Thursday, 4 August 2011

Kesan DNA babi

KANGAR: Sosej pulut dan kepingan ayam (chicken cake) yang dijual di beberapa bazar Ramadan di sini dan digemari ramai penduduk tempatan, disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Perkara itu disahkan Jabatan Kesihatan Perlis semalam selepas memperoleh keputusan analisis ke atas tujuh sampel awal yang dikumpulkan pihaknya di sekitar Sungai Bahru di sini dan daripada jumlah itu, dua disahkan mengandungi DNA babi.

Timbalan Pengarah (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) jabatan itu, Mahamad Sukor Senapi ketika dihubungi berkata, dua produk yang dijual tanpa jenama itu mengandungi DNA babi.

“Sejak tempoh dua minggu lalu, sekurang-kurangnya 16 sampel dikumpulkan di sekitar kawasan berkenaan susulan aduan orang ramai yang khuatir dengan status halal produk berkenaan yang dikatakan dibawa masuk secara haram dari Thailand.


“Buat masa sekarang, hanya dua daripada tujuh sampel awal disahkan mengandungi DNA babi dan kita masih menunggu hasil analisis baki sembilan lagi sampel yang dihantar bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Tiket habis

KUALA LUMPUR: Penumpang kereta api ke pantai timur dinasihatkan tidak panik berikutan tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena Aidilfitri sudah habis kerana KTMB akan mengkaji aliran laluannya dan menambah tiket dari semasa ke semasa.

Presidennya, Dr Aminuddin Adnan berkata, akibat sambutan di luar jangkaan, semua tiket ke pantai timur yang dijual di lebih 80 kaunternya habis dalam tempoh kurang 10 minit.


“Kami akan mengkaji dan menukar aliran perjalanan berdasarkan jumlah tempat duduk untuk semua laluan ke utara dan selatan. Jika banyak tempat duduk untuk laluan ke arah itu belum dibeli, kami akan mengubah gerabak dan seterusnya menambah laluan ke pantai timur.

“Selepas kajian dilakukan, kami akan mengumumkan mengenai tiket tambahan dan mengagihkannya pada pertengahan Ogos ini,” katanya pada sidang media selepas mengedarkan pek berbuka puasa kepada pengguna KTMB di Stesen Komuter KL Sentral, di sini, semalam.


Dr Aminuddin berkata, secara keseluruhannya, jumlah tempat duduk ke pantai timur seperti laluan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Hatyai, Thailand; Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan dan Singapura ke Tumpat sebanyak 2,158 setiap hari dan semuanya habis dijual sebaik kaunter dibuka kelmarin.


“Kami mula menjual tiket balik kampung 10 hari sebelum dan 10 hari selepas Aidilfitri untuk seluruh semenanjung Malaysia.

“Namun entah mengapa, sambutan tiket ke pantai timur tahun ini amat menggalakkan dan luar biasa hingga kami sendiri terkejut,” katanya.


Bagaimanapun, tiket untuk perjalanan ke utara dan selatan masih banyak.

Justeru itu, pengguna disaran membelinya secepat mungkin dan tidak menunggu hingga saat akhir bagi mengelakkan kejadian penumpang terkandas di terminal menjelang Aidilfitri nanti.


Beliau menegaskan, jadual perjalanan KTMB sepanjang Ramadan dan Syawal ini berjalan seperti biasa dan belum terdapat sebarang pindaan lagi.


Pek berbuka puasa mengandungi kurma, air mineral dan kek mini itu diedarkan kepada penumpang KTMB bermula kelmarin sehingga 15 Ogos ini bagi memudahkan mereka berbuka sebelum sampai ke rumah.


Dilema pengusaha kek lapis


KUCHING: Pengusaha kek lapis di Sarawak yang dikatakan menjadi pengguna utama mentega berjenama terkenal dalam pembuatan bahan makanan itu, kini dalam dilema apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk tenusu itu tidak halal selepas dikesan mengandungi asid deoksiribonuklik (DNA) babi, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas bagi membincangkan status mentega itu yang turut membabitkan beberapa agensi berkaitan.


Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) dan Jakim akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan bagi mengelak kekeliruan orang ramai mengenai penggunaan mentega itu.

“Sebelum ini, kebanyakan pengguna keliru apabila Jakim mengatakan mentega itu halal, manakala Jais mengesahkan ia mengandungi DNA babi.


“Saya berharap keputusan yang dicapai tadi (semalam) akan menamatkan sebarang spekulasi mengenai status mentega itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Mengenai kesan keputusan itu terhadap industri kek lapis Sarawak yang menggunakan produk tenusu dalam produknya, Wan Ahmad Uzir berkata, Jais akan mengeluarkan logo halal bagi kek lapis yang tidak menggunakan mentega berjenama berkenaan.

“Apabila logo halal itu digunakan, orang ramai tidak perlu lagi was-was ketika membeli kek lapis Sarawak kerana Jais sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan pengusaha tidak lagi menggunakan mentega itu,” katanya.


Isu DNA babi dalam mentega terbabit timbul selepas Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Johor, mengesannya dan mengeluarkan amaran kepada pengguna Islam, pada 18 Mei 2011.