Thursday, 25 August 2011

Projek belon angkasa 2013



LONDON 24 Ogos - Usahawan yang suka melancong ke tempat-tempat yang 'luar biasa' akan berpeluang mengembara ke ruang stratosfera Bumi dengan menaiki belon udara dalam tempoh dua tahun dari sekarang, apabila siapnya projek belon angkasa oleh syarikat dari sepanyol.

Belon yang diberi nama The Bloon mempunyai ukur lilit 129 meter dan mampu terbang setinggi 35.4 kilometer.

Kos bagi menikmati pengalaman selama lima jam itu ialah kira-kira 90,000 pound (RM441,661) seorang, dan ia menawarkan 'pelancongan angkasa' untuk melihat bentuk lengkungan Bumi.

Keadaan dalaman kapal angkasa' itu agak selesa dengan kabin seluas 4 meter persegi, serta mampu memberi ruang selesa untuk dua juruterbang dan empat penumpang.

Semasa 'pengembaraan sekali seumur hidup itu', pelawat akan merasai pengalaman mengembara pada ketinggian di mana mereka boleh menikmati pemandangan matahari terbit.

Belon itu yang dijadual memulakan misi pertamanya pada 2013, merupakan idea sebuah syarikat Sepanyol, Zero 2 Infinity.

Syarikat itu mendakwa belon tersebut mampu terbang ke pelbagai arah dengan selamat untuk mendarat di tapak yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, Jose Mariano Lopez-Urdiales berkata, beliau mendapat inspirasi untuk menjalankan projek itu semasa berbual dengan ayahnya yang merupakan seorang ahli astronomi.

Setakat ini, dia telah menjalankan lima ujian penerbangan, yang mencapai ketinggian 32 kilometer, tiga kali ganda daripada ketinggian penerbangan kapal terbang

Semua rakyat Malaysia di Washington, Virginia selamat




KUALA LUMPUR 24 Ogos – Kesemua rakyat Malaysia, termasuk para pelajar di bandaraya Washington dan Virginia, Amerika Syarikat dilaporkan selamat berikutan kejadian gempa bumi yang melanda Virginia pada awal pagi waktu Malaysia.

Kementerian Luar berkata maklumat daripada Kedutaan Besar Malaysia di Washington dan Konsulat Jeneral di New York, bahawa kesemua rakyat Malaysia termasuk pelajar di kawasan yang menerima gegaran akibat gempa bumi itu selamat.

Satu gempa bumi berukuran 5.8 pada skala Richter melanda Virginia pada pukul 1.53 petang waktu tempatan Selasa, iaitu 1.53 pagi Rabu di Malaysia, dan gempa bumi itu turut dirasai di beberapa negeri kawasan pantai timur di negara itu termasuk Washington dan New York.

Setakat ini, keadaan di Washington dan Virginia adalah aman dan terkawal, menurut kementerian itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia di kedua-dua kawasan tersebut dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan dan konsulat dari semasa ke semasa, katanya.

Menurut kementerian itu bantuan akan diberikan oleh pihak kedutaan dan konsulat sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang menghadapi masalah berikutan kejadian gempa bumi tersebut.

Mereka juga boleh menghubungi kedutaan di talian am: 001-202-572-9795, konsular di 001-202-629-6718 dan emel ke malwashdc@kln.gov.my serta konsulat jeneral di New York di talian am: 001-212-490-2722/2723 dan emel malnycg@kln.gov.my. - Bernama

Gempa bumi luar biasa berlaku di tengah AS


WASHINGTON 24 Ogos – Satu gempa bumi berukuran 5.3 Skala Richter yang luar biasa menggegarkan penduduk di kawasan pergunungan sempadan antara Colorado dan New Mexico, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), semalam.

Gegaran berlaku pada pukul 1.46 petang semalam waktu Malaysia dengan pusat gempa terletak 290 kilometer selatan Denver, Colorado dengan kedalaman empat kilometer.

Media tempatan melaporkan kawasan yang terkena gempa bumi yang mempunyai penduduk yang tidak ramai itu merosakkan lebuh raya, beberapa buah bangunan dan berlaku runtuhan di beberapa buah jalan namun tiada kematian yang dilaporkan. - AFP