Monday, 12 December 2011

Penembusan liputan jalur lebar nasional telah capai 81%



KUALA LUMPUR 12 Dis. – Penembusan liputan jalur lebar talian tetap dan tanpa wayar nasional telah mencapai 81 peratus di kawasan berpenduduk, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, sehingga suku ketiga tahun ini, katanya jumlah langganan internet di seluruh negara ialah 5.59 juta dan jumlah pengguna internet pula dicatatkan kira-kira 17.5 juta orang.

"Perluasan liputan ini sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa oleh pihak pemberi perkhidmatan dan juga melalui pelaksanaan inisiatif jalur lebar oleh kerajaan.

"Antara inisiatif tersebut termasuk pembinaan menara telekomunikasi, Kampung Tanpa Wayar (KTW), Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) dan perkhidmatan jalur lebar di Perpustakaan Desa,” katanya ketika menjawab soalan Senator Chew Lee Giok mengenai jumlah langganan internet di Malaysia pada sesi soal jawab.

Mengenai harga bayaran langganan Internet di Malaysia yang dikatakan agak mahal, beliau berkata, kos jalur lebar antarabangsa yang lebih tinggi berbanding negara lain menyumbang kepada pertambahannya. – Bernama

Sunday, 11 December 2011

Ombak Rindu boleh kutip RM14 juta

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Filem Ombak Rindu yang diadaptasi daripada novel berjudul sama dijangka mampu mengutip RM14 juta jika tempoh wajib tayang dipanjangkan sehingga enam minggu.

Penerbitnya, Sharad Sharan berkata, jangkaan itu berdasarkan sambutan positif penonton selain promosi berterusan yang dilakukan oleh produksi filem itu.

Menurutnya, kutipan filem itu kini mencecah RM6.5 juta dalam tempoh lapan hari ditayangkan."Saya sangat bersyukur dengan sambutan itu.

Kami dimaklumkan untuk hari ini sahaja kebanyakan pawagam penuh."Malah, pihak pawagam juga menambah jumlah tayangan bagi menampung permintaan penonton pada hujung minggu ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Filem arahan Osman Ali membariskan pelakon Maya Karin, Aaron Aziz dan Lisa Surihani.

Saturday, 10 December 2011

Pokok pisang berbuah dua kali



TUBAN - Pokok pisang biasanya berbuah hanya sekali, tetapi apa yang berlaku di Kampung Sidorejo di Jawa Timur amat menakjubkan apabila sebatang pohon pisang berbuah sebanyak dua kali.

Kejadian ini menyebabkan orang ramai berduyun-duyun datang untuk melihat sendiri keanehan tersebut, memandangkan ini kali pertama peristiwa seperti itu berlaku di kampung tersebut.

Menurut pemilik pohon pisang itu, Arni, 47, dia menyedari kejadian aneh itu pada minggu lalu selepas dimaklumkan oleh isterinya dan pada mulanya dia sendiri tidak mempercayainya."Mana mungkin pisang yang telah ditebang dan membusuk berbuah lagi," katanya kepadaVIVAnews.com.

Arni berkata, sebelum kejadian aneh itu berlaku, dia ada bermimpi mengaji al-Quran selama beberapa kali, tetapi tidak menyangka akan berlaku sesuatu perkara ganjil.Arni menegaskan bahawa dia tidak akan menjual pisang itu dan mahu makannya sendiri kerana mereka sekeluarga teringin untuk makan pisang aneh tersebut. - AGENSI

Samsung atasi Apple di mahkamah

SYDNEY 9 Dis. - Mahkamah Tinggi Australia hari ini memudahkan perancangan Samsung untuk menjual tablet Galaxy 10.1 di Australia sempena Krismas ini, berikutan keputusan mahkamah menolak permintaan syarikat Apple yang meminta larangan itu dilanjutkan.

Samsung yang merupakan syarikat Korea Selatan pada bulan lalu memenangi rayuan terhadap larangan sementara penjualan tablet tersebut di Australia, kemenangan luar biasa buat syarikat itu dengan pesaing mereka dari Amerika Syarikat atas isu hak cipta.Apple kemudian pula memenangi tuntutan di mahkamah untuk mengekalkan arahan tersebut, bermakna alat tersebut tidak boleh dijual di negara ini tetapi permintaan mereka untuk melanjutkan larangan tersebut ditolak hari ini.

Perbicaraan di mahkamah Sydney itu merupakan sebahagian daripada persaingan global di mana dua buah syarikat teknologi terbesar di dunia itu bersaing untuk menguasai pasaran komputer tablet dan telefon pintar yang dianggarkan bernilai AS$100 bilion (RM313 bilion).

Perbalahan di Australia itu setakat ini tertumpu kepada dakwaan tablet Galaxy 10.1 milik Samsung mencabuli beberapa paten produk Apple yang terkenal iaitu iPad.Tarikh perbicaraan penuh untuk semua dakwaan hak cipta belum lagi ditetapkan.

Keputusan hari ini merupakan amat penting buat Samsung yang sebelum ini berdepan dengan prospek produknya kehilangan peluang untuk memasarkannya sempena perayaan Krismas ini. - Agensi