Tuesday, 19 July 2011

Projek trem RM272 juta dirancang

ALOR GAJAH 18 Julai – Sistem pengangkutan awam darat khususnya di negeri maju dan mempunyai kadar kemasukan pelancong yang tinggi perlu segera dinaikkan taraf bagi memastikan keselesaan para pelancong dan juga mengurangkan kesesakan jalan raya di negeri berkenaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, sistem pengangkutan awam darat sedia ada seperti bas dan teksi dilihat tidak lagi membantu dalam mengurangkan kesesakan jalan raya akibat daripada jumlah pelancong yang semakin tinggi.

Menurutnya, tinjauan SPAD di beberapa negeri, termasuk Melaka yang menerima kemasukan pelancong lebih 10 juta tahun lalu mendapati, jalan raya di negeri berkenaan khususnya di kawasan tarikan pelancong begitu sesak sehingga menyukarkan pengguna jalan raya.

“Melaka dilihat begitu maju khususnya dalam industri pelancongan, tetapi tinjauan saya di negeri ini terutamanya pada hujung minggu jalan raya begitu sesak dan dilihat tidak lagi mampu menampung jumlah kenderaan yang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Bulan Patriotisme di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi di Masjid Tanah di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, beliau turut menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk menambah baik sistem pengangkutan awam dengan menyedia sistem pengangkutan baharu iaitu perkhidmatan trem yang dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan jalan raya di negeri ini.

Menurutnya, SPAD telah menerima kertas cadangan daripada kerajaan negeri berkaitan projek itu untuk diteliti dan dikaji sebelum membentangkan kepada jemaah menteri.

“Cadangan daripada kerajaan negeri telah kita terima dan kini sedang dikaji dan beberapa penambahbaikan telah kita buat dan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri tidak lama lagi,” katanya.

Syed Hamid berkata, beberapa negara maju telah membangunkan sistem trem ini kerana telah terbukti mampu mengurangkan kesesakan jalan raya yang sekali gus memberikan keselesaan kepada para pelancong dalam dan luar negara serta masyarakat setempat.

Projek pembinaan sistem pengangkutan trem yang melibatkan kos RM272 juta itu akan memberikan perkhidmatan dari Ayer Keroh hingga ke Banda Hilir dan dijangka siap Mei 2012.

Chechnya haramkan remaja ambil minuman tenaga




19/07/2011 2:57am

GROZNY 19 Julai – Para penduduk Chechnya bercadang untuk melarang penjualan minuman tenaga bukan alkohol seperti “Red Bull” kepada mereka yang berumur 18 tahun ke bawah atas alasan ia berbahaya dan haram, kata pegawai kesihatan hari ini.

Larangan tersebut merupakan sekatan terbaru pihak berkuasa di samping kedai-kedai hanya boleh menjual alkohol pada waktu pagi, restoran ditutup sepanjang bulan Ramadan serta wanita diwajibkan memakai tudung di dalam bangunan negeri.

“Minuman tenaga sama seperti arak yang akan memberi kesan buruk kepada kesihatan," kata Timbalan Menteri Kesihatan Chechnya, Rukman Bartiyev. - Reuters