Monday, 10 October 2011

Wanita panjat tembok istana 21 meter elak bayar RM12


NANJING 8 Okt. - Aksi seorang wanita, Ma Jei memanjat dinding tembok sebuah istana di timur China setinggi 21 meter bagi mengelak untuk membayar yuran masuk sebanyak 24.79 yuan (RM12.27) mengejutkan pelancong.

Jei yang memanjat tanpa bantuan tali atau peralatan keselamatan memberitahu, dia membesar di Nanjing, wilayah Jiangsu dan memanjat Istana Zhonghau itu sejak kecil dan tidak pernah membayar yuran masuk.

Bagaimanapun, beberapa pelancong yang cuba meniru aksi wanita tersebut mengakibatkan dua orang daripada mereka, jatuh dan patah kaki manakala tiga orang lagi perlu diselamatkan oleh polis.

''Cara dia memanjat tembok itu seperti seekor kambing gurun dan nampak mudah. Bagaimanapun, apabila orang lain mencubanya, ia tidak semudah itu,'' kata seorang pelancong. - Agensi

iPhone 4S terima tempahan besar


NEW YORK 8 Ogos - Syarikat telekomunikasi Amerika Syarikat (AS), AT&T semalam berkata, permintaan terhadap produk terbaru Apple, iPhone 4S amat mengejutkan apabila ia menerima tempahan awal sebanyak 200,000 unit dalam tempoh 12 jam.

iPhone 4S yang dilancarkan sehari sebelum kematian pengasas Apple, Steve Jobs akan mula dijual di AS dan enam negara lain pada 14 Oktober ini namun tempahan awal boleh dilakukan semalam.

Dua lagi syarikat telekomunikasi AS, Verizon Wireless dan Sprint turut menerima tempahan awal untuk produk terbaru Apple itu tetapi tidak mengumumkan tempahan yang diterima mereka.

Pelancaran produk itu mengecewakan beberapa penganalisis dan peminat kerana mempunyai persamaan dengan produk iPhone sebelum itu.

Ia bagaimanapun dilihat mempunyai tarikan dengan pengenalan pemproses laju seperti yang digunakan pada produk komputer tablet Apple, iPad selain teknologi sistem pengenalan suara dikenali sebagai Siri.

Peningkatan jualan produk terbaru iPhone itu juga dijangka dibantu oleh perasaan simpati terhadap kematian Jobs.

Di AS, harga iPhone 4S bermula pada AS$199 (RM597) untuk model 16 gigabait dan termahal ialah AS$399 (RM1,197) untuk model 64 gigabait. - AFP