Monday, 8 August 2011

Tragedi tanah runtuh

CAMERON HIGHLANDS 7 Ogos – Tiga wanita maut, tiga parah manakala tiga lagi dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Tanah Rata di sini petang ini.

Kejadian yang berlaku pada pukul 5.45 petang itu turut mengakibatkan enam buah rumah tertimbus manakala tiga lagi terbenam terus.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Wan Zahri Wan Busu berkata, tanah runtuh itu berlaku selepas hujan lebat sejak semalam dan tiga mangsa yang parah ialah dua lelaki dan seorang wanita.

“Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan dan kita percaya ramai lagi penduduk yang tertimbus dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Sehingga pukul 12.00 tengah malam ini, katanya, dianggarkan tiga lagi mangsa masih tertimbus dalam runtuhan tanah itu.

Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil terletak di Tanah Rata dan kebanyakan penduduknya terdiri daripada masyarakat Suku Semai.

Menurut Wan Zahri, mangsa yang terkorban dan parah dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus membabitkan 120 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

95% perokok mampu berhenti merokok dalam bulan Ramadan





PUTRAJAYA: Kajian mendapati 95 peratus daripada perokok beragama Islam menyatakan lebih mudah untuk berhenti merokok dalam bulan Ramadan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata, berpuasa 14 jam sehari secara tidak langsung membantu perokok untuk lebih mudah berhenti kerana sepanjang tempoh itu mereka berupaya mengawal diri daripada merokok.
Justeru itu, Kementerian Kesihatan setiap tahun mempergiatkan kempen berhenti merokok menerusi program Nafas Baru Bermula Ramadan dengan slogan 'Ramadan titik permulaan untuk berhenti merokok'.

"Jadi gunakanlah kesempatan Ramadan ini kerana ia peluang terbaik bagi perokok berazam dan seterusnya meninggalkan tabiat merokok," katanya pada Seminar Pendidikan Fatwa-Merokok Adalah Haram di sini, baru-baru ini.


Dr Hasan berkata ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang mencecah RM3 bilion setahun, untuk merawat tiga penyakit akibat merokok seperti jantung, kanser paru-paru dan penyakit paru-paru kronik. -Bernama

Pasar Tani pra perayaan dibuka


ALOR GAJAH 7 Ogos – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri hari ini melancarkan empat pasar tani terpilih bagi jualan istimewa pra perayaan untuk memudahkan orang ramai mendapatkan barang keperluan sempena Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengarahnya, Mohd. Nawi Othman berkata, empat pasar tani terpilih itu ialah di Alor Gajah, Merlimau dan Klebang yang dibuka pada setiap hari Ahad bermula pukul 7 pagi sehingga 12 tengah hari manakala pasar tani Masjid Tanah beroperasi pada waktu sama setiap hari Sabtu.

Menurut beliau, pembukaan pasar tani jualan pra perayaan itu bertujuan membantu pengguna untuk mendapatkan barang keperluan terpilih pada harga yang lebih rendah berbanding pasar biasa.

“Sebagai contoh, di pasar tani ini daging lembu dijual pada harga RM18 setiap kilogram berbanding pasar biasa atau pasar malam berharga RM20 hingga RM22 setiap kilogram dan ayam proses RM7.60 setiap kilogram berbanding di luar RM8.50 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pasar tani terpilih bagi jualan istimewa pra perayaan di Pasar Tani Alor Gajah di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah FAMA Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Manon Jali.

Pada pelancaran itu, Mohd. Nawi berkata, FAMA turut mempamerkan kain rentang yang mengandungi senarai 17 barangan keperluan harian terpilih berserta harga jualan yang ditetapkan oleh pihaknya sebagai panduan kepada pengguna.

Langkah itu, katanya, sejajar dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang telah memberi tanggungjawab kepada FAMA untuk mengimbangi kenaikan harga barangan keperluan harian tersebut.

“Usaha ini diharap dapat memberi kemudahan kepada pengunjung pasar tani untuk mendapatkan bekalan barangan keperluan harian pada harga yang terbaik kepada pengguna.

“Selain itu, ia juga dapat memastikan bekalan hasil pertanian sentiasa mencukupi bagi memenuhi kehendak masyarakat pada musim pra perayaan,” tambahnya.

Antara 17 senarai barangan terpilih mengikut harga bagi setiap kilogram ialah cili merah berharga RM7.20, kobis bulat (RM2), timun (RM1.70), tomato (RM3.50), kacang panjang (RM3.70) manakala kelapa RM1.30 bagi setiap biji.

KTM Komuter lagi..!!!



KUALA LUMPUR: Apabila tren yang baru dibeli daripada CSR Zhuzhou Electric Locomotive dari China memulakan perkhidmatan bagi laluan KTM Komuter menjelang akhir tahun ini, kerajaan berharap dapat mengurangkan tempoh menunggu lebih 30 minit yang begitu menyeksakan di kalangan pengguna tren ketika waktu puncak.

Pengguna sepanjang laluan Rawang-Sungai Gadut, Batu Caves-Pelabuhan Klang,
Sentul-Pelabuhan Klang dan Batu Caves-Rawang akan mendapat manfaat daripada muatan tambahan tren itu yang secara teknikal dikenali sebagai Unit Tren Elektrik atau EMU.

Sebanyak 38 EMU yang pertama akan tiba bulan depan dan akan diuji sebelum
memulakan perkhidmatan.

Kira-kira 100,000 pengguna akan bersesak-sesak dalam tren Komuter KTM setiap hari pada Isnin hingga Jumaat untuk bergerak dalam kira-kira 20 set EMU bagi
tiga tren yang ada kepada mereka.
Daripada satu jadual selang 15 minit pada satu-satu masa, yang secara teori
memerlukan sekurang-kurangnya 36 EMU untuk disediakan setiap hari oleh Keretapi
Tanah Melayu Bhd atau KTMB, ia melambatkan kepada selang 20 minit atau secara teori bermakna 25 EMU.

Malah KTMB juga tidak mempunyai 25 EMU. Sejak September 2009, kebolehsediaan
mereka menurun kepada sekitar 21 EMU setiap hari kerana tren yang rosak
yang tidak dibaiki daripada 62 EMU pada satu-satu masa.

Pada hari yang malang, ia boleh menurun kepada 15 hingga 18 EMU sehari.

Justeru, kelewatan 40 minit atau lebih pada sesetengah sektor bukan sesuatu
yang jarang berlaku dengan tren KTM komuter yang sentiasa sesak dengan penumpang
pada Isnin hingga Jumaat.

Ia menguatkan kenyataan bahawa tiada kekurangan penumpang bagi tren KTM komuter memandangkan kosnya yang secara relatifnya murah kerana ia cuma RM6 dari KL Sentral ke Seremban.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata bahawa kerajaan memutuskan untuk memperbaiki keadaan melalui beberapa inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pengangkutan awam.

Inisiatif NKRA itu dilancarkan pada Julai 2009 Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan
(GTP) bagi memacu ke arah mencapai Wawasan 2020 dan meningkatkan sistem
penyampaian kepada rakyat.

Selain meningkatkan kapasiti, Kong berkata, langkah-langkah juga dibuat bagi
meningkatkan bilangan penumpang setiap hari kepada 600,000 pengguna kenderaan
awam di Lembah Klang menjelang akhir 2012.

Sasaran ini, katanya, adalah 2.5 kali lebih daripada bilangan penumpang
sekarang.

"Ia satu tugas yang agak mustahil tetapi kami sedang berusaha untuk mencapai
sasaran itu," kata Kong.

Jumlah penumpang harian ketika ini adalah kira-kira 240,000 bagi pengangkutan awam di Lembah Klang, dianggarkan mewakili 10 hingga 12 peratus daripada jumlah penduduk di pusat bandar yang tersibuk di negara ini.

Kong menjelaskan bahawa perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang
sudah pun melimpah ruah terutama bagi khidmat tren (KTM Komuter, RapidKL,
LRT dan Monorel).

Beliau menjelaskan keadaan yang sedemikian mendesak memerlukan tambahan
kapasiti bagi lebih 360,000 orang untuk menukar daripada kenderaan persendirian
kepada pengangkutan awam.

Mengulas potensi peningkatan, 58 peratus atau 207,000 merupakan penumpang
tren dan 42 peratus atau 153,000 bagi bas.

Tren akan menjadi penyumbang terbesar dengan KTM Komuter menyumbang sekitar
95,000 penumpang, laluan LRT Kelana Jaya 62,000 dan LRT Ampang 33,000.

Langkah pertama ke arah meningkatkan kapasiti itu berlangsung pada akhir
2010 apabila empat gerabak set tren diperkenalkan pada laluan LRT Kelana Jaya,
laluan tren paling sesak di Lembah Klang, berbanding dua gerabak set tren.

Inisiatif itu adalah bagi mendapatkan "kemenangan segera" bagi manfaat orang
ramai di bawah NKRA bagi pengangkutan awam bandar. - BERNAMA