Sunday, 2 October 2011

Warga Australia gemar bercuti


CANBERRA - Sama ada anda tersesat di Manchester, Britain atau sedang mendaki gunung di North Dakota, Amerika Syarikat, anda pasti akan terserempak dengan pelancong dari Australia kerana penduduk negara itu paling banyak melancong di dunia.

Keputusan tinjauan Global Travel Visa tahun ini menunjukkan, rakyat Australia membelanjakan paling banyak wang untuk melancong, dengan purata AS$3,600 (RM11,500) untuk satu lawatan berbanding purata antarabangsa sebanyak AS$1,900 (RM6,060).

Tinjauan itu juga menunjukkan tiga negara iaitu AS, Britain dan Jepun menjadi destinasi utama pelancong seluruh dunia di sebalik bencana alam dan kelembapan ekonomi.

Penduduk Arab Saudi juga berada pada kedudukan kedua bagi pelancong paling banyak berbelanja, dengan purata perbelanjaan AS$3,130 (RM9,980) untuk setiap percutian dan Malaysia, Mesir serta Emiriyah Arab Bersatu menjadi destinasi pilihan mereka.

Penderma Jepun tinggalkan RM415,000 di tandas awam


TOKYO - Bagaimana anda selalunya mendermakan wang kepada orang lain? Seorang penduduk di Jepun menggunakan cara paling pelik untuk mendermakan wangnya.

Penderma tidak dikenali itu meninggalkan wang tunai bernilai 10 juta yen (RM415,000) di dalam sebuah tandas awam di Jepun, beserta arahan duit itu mesti digunakan untuk membantu mangsa bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu, Mac lalu.

“Saya sendirian. Saya tiada masa depan jadi berikan wang ini kepada penduduk Tohoku,” menurut nota tulisan tangan itu, merujuk kepada bandar di utara Jepun yang musnah teruk dalam bencana buruk itu.

Pihak berkuasa Sakado mengesahkan, kelmarin, mengenai sebuah beg plastik berisi wang tunai itu yang ditemui di dalam tandas di bandar tersebut pada 22 September lalu.

Menurut pegawai majlis perbandaran di kawasan itu, wang tersebut akan diserahkan kepada persatuan Palang Merah Jepun jika penderma misteri itu tidak menuntutnya semula dalam tempoh tiga bulan.