Thursday, 21 July 2011

Perhentian Bas Alor Gajah kini dikenali AG Sentral



MELAKA 20 Julai - Selepas kira-kira 15 tahun beroperasi di tapak terbuka, Perhentian Bas Alor Gajah kini berubah wajah dan beroperasi di bangunan serba canggih dikenali sebagai AG Sentral.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Kamaruddin Md. Shah berkata, AG Sentral yang siap dibina pada Jun lalu menyediakan kemudahan lebih selesa kepada pengunjung berbanding hentian bas lama.

Menurutnya, konsep rekaan bangunan itu adalah sama seperti Kompleks Melaka Sentral yang menempatkan terminal bas dan bazar selain turut dilengkapi pendingin hawa.

"AG Sentral yang mula beroperasi pada 1 Julai lalu dibina dengan kos RM3.3 juta turut dilengkapi perkhidmatan capaian Internet jalur lebar tanpa wayar (WiFi) dan ruang perniagaan berkonsepkan bazar rakyat.

"Ia adalah bagi keselesaan rakyat dan selari dengan arus pembangunan di sekitar daerah ini yang semakin mendapat tumpuan pelancong yang berkunjung ke tempat-tempat menarik di kawasan pusat bandar," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, antara kemudahan lain yang disediakan ialah ruang menunggu yang lebih luas dan selesa, surau dan tandas awam yang turut dilengkapi dengan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).

"Selepas ini penduduk sekitar daerah ini juga tidak perlu lagi ke Melaka Sentral sekiranya mahu ke Kuala Lumpur, sebaliknya boleh terus menaiki bas ekspres di sini," katanya.

Tambahnya, tujuh syarikat bas telah beroperasi di AG Sentral termasuk syarikat bas ekspres Transnasional, Jebat, Mara Liner dan Metrobus.

Di samping itu katanya, perubahan ketara juga boleh dilihat melalui penyediaan enam kaunter tiket yang lebih cantik dan sistematik dan 21 buah gerai.