Thursday, 22 September 2011

MPAG tukar lampu jalan jenis LED


ALOR GAJAH 21 Sept. - Ke arah merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai bandar teknologi hijau, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengorak langkah menggantikan lampu jalan konvensional kepada jenis lampu putih diod pemancar cahaya (LED).

Setiausahanya, Shadan Othman berkata, sebanyak 10 unit lampu berkenaan dipasang pada lima tiang lampu jalan di persimpangan Melaka World Sollar Valley yang merupakan projek kedua selepas pemasangan jenis sama di Pulau Sebang, Ogos lalu.

Menurutnya, lampu LED dilihat lebih efektif dalam menjaga alam sekitar kerana ia tidak melepaskan gas karbon dioksida berbanding lampu konvensional jenis sodium yang melepaskan gas berkenaan sehingga 80 peratus.

"Pemasangan lampu LED lebih mesra alam berbanding lampu konvensional yang mencatatkan bacaan pelepasan karbon dioksida yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja pemasangan lampu berkenaan di persimpangan Melaka World Sollar Valley, Rembia di sini hari ini.

Katanya, ia merupakan projek perintis dan akan dipantau selama enam bulan untuk melihat keberkesanannya secara menyeluruh sebelum dikembangkan ke seluruh daerah ini meliputi lampu isyarat, lampu di perhentian bas dan kawasan pejalan kaki.

Shadan berkata, selain mesra alam, lampu LED juga menyumbang kepada penjimatan kos dan penyelenggaraan serta penggunaan tenaga elektrik yang rendah.

"Saya dimaklumkan pihak kontraktor bahawa penggunaan lampu LED dapat menjimatkan kos dan jumlah guna tenaganya pula kurang 60 peratus berbanding lampu konvensional dan kadar kecerahan juga tiga kali lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, dari segi penyelenggaraan, lampu LED berupaya beroperasi selama 50,000 jam bersamaan kira-kira empat tahun berbanding lampu konvensional hanya mampu bertahan selama 10 bulan.

Tambahnya, penggantian lampu itu juga sejajar dengan matlamat MPAG dan kerajaan negeri untuk mewujudkan bandar selamat yang salah satu kriterianya adalah pencahayaan di kawasan berisiko berlaku jenayah.