Tuesday, 20 September 2011

Gasing ikon baharu pelancongan Melaka


ALOR GAJAH 19 Sept. - Permainan gasing akan menjadi ikon baharu pelancongan kerana dilihat berpotensi untuk dikembangkan sebagai produk pelancongan yang mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sebagai permulaan aktiviti berkenaan juga akan menjadi salah satu acara utama dalam kalendar acara pelancongan negeri mulai tahun depan.

Menurutnya, di samping itu kerajaan negeri akan membangunkan infrastruktur sebagai langkah membangunkan dan mempromosikan permainan tradisional itu.

''Kita akan memartabatkan semula permainan tradisional terutama gasing agar ia tidak pupus ditelan zaman dan dihidupkan semula untuk dijadikan produk pelancongan baru.

"Kerajaan negeri amat serius dan akan terus merealisasikan untuk memartabatkan permainan tradisional ini ke peringkat yang membanggakan," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis penutup Karnival Gasing Pangkah di Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop.

Mohd. Ali berkata, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan perlulah memainkan peranan penting dalam membantu persatuan gasing yang terdapat di setiap mukim supaya aktiviti berkenaan dapat dirancakkan lagi.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan menimbang cadangan untuk menaik taraf Gelanggang Gasing Perkasa di Kampung Ramuan China Besar dan membina pintu gerbang beridentitikan gasing di kampung berkenaan.

Dalam karnival gasing yang diadakan selama dua hari berakhir semalam itu, sebanyak 14 pasukan dari lima negeri iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Singapura mengambil bahagian.