Friday, 29 July 2011

Melaka ramai 'saintis kampung'


MELAKA 28 Julai - Pastinya ramai yang tidak mengetahui di sebalik negeri yang menyimpan pelbagai khazanah sejarah sehingga mendapat jolokan Bandaraya Bersejarah dan Bandaraya Warisan Dunia, tersembunyi golongan 'saintis' di ceruk-ceruk kampung.

Mereka telah menghasilkan pelbagai ciptaan menarik dan kreatif malah boleh dikatakan setaraf dengan produk luar negara yang sejak bertahun dulu tetapi malangnya tidak mendapat publisiti meluas.

Tiada siapa yang menyangka anak kelahiran negeri ini juga mampu menghasilkan bunga api daripada buluh, parang dan pisau daripada besi terpakai, seni seramik kelas dunia dan juga inovasi produk makanan seperti menggunakan biji rambutan sebagai pengganti kacang tanah.

Biarpun tanpa peralatan canggih serta menjadikan pondok usang di belakang rumah sebagai 'makmal', golongan 'saintis' atau pereka cipta akar umbi itu mampu mencipta dan menghasilkan produk kreatif dan inovatif yang mempunyai nilai komersial tinggi.

Jika golongan itu berjaya ditonjolkan, pastinya ia akan menjadi sebahagian daripada aset yang bernilai tinggi kepada negeri dan juga negara.

Dibantu hasil dorongan dan sokongan agensi berwajib, tidak mustahil produk yang dihasilkan mereka mampu menembusi pasaran dunia.

Peka terhadap situasi itu, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan kerajaan negeri telah melancarkan Jejak Inovasi selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Julai lalu.

Ia bertujuan menjejaki golongan pereka cipta akar umbi itu sebagai langkah permulaan ke arah mengkomersialkan produk yang dihasilkan mereka.

Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin adalah tiga daerah yang diteroka oleh pasukan penjejak yang terdiri daripada para penyelidik, saintis, pakar paten, pegawai YIM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pasukan tersebut menjejaki golongan pereka cipta itu untuk diberikan nasihat mengenai objektif, pendekatan dan hasil yang diingini daripada inovasi yang dihasilkan oleh mereka.

Hasilnya, sebanyak 12 inovasi akar umbi berjaya ditemui dan kesemua produk itu didapati mempunyai potensi besar untuk dimajukan jika memperoleh bantuan berupa sokongan dalam bentuk kewangan, peralatan dan nasihat pakar daripada agensi berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Raslan Ahmad berkata, objektif Jejak Inovasi adalah untuk memberi pengiktirafan terhadap hasil reka cipta golongan tersebut.

Golongan sasar itu katanya, ialah mereka yang tidak mendapat pendidikan khas dalam bidang pembuatan, sains atau seni reka, mereka yang tidak menerima dana daripada mana-mana pihak tetapi mampu menghasilkan produk kreatif dengan peralatan yang terhad.

"Saya dapati kebanyakan daripada golongan ini mula menghasilkan sesuatu inovasi sebagai hobi masa lapang dan tidak kurang juga yang menjual hasil kreativiti dengan kuantiti yang sedikit.

''Mereka melakukannya untuk menjana pendapatan tetapi jika diberikan bantuan, tidak mustahil produk yang dihasilkan boleh dikomersial secara meluas," katanya.

Antara produk yang dikesan dalam Jejak Inovasi itu antaranya ialah pembinaan kolam ikan hybrid, sistem 'storm bullet' bagi meningkatkan kelajuan kereta dan menjimatkan petrol.

Turut menjadi perhatian ialah inkubator telur dan sistem amaran, pembuatan parang daripada besi terpakai, seni seramik, pembuatan keris daripada batang nibung dan perangkap air pintar.

Selain meninjau inovasi yang dibangunkan di kawasan kampung, Jejak Inovasi juga bertujuan mengumpul maklumat hasil inovasi setempat untuk didokumentasi, memberi khidmat nasihat dan bantuan teknikal dan mengiktiraf hasil inovasi yang berpotensi untuk dimajukan.

Jejak Inovasi adalah yang pertama kali diadakan dan akan diperluaskan ke seluruh negara tidak lama lagi.

Ia bertujuan mencungkil dan mengesan lebih ramai golongan pereka cipta akar umbi untuk diberikan pengiktirafan serta mengangkat produk mereka bagi dikomersialkan.

"Tujuan kami bukan sahaja mencari golongan pereka cipta malah kami juga menyediakan platform kepada mereka untuk terus menghasilkan produk bermutu tinggi dan mengangkat produk yang dihasilkan ke pasaran yang lebih luas," kata.

Raslan berkata, tindakan susulan akan dilakukan selepas ini bagi memastikan segala keperluan dari segi bantuan kewangan, peralatan dan nasihat pakar diperoleh oleh golongan sasar bagi menjamin setiap produk yang dihasilkan itu boleh dikomersialkan.