Friday, 12 August 2011

Mydin rai kanak-kanak kurang upaya

MELAKA 11 Ogos - Sempena Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelma, seramai 100 kanak-kanak kurang upaya diraikan apabila diberi peluang membeli barang keperluan hari raya di pasar raya Mydin, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Kesemua mereka yang merupakan penghuni Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) kawasan Parlimen Masjid Tanah, Alor Gajah, masing-masing menerima baucar membeli-belah bernilai RM100 sumbangan Anggota Badan Amal Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Melaka (Bistari) dan Mydin.

Program itu bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak kurang upaya membuat persiapan dan memilih pakaian serta kasut mereka sendiri.

Pengerusi Bistari, Datuk Asmah Abdul Rahman berkata, setiap kanak-kanak kurang upaya itu juga turut menerima duit raya berjumlah RM50 dan pek sumbangan Mamee.

Menurutnya, pasar raya Mydin menyumbang RM20 daripada nilai baucar membeli-belah yang diberi kepada kanak-kanak terbabit.

"Kita berharap melalui program ini anak-kanak kurang upaya ini akan menjadi lebih ceria untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Hadir sama Pengurus Mydin Ayer Keroh, Sreedran Sankaran.

Penggodam mahu 'bunuh' Facebook 5 November ini


SAN FRANCISCO 11 Ogos - Anggota kumpulan penggodam, Anonymous yang mengaku menggodam beberapa agensi penguatkuasaan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan syarikat permainan video Sony, merancang untuk 'membunuh' rangkaian sosial, Facebook.

Satu rakaman video dari kumpulan penggodam itu yang disiarkan di laman YouTube mendakwa 'Operasi Facebook' akan dilancarkan pada 5 November ini bagi memusnahkan rangkaian sosial itu kerana membolehkan pihak berkuasa menyalahgunakan maklumat peribadi penggunanya.

Bagaimanapun, jurucakap Anonymous memberitahu AFP, ketua-ketua kumpulan tidak pasti sejauh mana tahap serius ugutan itu kerana sistem kepimpinan kumpulan itu yang longgar tidak memiliki struktur kawalan yang khusus dan ahli-ahlinya menyembunyikan identiti mereka.

''Sejumlah anggota menyatakan ia akan berlaku manakala sejumlah anggota lagi memberitahu ia tidak melibatkan mereka dan ia merupakan satu tindakan bodoh,'' ujarnya.

Rakaman video tersebut memaparkan logo Anonymous berwarna kelabu dan satu suara diubahsuai secara digital mengumumkan rancangan untuk memusnahkan Facebook dan meminta penggodam lain turut serta dalam serangan siber itu.

Ia menuduh Facebook menyimpan data pengguna dan menyerahkan data berkenaan kepada pihak berkuasa.

''Sertai perjuangan ini dan bunuh Facebook demi privasi anda,'' kata suara dalam rakaman video itu yang ditonton lebih sejuta kali sejak disiarkan tiga minggu lalu.

Satu mesej dalam akaun Twitter milik Anonymous, Anonops mengesahkan sejumlah anggota cuba menganjurkan serangan terhadap Facebook tetapi pelan itu tidak mendapat sokongan majoriti.

Facebook enggan mengulas mengenai ancaman tersebut. - AFP

Video Asyraf tersebar



LONDON 11 Ogos - Satu rakaman video yang memaparkan seorang pelajar Malaysia dalam keadaan bingung dan berdarah 'dibantu' sekumpulan remaja yang menyamunnya, menjadi sinonim dengan rusuhan di London.

Video memaparkan Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, diserang dan disiarkan di laman web YouTube kelmarin, tersebar dengan meluas serta menjadi kejadian paling diingati dalam rusuhan selama empat hari di negara ini.

Muhammad Asyraf sedang berbasikal dengan seorang rakan di timur London tiga hari lalu untuk membeli juadah berbuka puasa apabila dikepung oleh sekumpulan 20 remaja dan kanak-kanak.

Mereka kemudian merampas basikal dan telefon bimbit Muhammad Asyraf selain menyerangnya menyebabkan tulang rahangnya patah.

Kejadian itu menggemparkan Britain, sehinggakan Perdana Menteri Britain, David Cameron menyifatkan kejadian itu sebagai satu tanda-tanda keruntuhan moral dan akhlak masyarakat di Britain.

''Terdapat sejumlah anggota masyarakat kita telah rosak akhlak dan moral.

''Apabila kita melihat kanak-kanak berumur antara 12 dan 13 tahun mencuri dan kemudian ketawa mengenainya, apabila kita lihat seorang lelaki muda cedera dengan orang ramai berlakon untuk membantunya tetapi sebaliknya menyamun dia, ia jelas menunjukkan ada yang tidak kena dengan masyarakat kita,'' katanya.

Seorang rakan Muhammad Asyraf, Dzuhair Hanafiah berkata, pelajar jurusan akaun itu dibiarkan sahaja tanpa bantuan selepas diserang. - AP

Bandar utama Britain tenang

LONDON 11 Ogos - Keadaan di bandar-bandar utama di Britain tenang hari ini selepas dilanda rusuhan dan kegiatan mencuri yang berleluasa sejak beberapa hari lalu sehingga mencetuskan kecemasan di negara ini.

Selain operasi besar-besaran polis di London dan bandar raya lain, hujan lebat di utara Britain turut membantu mengembalikan keadaan tenang awal hari ini, berikutan rusuhan selama lima malam berturut-turut.

Penduduk London mengecapi ketenteraman buat malam kedua malam tadi, sementara ke utara ibu kota, Manchester, Birmingham dan Liverpool yang mengalami kekacauan, kelmarin juga kembali aman.

Namun keadaan masih tegang dengan Polis Metropolitan terus menempatkan 16,000 anggota di kota London sekurang-kurangnya untuk satu malam lagi, malam ini.

Sementara itu, Perdana Menteri David Cameron menghadapi tekanan untuk mengkaji semula rancangan kerajaannya bagi memotong peruntukan kepada pasukan polis secara drastik di bawah langkah berjimat-cermat.

Pemotongan peruntukan itu dilaporkan bermakna bilangan anggota polis akan dikurangkan sebanyak 16,000 orang menjelang 2015.

Langkah itu ditentang keras oleh Datuk Bandar London, Boris Johnson yang berkata, sekarang bukanlah masanya untuk mengurangkan bilangan anggota polis dengan banyak.

Lewat hari ini, satu mesyuarat krisis Kabinet dijadual disusuli dengan sidang tergempar Parlimen selepas ahli dewan dipanggil balik daripada cuti musim panas.

Polis menangkap lebih 1,200 orang termasuk 888 di London berhubung rusuhan itu, sementara mahkamah bersidang siang dan malam untuk mengendalikan kes-kes suspek yang didakwa.

Di London, 371 orang telah didapati bersalah berhubung pelbagai kesalahan mengganggu ketenteraman awam.

Situasi di bandar raya Birmingham masih tegang hari ini selepas tiga lelaki keturunan Asia beragama Islam dirempuh oleh sebuah kereta ketika mereka cuba melindungi premis mereka. - dpa


Apple sekat jualan Samsung Galaxy

DUSSELDORF 11 Ogos - Apple berjaya mendapatkan perintah mahkamah di Jerman untuk menyekat Samsung daripada memasarkan keluaran komputer tablet terbaru mereka, Galaxy Tab 10.1 di Kesatuan Eropah (EU).

Dalam pertikaian terbaru mengenai paten dan hak cipta antara kedua-dua syarikat itu, perintah sekatan penjualan tersebut akan dilaksanakan di semua negara anggota EU kecuali Belanda, menurut satu sumber yang rapat dengan perundingan tersebut kepada agensi berita Jermandpa.

Perintah yang dibuat oleh mahkamah negeri Dusseldorf itu dikenakan ke atas anak syarikat Samsung di Jerman iaitu Samsung Electronics GmbH dan syarikat induk di Korea Selatan.

Keputusan dibuat ketika Samsung bersiap sedia untuk melancarkan keluaran terbaru mereka, Galaxy Tab 10.1 di Jerman bulan ini.

Apple turut memfailkan tuntutan saman sebanyak 250,000 (RM1.09 juta) atau hukuman ke atas syarikat Korea Selatan itu jika tidak mematuhi perintah tersebut.

Pertikaian ini mencapai kemuncak pada April lalu apabila Apple menyaman Samsung di Amerika Syarikat dengan mendakwa telefon Galaxy dan komputer tablet syarikat itu meniru perisian iPhone dan iPad, tetapi Samsung bertindak mengemukakan saman balas.

Sejak itu, pertikaian di mahkamah antara kedua-dua syarikat itu merebak ke beberapa negara dan pada awal Ogos lalu, Samsung menangguhkan pelancaran Galaxy Tab 10.1 di Australia ekoran Apple memfailkan tuntutan mahkamah bagi menghalang penjualan produk itu di seluruh dunia.

Mahkamah Australia turut mengarahkan Samsung menangguhkan pengiklanan dan pemasaran produk tersebut sehinggalah pertikaian itu selesai. - dpa