Sunday, 7 August 2011

Bubur lambuk Permaisuri, Utusan habis

Mohd. Ali Rustam bersama Lan Pet Pet (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada umat Islam di Melaka Mall, Melaka, kelmarin.

MELAKA 6 Ogos - Pemandu yang melalui jalan raya di hadapan pusat membeli belah Melaka Mall menghala ke bandar raya ini pelik mendapati kesesakan luar biasa berlaku kira-kira pukul 4 petang semalam.

Mereka mula tertanya-tanya kelibat beberapa lelaki berpakaian warna merah di tengah-tengah kesesakan jalan raya sambil membawa beberapa bungkusan.

Bagaimanapun, pengguna jalan raya yang tiba di khemah hadapan Melaka Mall mengukir senyuman dan tidak kurang yang ketawa terbahak-bahak melihat gelagat anggota Senario, Lan Pet Pet dan Azli menahan kereta semata-mata hendak menghulurkan bubur lambuk.

Disertai oleh Man Raja Lawak, Ali bekas penyanyi rock kumpulan XPDC (sekarang Ali Mpire) dan Asheed Def Geb C, mereka mengedar 3,000 bungkusan bubur lambuk sumbangan Permaisuri Hotel dan Resort bersama Utusan Malaysia cawangan Melaka.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ab. Karim Sulaiman; Pengarah Urusan Permaisuri Hotel dan Resort, Norlidah Said dan Pengurus Besar Kumpulan, Aswandy Hasan.

Gelagat Lan Pet Pet sudah cukup membuatkan pengguna jalan raya dan orang ramai yang berada di situ 'tidak kering gusi' dibuatnya.

Bayangkan, Lan Pet Pet duduk di tengah jalan raya dengan kotak berisi bubur lambuk dan menahan bas Panorama, bas persiaran serta bas ekspres semata-mata untuk memberikan bubur lambuk.

Azli pula berceloteh bersama Ali Mpire sepanjang program itu berlangsung membuatkan orang ramai khususnya pengunjung pusat membeli belah Melaka Mall dan kakitangan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya tersenyum panjang.

Kira-kira pukul 4.30 petang, 3,000 bungkusan bubur lambuk yang dimasak oleh chef Mustafa habis diedarkan.