Friday, 22 July 2011

Kempen berbasikal makin popular


MELAKA 21 Julai - Budaya berbasikal dalam kalangan kakitangan dan masyarakat di seluruh negeri ini semakin menggalakkan sejak ia mula diperkenalkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Terbaharu, Kelab Basikal Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek dan Kayuhan Hijau telah dilancarkan bagi menggalakkan penduduk di kawasan tersebut menjadikan aktiviti berbasikal sebagai budaya harian.

Seramai 600 peserta terdiri daripada pelbagai masyarakat berbilang kaum di DUN Ayer Molek telah menyertai program mengayuh basikal mengelilingi sekitar kawasan tersebut meliputi jarak sejauh 30 kilometer.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Md. Yunos Husin berkata, usaha menggalakkan berbasikal sebagai budaya harian penduduk di DUN tersebut bertujuan menyokong usaha kerajaan negeri ke arah merealisasikan Negeri Bandar Teknologi Hijau.

''Penubuhan Kelab Basikal DUN Ayer Molek adalah antara usaha yang dijalankan bagi menggalakkan penduduk mengamalkan budaya berbasikal untuk ke mana-mana tempat di sekitar daerah ini," katanya di sini, hari ini.

Bagi Md. Yunos, sambutan menggalakkan daripada penduduk di daerah itu membuktikan ia merupakan satu program yang berjaya.

Menurutnya, penglibatan semua penduduk termasuk pelajar sekolah, ibubapa membuktikan budaya berbasikal mampu dilaksanakan di sini.

''Saya minta budaya ini tidak terhenti begitu sahaja dan ia perlu menjadi amalan harian sebagai membudayakan aktiviti berbasikal selain medium bagi menyihatkan tubuh badan," katanya.

Program yang diadakan itu katanya, memberi peluang kepada beliau untuk mengunjungi bilik gerakan di Kampung Kandang di sini yang sedang membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.