Thursday, 13 October 2011

41 belia muflis setiap hari gagal urus kewangan


KUALA LUMPUR 11 Okt. - Seramai 41 belia Malaysia berumur lingkungan 21 hingga 40 tahun dianggarkan menjadi muflis setiap hari akibat kurangnya pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj berkata, belia merupakan golongan utama menghadapi masalah kewangan dan menjadi muflis berbanding orang dewasa akibat daripada perbelanjaan yang tidak terkawal.

"Antara punca utama adalah kerana urusan sewa beli seperti kereta, rumah dan penggunaan kad kredit.

"Apabila lebih 30 peratus daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang, seseorang itu sudah dikira mempunyai masalah kewangan.

"Ini menunjukkan betapa kurangnya kesedaran golongan muda berkaitan pengurusan kewangan mereka dan jika perkara ini dibiarkan, ia akan menjadi lebih teruk," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran program RINGGIT Pertama Saya di sini, hari ini.

Program RINGGIT Pertama Saya adalah kerjasama antara Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna Malaysia (ERA Consumer) dan Citibank Bhd. dalam usaha memupuk kesedaran kanak-kanak berhubung pentingnya pengurusan kewangan.

Program ini melibatkan 400 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun dari 20 buah tadika di seluruh negara.

Paul menambah, FOMCA menggesa kerajaan untuk memasukkan pendidikan pengurusan kewangan di dalam sistem persekolahan untuk memberi ilmu bersesuaian kepada kanak-kanak.

"Kita harus mendidik generasi akan datang mengenai pentingnya pengurusan kewangan dan usaha ini sebaiknya dimulakan dari peringkat sekolah lagi," ujarnya.

Penyanyi Ahmad Jais meninggal dunia


SHAH ALAM 11 Okt. – Penyanyi yang popular dengan lagu Lembaran Terakhir, Datuk Ahmad Jais meninggal dunia di Hospital Pakar Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) di sini kira-kira pukul 9.20 pagi ini.

Ahmad Jais atau nama sebenarnya, Mohamad Jais Ahmad, 75, meninggal dunia kerana komplikasi paru-paru setelah dimasukkan ke hospital berkenaan selama dua minggu.

Allahyarham yang dilahirkan di Kapar, Klang, meninggalkan lima anak dan 13 cucu.

Menurut anak keempat Allahyarham, Maimun, 31, sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar DEMC, arwah bapanya dimasukkan ke Pusat Perubatan KPJ.

“Hari ini merupakan hari yang ke-15 ayah dimasukkan ke DEMC dan ayah meninggal dunia pagi ini.

“Sebenarnya, sejak semalam lagi doktor memaklumkan kepada saya keadaan ayah tidak begitu baik.

“Jadi, sejak petang semalam lagi saya mula membacakan surah Yasin,” katanya ketika ditemui selepas jenazah Allahyarham yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21 dekat sini selepas solat zuhur.

Menurut Maimun, selain masalah paru-paru, Allahyarham bapanya menghidap asma dan selama berada di DEMC, arwah berada dalam keadaan koma.

Sebelum dikebumikan, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negeri untuk disembahyangkan.

Lagu-lagu hit Allahyarham Ahmad Jais termasuk Takwa dan Iman, Kucupan Azimat, Umpan Jinak di Air Tenang, Di Ambang Sore, Bahtera Merdeka, Azizah, Gelisah, Lembaran Terakhir dan Mengharap Sinar Menelan Kabus.

Allahyarham sepanjang penglibatannya sebagai penyanyi telah melahirkan 15 album berkonsepkan langgam dan asli.

Kali terakhir Allahyarham mengadakan persembahan ialah di Istana Budaya, Kuala Lumpur dalam Konsert Semalam Di Malaysia bersama kumpulan D’llyod pada Mei lalu.