Tuesday, 11 October 2011

Makin ramai golongan kaya Britain mahu berhijrah


LONDON 10 Okt. - Rusuhan di England, baru-baru ini mengakibatkan bilangan orang kaya negara ini menimbang untuk meninggalkan Britain terus meningkat.

Kaji selidik oleh Lloyds TSB International Wealth yang diterbitkan hari ini mendapati 17 peratus daripada 1,057 responden yang memiliki simpanan dan pelaburan melebihi 250,000 pound (RM1.27 juta) mahu berpindah ke luar negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

Angka itu meningkat daripada 14 peratus pada enam bulan lalu.

Sebanyak 61 peratus daripada mereka yang menimbang berpindah ke luar negara menyatakan bahawa jenayah dan kelakuan anti-sosial sebagai alasan utama mereka mengambil keputusan itu.

Jumlah itu meningkat daripada 43 peratus dan mengetengahkan kebimbangan yang timbul ekoran rusuhan di London dan beberapa bandar utama pada Ogos lalu.

''Rusuhan, kenaikan cukai dan peningkatan kos sara hidup menimbulkan suasana suram di kalangan rakyat kaya di United Kingdom.

''Ia akan mengembalikan kebimbangan penyusutan kekayaan daripada ekonomi kita, ketika orang kaya mencari tempat lain untuk tinggal,'' kata Pengarah Urusan Lloyds TSB International Wealth, Nicholas Boys Smith dalam satu kenyataan.

Rusuhan yang menyaksikan sejumlah kematian pada Ogos lalu itu berlaku selepas polis menembak mati suspek penjenayah di London.

Ia mencetuskan keganasan dan kerosakan harta benda di beberapa bandar utama Britain termasuk kedai dibakar dan dipecah masuk. - Reuters

Mampukah Bajet 2012 kembalikan kuasa 2/3 BN?

Dr Rosli Yaakop
Belanjawan 2012 cukup pemurah. Ada yang berlinangan air mata mengenangkan kemurahan hati Perdana Menteri Malaysia. Semua golongan mendapat habuan. Berjuta-juta orang murid sekolah yang belum layak mengundi pun mendapat habuan. Ibu penulis bakal mendapat RM3,000 sebab arwah ayahanda pernah menjadi AC di zaman penjajah.
Nampaknya, kerajaan UMNO-BN betul-betul mahu menjaga kebajikan rakyat – dan mesej itulah yang mahu diangkat setingginya - walaupun terpaksa bergadai bergolok dan dalam keadaan hutang negara semakin menimbun setelah masuk 14 tahun berbelanja boros. Ini betul-betul “Rakyat First” namanya. Hutang bertimbun tidak kesah. Bukan generasi ini yang akan membayar. Yang akan membayarnya generasi hadapan. Hai orang muda, tengoklah! Kerajaan UMNO-BN mewariskan kepada generasi hadapan hutang bertimbun bukan harapan segunung. Lihatlah negara Greek dan Amerika Syarikat. Akibat keborosan generasi lalu, generasi kini yang menanggung bebannya. Generasi lalu menikmati taraf hidup yang luarbiasa tingginya tetapi generasi kini hidup merempat.

Dalam tahun 2012, kerajaan UMNO-BN akan berbelanja RM232.8 bilion, 5.8% lebih tinggi berbanding anggaran belanjawan tahun 2011 (RM220 bilion). Hasil dianggarkan RM186.9 bilion menyebabkan difisit belanjawan sebanyak RM49.4 bilion atau 4.7% daripada KDNK. Ini bermakna kerajaan terpaksa berhutang lagi. Tiap-tiap tahun kerajaan menambah hutang dalam tempoh 14 tahun kebelakangan ini. Nampaknya, kerajaan UMNO-BN tidak mahu langsung mengambil iktibar daripada kerajaan Ireland, Greek, Itali dan Amerika Syarikat. Negara-negara ini berada di ambang keranapan disebabkan perangai suka berhutang.

Sepatutnya, dalam tahun-tahun ekonomi berkembang, longgokkan lebihan belanjawan supaya lebihan ini boleh dibelanjakan semasa ekonomi merosot. Disiplin fiskal ini ditolak ketepi oleh kerajaan UMNO-BN. Mereka berbelanja boros sepanjang masa tanpa langsung mengambil kira betapa beratnya generasi akan datang hendak menanggung beban keborosan generasi kini. Ini adalah pengurusan fiskal yang tidak bertanggungjawab. Dalam tahun 2012 mereka akan berbelanja boros lagi kerana kononnya hendak melawan impak negetif ke atas ekonomi negara akibat tren kitaran menurun yang dihadapi ekonomi dunia sekarang. Sebenarnya, kerajaan UMNO-BN berbelanja besar untuk membeli undi dalam PRU13 yang akan diadakan sebentar sahaja lagi. Ambil “Pakej Rangsangan Khas” dengan peruntukan sebanyak RM6 bilion sebagi contoh. Peruntukan ini akan dibelanjakan untuk menaikkan taraf dan membaik pulih bangunan sekolah dan membina bangunan tambahan, menaikkan taraf hospital, melaksanakan program tebat banjir, menaikkan taraf infrastruktur luar bandar dan membina rumah awam untuk golongan berpendapatan rendah dan nelayan. Setiap kali pilihanraya, inilah projek yang dilaksanakan.

Sayogia diketahui projek-projek ini semuanya tidak mempunyai “forward and backward linkages” yang besar dan tidak memberi impak terbaik untuk melawan kemelesetan ekonomi. Hakikatnyanya ialah, peruntukan ini hendak diagihkan secara segera kepada kontraktor-kontraktor kecil yang terdiri dari ketua-kutua cawangan dan bahagian parti tertentu sebagai “minyak pelincir” kepada jentera pilihan raya. Sudah 54 tahun kita merdeka, takkan rakyat tidak masak lagi dengan tipu muslihat kerajaan UMNO-BN ini? Jalan-jalan kampong yang diturap semula memang tidak berkualiti. Lepas tiga empat bulan ianya berlopak semula. Bangunan sekolah runtuh dan jambatan ruboh,

Belanjawan 2012 bukannya belanjawan satu Malaysia. Ia memberi kasih ke setengah-tengah wilayah dan mengabai dan menganaktirikan wilayah yang lain. Amalan pilih kasih yang keterlaluan oleh kerajaan UMNO-BN dalam pembangunan wilayah ini bukan perkara baru. Amalan buruk ini sudah sebati dan menjadi sebahagian dari perangai mereka. Contohnya, belanjawan 2012 memperuntukkan RM978 juta untuk membangunan lima gerbang wilayah - Lebuhraya pesisiran pantai Johor Baharu-Nusa Jaya di Iskandar, Johor, pembangunan pelancungan warisan di Taiping, skim agropolitan di Besut, Terengganu, projek gugusan industri sawit di Lahad Datu, Sabah dan projek bekalan air Samalaju di Sarawak. Tidak ada peruntukan untuk pempbangunan projek seperti ini di Kelantan dan Kedah semata-mata negeri-negeri diperintah oleh kerajaan selain dari UMNO-BN. Layanan yang diberi seolah-olah menunjukkan negara-negeri ini bukan sebahagian daripada Malaysia.

Penulis teringat peristiwa Gabenor Bank Negara Malaysia (Allahyarham Tun Ismail Mohd. Ali) pergi ke London (awalan tahun 1980an) melancarkan “Dawn Raid” bagi mengembalikan penguasaan syarikat perladangan terbesar di Malaysia (sekarang ini dikenali dengan nama Kumpulan Sime Darby) ke genggaman anak watan Malaysia. “Serangan komando” itu berjaya dan syarikat perlandangan itu kekal sebagai hakmilik rakyat Malaysia sehingga hari ini. Hari ini kerajaan UMNO-BN mahu membuka ruang bagi membolehkan pelabur antarabangsa menguasai sebuah syarikat perladangan bertaraf “blue chip” yang seratus peratus milik kaum Bumiputera dengan menyenaraikan syarikat itu di bursa saham. Kononnya, dengan penyenaraian itu penoraka FELDA akan menikmati “durian runtuh.” Pelik sungguh kerajaan UMNO-BN ini. Sesuatu yang berharga yang sudah ada di dalam tangan kaum Bumiputera mahu digadaikan kepada pelabur antarabangsa. Tidakkah mereka tahu peneroka FELDA LBJ Labu dan Sendayan di Negeri Sembilan pernah mendapat “durian runtuh” bila kerajaan Negeri Sembilan membeli tanah mereka kini telah kembali miskin? Hakikatnya, tanah yang tergadai tidak mungkin dapat ditebus kembali. UMNO menjaga kepentingan kaum pemodal yang rakus “at the expense of “ kaum Bumiputera yang miskin. Wahai kaum Melayu! Jadilah orang Yahudi yang membeli tanah bukan menjual tanah.

Sejarah memberi tahu kita bahawa tamaddun-tamaddun besar dunia – Greek, Farsi, kaum Ad, Thamud, Lut, Firaun dan lain-lain – ranap kerana keruntuhan akhlak. Nampaknya, kerajaan UMNO-BN tidak mahu mengambil iktibar dari sejarah khususnya dalam hal membangunkan modal insan. Ia masih kekal di dalam mode lama membangunkan modal insan dengan mengabaikan aspek pembangunan akhlak dan rohaniah. Belanjawan 2012 memperuntuk RM100 juta untuk melahirkan insan cemerlang, kreatif dan inovatif. Tiadak ada langsung bahagian daripada peruntukan ini mahu dibelanjakan ke arah mencemerlangkan aspek akhlak. Tidak terperanjat kita sekiranya di masa hadapan negara Malaysia akan akan menghadap masalah gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak se kronik yang dihadapi negara-negara barat hari ini akibat dari kecuaian membina insan yang berakhlak mulia. Bila kita membangunkan negara dan ummat mengikuti model Barat maka kita akan tersungkur macam negara Barat juga.

Tidak wajar mengajak rakyat menolak gula-gula yang ditawarkan Belanjawan 2012. Yang ditaburkan adalah harta rakyat, ambillah. Tetapi ingat, janganlah pemberian sekali (one-off gifts) itu menyebabkan kita menggadaikan pendirian yang membawa kerugian besar dalam lima tahun yang akan datang dan selanjutnya. Kerajaan UMNO-BN beri beras, tepong, gula, susu, minyak, kain batik, kain pelikat dan wang tunai, ambillah. Bila mengundi lain ceritanya kerana undi itu sulit. Ingat, selama 54 tahun UMNO-BN memerintah, wajah ekonomi, politik dan sosial Malaysia sudah menjadi cukup buruk. Tawaran-tawaran manis mereka itu tidak lain melain bahan “make-up” murahan untuk memperlihatkan wajah luaran yang anggun tetapi hakikatnya wajah dalamannya sudah terlalu hodoh dengan amalan rasuah, salahguna kuasa, boros dan memperkudakan institusi polis, kehakiman dan lain-lain.

Hari ini rakyat Malaysia hidup dalam zaman media baru yang mampu menyingkap wajah dalaman UMNO-BN betapa pun ia mahu disorokkan. Kalau mereka percaya rakyat Malaysia mudah sahaja termakan dengan gula-gula yang ditawarkan dan akan keluar berduyun-duyun memberi undi kepada mereka dalam PRU13 nanti, kerajaan UMNO-BN sebebarnya “ is sadly mistaken.”

Luar bandar juga akan tolak BN nanti


KUALA LUMPUR, 10 Okt: PAS yakin, penduduk luar bandar juga akan menolak BN sedikit waktu lagi dengan perkembangan pesat teknologi maklumat yang ada sekarang.

Ini kerana, BN tidak akan mampu mengawal media sebagaimana yang dilakukannya sekarang sehingga menyebabkan BN hanya disokong pengundi luar bandar.

Demikian kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) dalam kenyataanya kepada Harakhdaily.

Sehubungan itu, Perdana Menteri diberikan ingatan, dengan teknologi maklumat yang ada sekarang, penduduk luar bandar juga akan menolak BN apabila mereka mendapat maklumat yang tepat nanti.

"Walaupun penduduk luar Bandar tidak begitu pantas untuk mendapat maklumat semasa dan menapis propaganda BN, namun anak-anak mereka yang akan menyalurkan maklumat kepada ibu bapa dan orang kampung," katanya.

Idris berkata, ini akan berlaku kerana sebahagian besar penjawat awam dan eksekutif swasta berasal daripada luar bandar, dan merekalah yang menjadi duta maklumat Pakatan Rakyat di kawasan luar Bandar ketika mereka pulang ke kampung di hujung minggu.

"Fenomena ini bersedialah BN akan menjadi parti pembangkang di negara ini selepas PRU 13 apabila tembelang BN sudah diketahui oleh rakyat termasuk penduduk luar bandar," katanya.

Beliau memetik ingatan bekas presieden Amerika, Abraham Lincoln ada menyebut “Kamu boleh berbohong dalam satu masa, tetapi kamu tidak boleh berbohong dalam semua masa”

Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini melahirkan rasa bimbangnya kerana BN hanya parti yang disokong oleh penduduk luar Bandar sahaja.

Ia mengharapkan seluruh jentera BN bekerja keras supaya menarik perhatian penduduk bandar supaya menyokong BN.

"Inilah luahan rasa kebimbangan beliau ketika memberi taklimat kepada jentera BN Wilayah Persekutuan 9 Oktober 2011.

"Persoalannya sampai bila BN mampu mempertahankan sokongan di kalangan penduduk luar bandar sahaja? " soal Idris.

Bagi beliau, dunia sekarang sudah menjadi seperti satu kampung di era lebuh raya maklumat.

Sedikit masa lagi penduduk luar Bandar juga mampu memiliki kemudahan yang sama, pada waktu itu di manakah BN mahu bersembunyi.

Penduduk bandar yang mempunyai kelebihan untuk akses maklumat dengan lebih cepat tidak lagi boleh ditipu oleh media perdana BN malahan sebahagian besar mereka membakul sampahkan sahaja segala maklumat yang keluar daripada propaganda BN, katanya.

Ramai pekerja diperlakukan macam khadam


KUALA LUMPUR, 10 Okt: Rakyat Malaysia sehingga kini rata-ratanya masih berada dalam keadaan daif, manakala di kalangan pekerja pula masih juga terdapat mereka yang diperlakukan seperti khadam serta dibayar gaji di bawah paras kemiskinan.

40 peratus dari rakyat Malaysia tinggal di dalam isi rumah yang berpendapatan bulanan kurang dari RM1,500 sebulan, manakala tiga perempat dari golongan itu adalah berketurunan Melayu (Bumiputra) yang kononnya dibela oleh Umno BN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, namun dalam masa yang sama, kekayaan negara dipusatkan kepada segolongan kecil golongan kaya dan mahakaya, dengan 50 peratus kekayaan dan pendapatan yang dijana oleh ekonomi negara dibolot oleh golongan 20 peratus terkaya di negara ini.

Menurut beliau, sedangkan golongan 40 peratus terbawah yang rata-ratanya Melayu (Bumiputra) tidak ubah seperti melukut di tepi gantang yang hanya mendapat 15 peratus dari kekayaan dan pendapatan yang dijana.

Katanya, dalam keadaan seperti itu pun, masih wujud fenomena ketidakseimbangan di antara keperluan tenaga mahir dan tuntutan industri serta pergantungan kepada pekerja asing yang memberi kesan besar kepada pasaran kerja.

"Ini menyebabkan aliran wang tunai keluar negara sebanyak RM22 bilion setahun, sekali gus masih menjadi persoalan ekonomi mendesak yang perlukan penyelesaian segera," katanya ketika membahaskan Bajet 2012 Kerajaan Barisan Nasional pada persidangan Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Perdana Menteri menerusi Bajet 2012 yanbg dibentangkan 7 Oktober lalu, menurut beliau, menyandarkan angka pertumbuhan 5 hingga 6 peratus bagi tahun 2012 kepada perbelanjaan rakyat yang kononnya akan merancakkan penggunaan domestik.
Katanya, walaupun perbelanjaan domestik penting untuk menampung pertumbuhan ekonomi negara dalam suasana global yang tidak menentu, sandaran kepada perbelanjaan rakyat untuk meransang pertumbuhan ekonomi perlu lebih realistik dengan mengambil kira faktor harga barang meningkat dan gaji rakyat yang tersekat di takuk lama.

"Sebab itu Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 mengambil keputusan memperkenalkan kembali cukai dan eksais ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, alat kosmetik, celana dalam dan lain-lain kerana ia tidak memberi manfaat kepada rakyat terbanyak sedangkan kos pelepasan cukainya ditanggung oleh kerajaan.

"Maknanya, kita wajar prihatin dengan kebanyakan rakyat Malaysia yang terbeban dengan jumlah hutang yang membimbangkan," tegas beliau yang juga Ketua Umum PKR.

Pada akhir tahun 2010, menurutnya, jumlah hutang isi rumah yang ditanggung oleh rakyat Malaysia telah mencecah RM577 bilion bersamaan 77 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Katanya, nisbah jumlah hutang isi rumah kepada KDNK itu telah meningkat dua kali ganda semasa beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan, iaitu 33 peratus dalam tahun 1997 kepada 77 peratus apabila Perdana Menteri mengemudi Kementerian Kewangan di akhir tahun 2010.

"Pendapatan rakyat setiap bulan sebahagian besarnya dihabiskan untuk membayar hutang kereta dan rumah. Lantaran itu, rata-rata rakyat Malaysia masih berada dalam keadaan yang daif," katanya merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri 7 Oktober lalu, tegasnya, mengelak sepenuhnya dari menjawab persoalan kerangka asas ekonomi seperti yang dinyatakan oleh beliau itu.

Katanya, terdapat perbezaan yang besar di antara perubahan dasar yang membawa impak ekonomi yang berkekalan dengan membaiki kerangka dan sistem ekonomi, berbanding dengan pengumuman-pengumuman pemberian peruntukan dan hadiah wang tunai bagi satu tahun sahaja seperti yang dibuat oleh Perdana Menteri.

"Oleh sebab itulah, Pakatan Rakyat mengambil pendekatan dasar untuk membaiki kerangka ekonomi negara. Di antara tawaran Pakatan Rakyat yang sangat penting untuk membaiki struktur ekonomi negara adalah untuk memastikan dasar gaji minima terlaksana.

"Apa yang sangat ditakutkan kepada dasar gaji minima, sedangkan kajian Bank Dunia menunjukkan kadar RM1,100 seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat mampu ditanggung oleh majikan dan ekonomi," katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, katanya, seolah-olah lebih mengutamakan lobi taukeh-taukeh besar dan kroni mahakaya daripada keperluan jutaan rakyat yang sangat mengharapkan satu anjakan gaji yang menyeluruh meliputi 12 juta tenaga kerja di negara ini, bukannya gula-gula yang hanya memikat pekerja sektor awam tetapi mengenepikan kebajikan 90 peratus tenaga kerja yang lain.

"Oleh kerana pendekatan Belanjawan 2012 kerajaan Umno Barisan Nasional adalah penjenamaan semula yang pastinya akan melibatkan banyak peruntukan pengiklanan dan perunding, Dewan Rakyat berhak tahu secara teperinci berapa yang telah diperuntukkan kepada firma-firma asing dan tempatan bagi tujuan pengiklanan dan putar belit (spin).

"Berapa juga jumlah kontrak bagi tujuan ini yang telah ditandatangani?" tegas beliau.