Tuesday, 16 August 2011

kartun sekolah


Kompaun RM250 jika merokok

MELAKA 15 Ogos - Orang ramai yang ditahan kerana merokok di lima kawasan yang telah diwartakan sebagai Zon Bebas Asap Rokok di negeri ini akan mula dikompaun sebanyak RM250.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azmi Hashim berkata, tempoh tiga bulan yang diberikan bagi menasihati orang ramai yang ditahan merokok di lima lokasi tersebut bermula dari 15 Jun lalu berakhir hari ini.

''Sepanjang tempoh itu kita sekadar memberi nasihat dan notis amaran tetapi mulai hari ini sesiapa sahaja yang ditahan kerana merokok di lima lokasi ini, mereka akan dikompaun sebanyak RM250.

''Jika gagal menjelaskan kompaun itu, mereka akan dihadapkan ke mahkamah di bawah Peraturan-Peraturan Hasil Tembakau 2004 dan jika didapati bersalah boleh didenda sehingga RM10,000 atau dua tahun penjara," katanya di sini, hari ini.

Lima lokasi yang telah diwartakan sebagai Zon Bebas Asap Rokok ialah Melaka Raya, Banda Hilir, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, pusat bandar Jasin dan Alor Gajah.

Beberapa tempat bersejarah yang menjadi tumpuan pelancong turut berada di kawasan diwartakan iaitu sekitar Bukit St. Paul, bangunan kerajaan, muzium, gereja, bangunan Stadthuys, Kota A' Famosa dan persisiran Sungai Melaka.

Dr. Azmi berkata, sebanyak 160 notis amaran dikeluarkan sepanjang tempoh tiga bulan lima kawasan tersebut diwartakan sebagai Zon Bebas Asap Rokok.

''Kebanyakan mereka yang diberi notis khususnya pengunjung luar yang memberi alasan tidak mengetahui tentang pewartaan Zon Larangan Merokok di lima kawasan tersebut," katanya.

Justeru kata beliau, jika mereka yang ditahan dan dikenakan kompaun, penguat kuasa Jabatan Kesihatan tidak lagi dapat menerima alasan yang diberikan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai yang berada di lima kawasan tersebut agar mematuhi pewartaan zon larangan merokok jika tidak mahu dikompaun sebanyak RM250.

Breivik lakonkan cara dia membunuh

OSLO 15 Ogos - Fanatik Kristian yang melakukan keganasan paling kejam dalam sejarah Norway, Anders Behring Breivik tidak menunjukkan perasaan menyesal sedikit pun apabila dia dibawa ke pulau Utoeya selama lapan jam untuk melakonkan semula insiden pembunuhan beramai-ramai itu.

"Bukannya dia tidak terganggu, tetapi dia tidak menunjukkan sebarang perasaan menyesal dengan tindakannya," kata pendakwa polis, Paal-Fredrik Hjort Kraby kepada wartawan di Oslo semalam, sehari selepas penyiasat membawa Breivik ke tempat dia mengamuk di pulau Utoeya pada 22 Julai lalu.

Breivik, 32 menembak mati 69 orang di pulau itu, kebanyakannya remaja yang menghadiri kem musim panas anjuran Parti Buruh, beberapa jam selepas dia mengebom pejabat-pejabat kerajaan di ibu negara Norway, menyebabkan lapan orang maut.

Hjort Kraby berkata, lawatan ke tempat kejadian kelmarin adalah penting bagi kes itu.

"Kajian menunjukkan kunjungan ke lokasi jenayah membantu mengembalikan ingatan.

"Breivik memberi banyak maklumat baru kepada kami, maklumat yang tidak kami peroleh sebelum ini sekalipun sudah menyoal siasatnya selama 50 jam," kata pendakwa polis itu.

Katanya, penyiasat kini mendapat gambaran agak jelas mengenai punca kematian mangsa atau bagaimana mereka ditembak, sekalipun masih ada butir yang belum lengkap.

Sesetengah mangsa mati lemas ketika cuba menyelamatkan diri dengan berenang ke tanah besar, tambah beliau.

Breivik dibawa dengan kawalan ketat ke pulau Utoeya, kira-kira 40 kilometer dari Oslo, dengan bot sama yang digunakannya pada hari serangan.

Pembunuh itu, peguamnya Geir Lippestad dan semua anggota polis memakai jaket kalis peluru, manakala helikopter polis berlegar di ruang udara ekoran kebimbangan pihak tertentu mungkin mahu melancarkan serangan untuk membalas dendam.

Breivik berkata, serangan ke atas Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Jens Stoltenberg adalah sebahagian 'perjuangan salib' untuk menyekat 'kebanjiran pendatang Islam' dan dasar berbilang budaya di Eropah. - AFP

Salji luar biasa landa New Zealand




WELLINGTON 15 Ogos - Penduduk New Zealand hari ini dikejutkan dengan keadaan cuaca pelik iaitu angin kuat yang datang dari Antartik dan membawa salji lebat turun di negara itu dan mengakibatkan penutupan jalan raya, lapangan terbang serta sekolah.

South Island merupakan kawasan yang paling teruk dilanda ribut tersebut tetapi ibu negara, Wellington di North Island menerima salji yang turun paling banyak dalam tempoh 40 tahun.

Ahli kaji cuaca memberi amaran cuaca akan bertambah buruk selepas ini kerana mereka menjangkakan salji akan turun dengan lebatnya di kawasan pergunungan di sekeliling Auckland, 66 kilometer ke arah utara.

Pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai terutama yang tinggal di kawasan yang paling teruk untuk tidak keluar dari rumah mereka.

Kebanyakan jalan utama di South Island tidak dapat dilalui dan polis menutup dua lebuh raya utama yang menghubungkan Auckland dan Wellington.

Lapangan terbang di Christchurch, Queenstown dan Dunedin ditutup, menyebabkan 150 orang penumpang yang terkandas untuk tinggal semalaman di dalam lapangan terbang tersebut.

Cuaca pelik itu disifatkan sebagai ribut yang hanya berlaku sekali seumur hidup sahaja dan lebih banyak salji dijangka akan turun selepas ini sehingga hujung minggu ini. - dpa

17 kampung masak 35 periuk bubur lambuk

MELAKA 14 Ogos - Hampir 1,000 peserta daripada 34 agensi termasuk 17 kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di sini membanjiri Pentas Budaya Pantai Puteri hari ini.

Semua mereka yang berkumpul di situ sejak pukul 9 pagi adalah bagi menyertai Majlis Masak Bubur Lambuk Perdana dan kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54.

Sambutan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan turut dihadiri ADUN Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahman Ab. Karim.

Menurut Mohd. Ali, beliau kagum melihat semangat kemerdekaan yang ditonjolkan penduduk kampung dan agensi terlibat dalam program itu walaupun diraikan dalam suasana umat Islam berpuasa.

“Saya difahamkan hari ini penduduk dari 17 kampung dan kakitangan daripada 17 agensi kerajaan dan swasta bergotong-royong dari pagi untuk menghasilkan 35 periuk bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai.

“Turut diraikan program konvoi mengibarkan Jalur Gemilang dan semangat inilah yang perlu ada di dalam diri setiap masyarakat,” katanya.

Menurut Ab. Rahman, program tersebut diadakan bertujuan meraikan dua sambutan bersejarah serentak.

Antara agensi yang terlibat katanya, ialah Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd., Jabatan Penjara, Majlis Sukan Negeri Melaka dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR).

Palestin teruskan permohonan

RAMALLAH 14 Ogos - Palestin akan mengemukakan permohonan untuk menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 September ini, tanpa mempedulikan tentangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki semalam berkata, Presiden Mahmoud Abbas sendiri akan mengemukakan permohonan itu kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pada pembukaan sidang ke-66 Perhimpunan Agung PBB pada 20 September ini.

"Abbas akan bertegas dengan inisiatif bersejarah itu dan Ban Ki-moon akan mengemukakan permintaan tersebut kepada Majlis Keselamatan," katanya.

Seorang pegawai kanan Israel mengkritik keputusan Palestin itu.

"Abbas nampaknya sudah memutuskan untuk mengelak daripada menjalankan rundingan langsung, dan langkah ini sudah dijangka dan dikesali.

"Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu terus berpendirian proses damai hanya boleh dimajukan menerusi rundingan langsung," katanya.

Menurut Maliki, Pihak Berkuasa Palestin (PA) memilih bulan depan kerana Lebanon yang bakal mengambil giliran sebagai Presiden Majlis Keselamatan akan berada dalam kedudukan kukuh untuk memajukan permohonan tersebut.

"Lebanon akan menduduki kerusi Presiden Majlis Keselamatan pada bulan depan dan ini akan membantu kami kerana Presiden Majlis memiliki beberapa hak istimewa yang memainkan peranan penting," kata Maliki yang menjangka lebih 130 negara mengiktiraf negara Palestin.

Berikutan kegagalan rundingan damai langsung dengan Israel pada September lepas, Palestin mengambil strategi diplomatik untuk meminta PBB mengiktiraf sebuah negara Palestin berdasarkan garis sempadan yang wujud sebelum Perang Enam Hari 1967.

Abbas mendedahkan beliau mengadakan empat pertemuan sulit dengan Presiden Israel, Shimon Peres untuk cuba mencari kompromi tetapi Netanyahu menggagalkan usaha itu, kata seorang pegawai Palestin semalam. - AFP