetuskan amaran tsunami, gempa bumi itu dirasai beratus-ratus kilometer hingga ke Pulau Jawa dan Lombok.

“Gempa itu menyebabkan saya terjatuh dari motosikal,” kata seorang mangsa yang cedera, Miftahul Chusna.

Antara yang cedera termasuk seorang pelajar dan tiga guru apabila siling sekolah menengah mereka runtuh, kata wakil agensi bencana alam tempatan, I Gede Tejo.

Pegawai perhubungan awam untuk Hotel Sanur Beach, Candy Juliani, berkata gempa bumi itu menyebabkan keadaan kelam kabut dan tetamu bergegas keluar bilik dan berada di jalan.
“Kami ada laluan kecemasan untuk situasi seumpama ini. Tetapi, semua orang panik dan tidak menghiraukannya,” katanya.

Agensi Meteorologi, Cuaca dan Geofizik Indonesia (BKMG) berkata, magnitud gempa itu adalah 6.8, sedalam 10 kilometer.

Siling di beberapa sekolah dan pejabat serta kuil Hindu purba di sepanjang pantai turut rosak manakala dinding retak.

“Saya masih ketakutan. Tiada kerosakan besar berlaku tetapi ada barang yang terjatuh dari dinding. Ia amat kuat,” kata Stuart McDonald, seorang penduduk Australia.

Gegaran juga dirasai selama beberapa minit di kawasan pelancongan utama, Kuta, kata Endro Tjahjono, pegawai Agensi Meteorologi, Cuaca dan Geofizik. – Agensi

Protes anti-Wall Street terus merebak


NEW YORK 12 Okt. - Protes anti-Wall Street sejak tiga minggu lalu di New York terus merebak apabila sekumpulan 500 penunjuk perasaan Occupy Wall Street berhimpun di hadapan kediaman orang kaya di Manhattan, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Setelah menerima tekanan daripada tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan di Boston, kumpulan itu turut berarak melalui laluan sepanjang Upper East Side yang menempatkan kediaman taikun media, Rupert Murdoch dan pakar industri konservatif, David Koch.

"JP Morgan tidak bagus! Rakyat perlukan Robin Hood!" pekik penunjuk perasaan ketika berarak di luar blok apartmen mewah yang turut didiami pengurus eksekutif syarikat kewangan terkemuka itu, Jamie Dimon.

Kediaman Datuk Bandar New York yang kaya, Michael Bloomberg turut berada di kawasan itu.

Tuntutan supaya orang kaya AS membayar lebih banyak cukai adalah permintaan utama Occupy Wall Street yang turut disokong oleh parti sayap kiri dan kesatuan sekerja.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mereka menahan 129 orang penunjuk perasaan di Boston semalam, antara tindakan keras terbesar ke atas pergerakan Occupy Wall Street.

Jurucakap Jabatan Polis Boston, Eddy Chrispin berkata, majoriti penahanan dibuat kerana penunjuk perasaan berhimpun secara haram.

Di Washington, polis menahan enam penunjuk perasaan yang memasuki bangunan pejabat Senat dan memekik slogan kira-kira selama 15 minit sebelum pengawal keselamatan menyuraikannya.

Penunjuk perasaan di New York yang marah dengan tindakan kerajaan menyelamatkan bank-bank berpangkalan di Wall Street, mula berhimpun pada 17 September lalu, membawa kepada demonstrasi berterusan yang semakin menarik perhatian dan kini sudah merebak ke bandar raya lain di AS. - AFP

Suplemen vitamin E boleh sebabkan kanser


WASHINGTON 12 Okt. - Penyelidik Amerika Syarikat (AS) hari ini memberi amaran pengambilan suplemen vitamin E boleh menyebabkan risiko menghidap kanser prostat meningkat sebanyak 17 peratus.

Berdasarkan satu ujian terhadap 35,000 lelaki sejak 10 tahun lalu, penyelidik mendapati penghidap penyakit kanser itu menghadapi risiko lebih tinggi dengan pengambilan suplemen vitamin E, berbanding selenium atau plasebo.

"Makanan suplemen yang mengandungi vitamin E nyata sekali meningkatkan risiko kanser prostat di kalangan lelaki," jelas satu kajian yang disiarkan dalam jurnal Persatuan Perubatan Amerika.

Kajian itu dilakukan berdasarkan penyelidikan sebelum ini yang mencadangkan kebarangkalian selenium atau vitamin E boleh mengurangkan risiko menghidapi kanser prostat.

Kajian tersebut dijalankan pada 2001 dengan pembahagian kepada empat kumpulan.

Kumpulan pertama akan mengambil selenium, kumpulan kedua akan menerima 400 pil vitamin E unit antarabangsa secara harian dan kumpulan seterusnya diberi kedua-duanya serta yang terakhir akan menerima plasebo.

Sejumlah 620 lelaki dalam kumpulan pertama yang mengambil vitamin E menunjukkan risiko tinggi menghidap kanser prostat berbanding kumpulan kedua yang terdiri daripada 555 lelaki.

Kumpulan ketiga sebanyak 575 lelaki diberi selenium manakala 529 lelaki mengambil plasebo.

"Hasil pemerhatian terhadap peningkatan risiko menghidap kanser prostat sebanyak 17 menunjukkan potensi seolah-olah tidak berbahaya walaupun bahan-bahan aktif biologi seperti vitamin boleh memudaratkan kesihatan," jelas kajian tersebut. - AFP