Wednesday, 14 September 2011

Melaka optimis capai Bandar Teknologi Hijau


MELAKA 13 Sept. - Kerajaan negeri optimis dapat mencapai status Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020 melalui pelaksanaan pelbagai strategi termasuk pembinaan projek mega Melaka World Solar Valley di kawasan Rembia, di sini yang melibatkan pelaburan melebihi RM2 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, projek di atas tanah seluas 7246.23 hektar itu merupakan kawasan pembangunan teknologi hijau pertama di negara ini dan yang terbesar di dunia.

Menurutnya, prasarana itu bukan sahaja bakal mengeluarkan produk berasaskan teknologi hijau yang tenaganya boleh diperbaharui malah, berupaya memberikan nilai tambah kepada pendapatan rakyat negeri itu.

"Apabila projek ini siap kelak, penduduk akan memperolehi faedahnya kerana akan wujud peluang pekerjaan, perniagaan dan juga pembangunan insan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Seminar Pengurusan Buangan Terjadual Ke Arah Teknologi Hijau Peringkat Negeri Melaka 2011 di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Antara strategi yang telah dilakukan ke arah mencapai Bandar Teknologi Hijau adalah pelancaran Melaka Green City, penubuhan Akademi Teknologi Hijau Melaka dan melaksanakan beberapa projek kitar semula minyak masak terpakai sebagai sumber biodiesel.

Mohd. Ali berkata, bagi menjayakan matlamat berkenaan, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bermula daripada institusi kekeluargaan, agensi awam dan swasta serta sektor korporat.

"Kerajaan negeri telah bergerak aktif dalam menjayakan misi ini dan berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab bertepatan dengan slogan Melaka Maju, Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau," katanya.

Justeru itu, katanya, penggerak industri di negeri itu juga disaran menjalankan kajian mengenai pengurusan sisa buangan bersama pihak Akademi Teknologi Hijau Melaka, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (utem) serta Sirim bagi memastikan kaedah pelupusan sisa buangan bersifat mesra alam.