Tuesday, 22 November 2011

Sukan SEA: Malaysia menang emas acara bola sepak

JAKARTA: Skuad bimbingan Ong Kim Swee mempamerkan aksi membanggakan Malaysia apabila mempertahankan 'ibu pingat emas' apabila menewaskan tuan rumah Indonesia menerusi penentuan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 pada perlawanan sepenuh masa penuh dramatik di Stadium Gelora Bung Karno.

Kejayaan Harimau Muda itu melengkapkan pingat emas ke-59 kontinjen negara di Sukan Sea ke-26.

Sunday, 13 November 2011

Dakwat kekal tak perlu pinda perlembagaan



KUALA LUMPUR, 13 Nov: Pakar perlembagaan Profesor Abdul Aziz Bari berkata, penggunaan dakwat kekal semasa pilihan raya boleh dilakukan tanpa pindaan Perlembagaan Pesekutuan.

Menurut Abdul Aziz yang juga Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), pendiriannya itu berdasarkan perinsip 'jika tiada yang menghalang, ia adalah sah dan dibenarkan'.

“Dalam undang-undang, cukup mudah; jika tiada yang menghalang, ia adalah sah dan dibenarkan. Malah, pelajar undang-undang tahun satu juga tahu hal itu,” kata Abdul Aziz dipetik Malaysiakini.

Beliau juga dilapor berkata, tidak timbul kemungkinan keputusan pilihan raya boleh dicabar di mahkamah jika dakwat kekal diperkenalkan tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau tidak tahu dari mana ahli Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) bagi pembaharuan sistem pilihan raya, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad mendapat tanggapan itu.

Sebaliknya, kata Abdul Aziz, pandangan pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan dan presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee bahawa perlembagaan tidak perlu dipinda bagi penggunaan dakwat kekal adalah betul.

“Ambiga dan Lim adalah betul: tak perlu pinda perlembagaan. Malah, saya katakan saya pasti 100 peratus, tak perlu pinda.

“Seperkara, adakah terdapat sebarang peruntukan dalam perlembagaan yang menghalang penggunaan dakwat kekal?

Semalam, semasa pendengaran awam, Mohd Radzi dilaporkan berkata kemungkinan keputusan pilihan raya boleh dicabar di mahkamah jika sistem itu diperkenalkan tanpa meminda perlembagaan persekutuan.

PAS gesa kaji semula guru kerja 9 jam sehari



KUALA LUMPUR, 13 Nov: PAS menggesa kerajaan mengkaji semula projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang dilaksanakan di Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor.

Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Idris Ahmad ketika mengulas perkara itu berkata, tindakan itu dilihat tidak wajar memandangkan guru memang sedia terbeban pada masa ini termasuk tugasan selain mengajar.

"Rasional apakah guru-guru terpaksa bekerja selama 9 jam? Sebenarnya guru-guru di Malaysia sudah sedia terbeban, bukan sahaja Pembelajaran dan Pengajaran.

"Malahan guru sudah menjadi "multi purpose" kerana semua perkara guru terpaksa melakukan. Guru juga pemandu Ambulan jika pelajar sakit, menjadi polis trafik ketika pelajar keluar sekolah, pengawal disiplin, pegawai kewangan kalau ia guru kelas, menjadi kerani untuk masuk markah," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Idris, Kementerian Pelajaran sepatutnya mencari jalan untuk menyenangkan guru-guru supaya mereka berada di zon selesa, kerana di tangan mereka yang akan melahirkan modal insan yang berguna untuk masa akan datang.

"Mungkin ada orang cemburu kerana guru banyak mendapat cuti berbanding dengan mereka yang berada di pejabat. Tetapi perlu diingat tugas guru bukan sahaja di sekolah, malahan kerja mereka berterusan sehingga balik ke rumah. Kerana kerja latihan pelajar perlu diperiksa, persiapan mengajar perlu dibuat. Budaya ini berlainan dengan mereka yang bekerja di pejabat, selesai sahaja waktu pejabat ia tidak perlu dibawa balik ke rumah," katanya lagi.

Kerajaan juga ujarnya perlu membanyakkan kemudahan dan membina banyak sekolah supaya mengurangkan bilangan pelajar di dalam sebuah kelas.

Banyak sekolah pada hari ini katanya dibina lebih 20 tahun dahulu dan sudah tidak mampu menampung pertambahan penduduk di sekitarnya sehingga suasana di dalam bilik kelas tidak lagi ada keselesaan kerana bilangan pelajar yanga begitu ramai.

Beliau menasihatkan kerajaan agar tidak jadikan guru sebagai makmal percubaan, sepertu sebelumnya ketika perlaksanaan PPSMI.

"Sekarang terdapat lambakan lebihan opsyen Sains dan Matematk seramai 26000 orang. Pihak Kementerian juga perlu selesaikan masalah graduan Universiti Perguruan Sultan Idris yang tidak ada penempatan bertugas.

"Atas asas inilah maka Pakatan Rakyat menjanjikan RM500 sebulan kepada guru-guru jika diberi mandat ke Putera Jaya. Ini sebagai penghormatan kepada guru-guru yang mendidik rakyat di negara ini," katanya.

Raja Bhumibol pengsan akibat banjir



BANGKOK: Raja Thailand berdepan masalah kesihatan yang menyebabkan beliau tidak sedarkan diri, kata anaknya Puteri Chulaborn yang, mengaitkan kejadian itu dengan tekanan berikutan krisis banjir yang melanda negara berkenaan.

Berita meluas mengenai masalah kesihatan Raja Bhumibol Adulyadej, 83, dianggap Puteri Chulabhorn sebagai tidak menyenangkan ketika Thailand masih belum pulih daripada banjir yang menenggelami kawasan pedalaman dan sebahagian Bangkok.
Lebih 500 penduduk maut manakala kemusnahan dianggarkan bernilai berbilion dolar dan tengah Bangkok masih diancam bencana alam itu.
Chulabhorn, anak bongsu Raja Bhumibol kelmarin berkata ketika melawat mangsa banjir di wilayah Nonthaburi di utara Bangkok, bapanya tidak sedarkan diri selepas mengalami pendarahan perut dan tekanan darah rendah mendadak.

Berita rasmi disiarkan kelmarin menyatakan kesihatan Raja Bhumibol kembali pulih selepas menerima rawatan di hospital.

Raja Bhumibol yang ditabalkan pada 1950, dimasukkan ke hospital September 2009 apabila Istana Diraja berkata beliau dirawat kerana demam dan keletihan melampau.

Puteri itu berkata, doktor memberitahu pendarahan mungkin disebabkan kebimbangan berhubung banjir teruk di Thailand.
Chulabhorn tidak memaklumkan bila kejadian berlaku tetapi kenyataan menunjukkan ia terjadi lebih seminggu lalu. Beliau menyatakan mengenai perkara itu pada 7 November lalu walaupun tidak secara terperinci.

Kelmarin beliau berkata ia berlaku pada hari sama raja itu melawat mangsa banjir di Ayutthaya, juga berhampiran Bangkok. Beliau tyurut melawat kuil Buddha di situ pada 4 November lalu.

Raja Bhumibol dilihat sebagai ikon perdamaian dalam masyarakat Thai, dan masalah kesihatan Raja Bhumibol berkebetulan dengan masalah di negara itu. Thailand berdepan krisis sejak rampasan kuasa tentera pada 2006 yang membawa ketidakstabilan politik, berikutan bantahan jalanan ganas.

Kelibat Raja Bhumibol yang jarang kelihatan di khalayak ramai turut menimbulkan persoalan mengenai apa yang akan berlaku selepas kematiannya. Anak lelakinya dan pewaris takhta, Putera Mahkota Vajiralongkorn, tidak mendapat penghormatan dan kemuliaan sama seperti bapanya daripada rakyat. – AP

Friday, 11 November 2011

Timur Turki gempa lagi

VAN 10 Nov. – Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi terperangkap di bawah runtuhan dua buah hotel dan bangunan lain apabila satu gempa bumi menggegarkan timur Turki malam tadi, tidak sampai tiga minggu selepas gempa bumi melanda kawasan sama yang menyebabkan 600 orang maut.

Gempa berukuran 5.7 pada skala Richter itu berlaku 16 kilometer ke selatan bandar Van pada pukul 9.23 malam tadi (3.23 pagi ini waktu Malaysia), menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).Gegaran itu menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh buah bangunan termasuk dua hotel di Van dan kira-kira 14 struktur lain di bahagian lain kawasan tersebut runtuh, lapor stesen televisyen kerajaan, TRT.

TRT melporkan sekurang-kurangnya 100 orang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan tersebut, termasuk 70 orang yang dilaporkan menginap di sebuah hotel terbabit.Setakat ini 21 orang berjaya diselamatkan dan dibawa keluar hidup-hidup daripada runtuhan kedua-dua hotel terbabit, lapor stesen televisyen itu.

Pasukan penyelamat mengeluarkan seorang wanita warga Jepun daripada runtuhan Hotel Bayram hampir enam jam selepas gegaran berlaku, lapor agensi berita kerajaan, Anatolian.Wanita tersebut, Miyuki Konnai menganggotai pasukan penyelamat dan bantuan Jepun yang dihantar ke Van selepas gempa bumi pertama, kurang tiga minggu lalu.Konnai mengalami kecederaan tetapi dilaporkan sedar ketika dibawa keluar daripada runtuhan dan kelihatan bercakap dengan pekerja penyelamat semasa dibawa ke sebuah ambulans.Bagaimanapun beliau meninggal dunia kemudian di hospital.

Siaran televisyen menunjukkan penduduk yang panik melarikan diri ke jalan-jalan raya di Van dan ambulans berkejar dengan siren dibunyikan.Gempa bumi malam tadi merupakan antara gegaran susulan yang berlaku selepas gempa berukuran 7.6 pada skala Richter melanda timur laut Van pada 23 Oktober lalu.Ratusan gegaran susulan berlaku sejak itu dan beribu-ribu mangsa masih berlindung di dalam khemah-khemah sementara dalam cuaca sejuk. – Reuters

Tuesday, 8 November 2011

PM Greece setuju letak jawatan


ATHENS 7 Nov. – Perdana Menteri Greece, George Papandreou semalam bersetuju untuk meletakkan jawatan dan para pemimpin politik dijadual bermesyuarat hari ini untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan baru bagi menamatkan krisis politik di negara ini.

Persetujuan itu dicapai selepas pertemuan hampir dua jam antara Papandreou, ketua pembangkang Antonis Samaras dan Presiden Carolos Papoulias,

“Persetujuan dicapai bagi membentuk sebuah kerajaan baru untuk memimpin negara ini menghadapi pilihan raya selepas mengesahkan keputusan yang diambil oleh Majlis Eropah pada 26 Oktober lalu,” menurut satu kenyataan pejabat Presiden.

Keputusan itu merujuk kepada perjanjian Kesatuan Eropah (EU) yang mengurangkan hutang Greece sebanyak hampir satu pertiga.

Perjanjian EU itu telah terancam disebabkan situasi politik tidak menentu di Athens, dengan para pemimpin Eropah mengugut untuk tidak meluluskan dana pinjaman yang melindungi Greece daripada diisytiharkan muflis.

“Papandreou sudah pun menyatakan beliau tidak akan mengetuai kerajaan baru.

“Esok (hari ini) rundingan akan diadakan antara Perdana Menteri dengan ketua pembangkang mengenai calon Perdana Menteri baru dan kerajaan baru,” menurut kenyataan itu.

Presiden juga dijadual mengadakan mesyuarat dengan para pemimpin politik hari ini. – AFP

Monday, 7 November 2011

Arab Saudi guna peralatan moden sempena musim haji


RIYADH 6 Nov. - Pihak berkuasa Arab Saudi menggunakan peralatan elektronik terkini dan moden bagi mengawal kebanjiran dan pergerakan berjuta-juta jemaah haji dari seluruh dunia sempena musim haji kali ini.

Pegawai Kementerian Hubungan Agama, Sheikh Talal al-Uqail berkata, kementerian itu menghantar 3.25 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada telefon bimbit jemaah bagi memaklumkan prosedur betul dalam mengerjakan haji bagi membendung 'perkara yang berbahaya'.

''Mesej itu yang bertujuan membetulkan kesalahan yang dilakukan oleh jemaah dan ia diselia oleh lebih 3,000 guru agama, penterjemah dan pentadbir,'' katanya yang dipetik oleh agensi berita rasmi SPA.

Pada masa sama, Menteri Haji Arab Saudi, Fuad al-Farsi berkata, pihak berkuasa negara ini juga mengikuti dan menguruskan pergerakan setiap jemaah dengan menggunakan alat pemantauan elektronik.

Polis agama pula menerbitkan video dan dokumen bimbingan kepada jemaah di laman web YouTube melalui alamat http://www.youtube.com/user/movieshajj.

Buat pertama kali pada tahun ini, pergerakan haji dapat disaksikan secara langsung di YouTube melalui youtube.com/hajjlive.

Setakat ini tiada kemalangan buruk dilaporkan sepanjang musim haji kali ini. - AFP

Friday, 4 November 2011

Palestin terus usaha sertai PBB


NEW YORK: Pihak berkuasa Palestin menegaskan akan memohon keanggotaan dalam lebih banyak agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun ditentang Amerika Syarikat dan Israel serta menjejaskan kempen supaya diiktiraf sebagai negara merdeka oleh PBB.
Selepas undian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) minggu ini untuk menerima keanggotaan Palestin, lebih 12 agensi PBB dan badan antarabangsa berada dalam senarai Palestin dengan keanggotaan penuh badan dunia itu menjadi matlamat utama.
Palestin berharap menjadi pihak yang menandatangani Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Suhu, menurut ketua delegasi wilayah itu ke PBB, Riyad Mansour.

Ia diikuti permohonan sama di Pertubuhan Hartanah Intelektual Dunia, Seminar PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan serta Pertubuhan Industri PBB, kata Mansour kepada AFP.

Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, Kesatuan Pos Antarabangsa, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa dan lain-lain berpotensi membenarkan Palestin menjadi negara anggota, kata diplomat dan pegawai.

“Kami meneroka semua kemungkinan. Kami percaya pintu dibuka untuk kami menyertai entiti dan agensi lain,” katanya.
Ia pasti menaikkan kemarahan Israel dan Amerika, yang sememangnya menentang keras keanggotaan Palestin dalam PBB dan menegaskan cuma rundingan langsung Palestin-Israel dapat menyelesaikan konflik di Asia Barat.

Selepas undian di UNESCO, Israel mengumumkan lebih banyak pembinaan dalam wilayah Palestin dan membekukan bayaran cukai kepada pihak berkuasa Palestin.

Menurut undang-undang yang melarang dana kepada badan antarabangsa yang menerima keanggotaan Palestin, Amerika membatalkan geran sebanyak AS$60 juta (RM184 juta) kepada UNESCO dan mungkin melakukan perkara sama dengan agensi lain.

Sementara itu, Palestin mempertahankan keputusannya untuk menyertai UNESCO.

“Jika kami menyertai sebuah pertubuhan, menyertai kemanusiaan atas perkara baik, bagaimana ia boleh dikatakan radikal? Siapa yang kami sakiti?” kata Mansour yang menyifatkan langkah balas dendam Israel itu tindakan radikal yang sebenar.

Majlis Keselamatan PBB akan memutuskan apa perlu dibuat dengan usaha Palestin mendapatkan keanggotaan penuh yang difailkan Presiden Mahmoud Abbas pada 23 September lalu.

Jawatankuasa keanggotaan majlis mengadakan pertemuan sekali lagi semalam dan perlu membentangkan laporan akhir pada pertemuan 11 November ini.

Amerika Syarikat, sebagai anggota tetap, akan menggunakan kuasa pembatal terhadap sebarang usaha Majlis Keselamatan berhubung keanggotaan Palestin. – AFP

Thursday, 3 November 2011

Perang mata wang tercetus tahun depan?


NEW YORK 2 Nov. - Perang mata wang dunia dijangka tercetus tahun depan berikutan lebih banyak negara menurunkan sendiri nilai mata wang mereka tanpa mengikut permintaan pasaran, kata satu kaji selidik di sini.

Jangkaan itu dibuat oleh 64 peratus para eksekutif tukaran mata wang asing yang menjalani kaji selidik di Persidangan Bloomberg FX di sini.

Keputusan kaji selidik yang melibatkan lebih 270 pegawai bank, pengurus portfolio, pedagang dan pegawai kewangan di firma-firma utama itu membincangkan aliran pasaran mata wang asing dan juga tinjauan masa hadapan ekonomi untuk beberapa tahun akan datang.

" Sidang Kemuncak FX11 Bloomberg cuba menangani isu-isu penting yang boleh membentuk pasaran mata wang dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

''Ia akan membolehkan kami memahami bagaimana pasaran semasa boleh memberi maklum balas kepada keputusan dasar monetari semasa," kata Ketua Tukaran Asing dan Ekonomi,Bloomberg, Tod Van Name didalam satu kenyataan di sini.

Keputusan kaji selidik itu yang diumumkan hari ini menunjukkan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) akan menggugurkan Euro sebagai mata wang mereka.

Sebanyak 42 peratus peserta menjangkakan jumlah negara yang menggunakan Euro sebagai mata wang akan merosot dalam tempoh lima tahun akan datang. Ketika ini sebanyak 17 negara di bawah EU menggunakan Euro sebagai mata wang mereka.

Sebanyak 75 peratus peserta pula menjangkakan Yuan akan meningkat sehingga 10 peratus berbanding dolar Amerika tahun depan manakala 58 peratus responden pula percaya bahawa mata wang negara-negara berkembang maju akan mengatasi dolar pada 2012.

Sekarang masa sesuai untuk melabur di Myanmar - Dr M


03/11/2011 9:28pm

YANGON 3 Nov. – Sekarang adalah masa yang sesuai bagi para pelabur Malaysia untuk datang melabur di Myanmar, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, mereka yang tidak berbuat demikian kemungkinan akan ketinggalan di belakang para pelabur negara lain.

"Saya nampak Myanmar kini lebih relaks,” katanya di sini hari ini, sambil menyatakan, Myanmar kini bersedia untuk melakukan perubahan ke arah satu masyarakat yang lebih terbuka.

Beliau telah terbang ke pusat pentadbiran baharu Myanmar di Nay Pyi Taw pada sebelah pagi hari ini untuk bertemu Presiden Myanmar, Thein Sein di pejabat Presiden itu.

Pertemuan berkenaan berlangsung lebih sejam sebelum beliau menemui Menteri Perindustrian Myanmar, So Thein.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan Thein Sein, bekas Perdana Menteri, yang bertanggungjawab membawa masuk Myanmar menyertai ASEAN itu, berkata, Presiden Myanmar itu telah bercakap mengenai pelbagai bidang.

Antaranya mengenai mata wang Kyat Myanmar dan langkah untuk mengadakan kerjasama dalam pembangunan estet sektor kelapa sawit dan getah di sebelah selatan negara itu. – Bernama

Wednesday, 2 November 2011

Amerika hukum UNESCO


Tarik balik pembiayaan RM184 juta kerana izin Palestin jadi ahli

NEW YORK: Amerika Syarikat bertindak menarik balik dana tahunan untuk agensi ekonomi, kebudayaan dan pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai hukuman terhadap badan dunia itu kerana memberi keanggotaan penuh kepada Palestin meskipun turut dibantah Israel dan Eropah.
Sebanyak 107 anggota UNESCO menyokong untuk menerima Palestin sebagai anggota penuh, keputusan yang disambut sorakan kuat delegasi antarabangsa di Paris. Sebanyak 52 wakil negara lain termasuk United Kingdom, memutuskan untuk tidak mengundi.

Dalam masa beberapa jam, Amerika mengumumkan ia menghentikan sumbangan besarnya kepada bajet UNESCO berikutan keputusan undian berkenaan.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Victoria Nuland, berkata Washington tidak mempunyai pilihan disebabkan undang-undang berusia 21 tahun melarang bayaran dana kepada mana-mana badan PBB yang menerima Palestin sebagai anggota penuh.

Penyerahan dana AS$60 juta (RM184 juta) yang dijangka dibuat lewat bulan ini digantung, langkah yang memberi tamparan hebat kepada agensi itu. Amerika menyumbang 22 peratus daripada bajet tahunan UNESCO.
“Keputusan UNESCO dikesali, tidak matang dan memandang rendah matlamat yang dikongsi untuk mencapai keamanan menyeluruh, adil dan berpanjangan antara penduduk Palestin dan Israel,” dakwa Nuland.

Israel turut memberi petanda memberi hukuman berat kepada agensi PBB itu. Kementerian Luarnya mengeluarkan kenyataan untuk menimbang kerjasama berterusan dengan UNESCO.

Duta rejim Zionis itu ke UNESCO, Nimrod Barkan, menyifatkan undian itu sebagai satu tragedi.

Tetapi, pegawai Palestin yang menyifatkan undian itu satu peristiwa bersejarah, nyata gembira dengan keputusan agensi berkenaan.

“Undian itu akan menghilangkan sedikit ketidakadilan yang dibuat kepada penduduk Palestin,” kata Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki, di Paris.

Sokongan berkenaan membolehkan Palestin menyertai agensi PBB itu, suntikan besar kepada kempen mendapatkan pengiktirafan antarabangsa sebagai negara merdeka, dan menjadi tamparan hebat kepada Israel dan Amerika yang membantah langkah itu.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berkata undian itu sebenarnya mewakili sokongan kepada kebebasan dan keadilan.

Dalam kenyataan kepada Wafa, Abbas berkata: “Undian ini adalah demi keamanan dan mewakili persetujuan sebulat suara antarabangsa menyokong hak kedaulatan penduduk Palestin, yang paling penting penubuhan negara merdeka.”
Sebahagian perwakilan juga mengutuk reaksi Amerika.

“Reaksi mereka seolah-olah seperti kami meminta untuk diterima menjadi ahli al-Qaeda,” kata pegawai kanan Palestin, Nabil Shaath, sebelum undian. – Agensi

Tuesday, 1 November 2011

200 nyaris maut kereta api rempuh lori tangki


KOTA KINABALU: Kira-kira 200 penumpang kebanyakannya kakitangan kerajaan nyaris maut apabila kereta api dinaiki mereka merempuh sebuah lori tangki bermuatan 27,000 liter petrol yang menyebabkan letupan kuat di lintasan kereta api haram berhampiran Kilometer 5, Jalan Kota Kinabalu-Putatan, Petagas, dekat sini, semalam.
Letupan itu menyebabkan gegaran kuat di sekitar Petagas dengan asap tebal boleh dilihat dari jarak kira-kira lima kilometer (km), selain kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang kira-kira 10 km dari Jalan Kota Kinabalu-Putatan dan sebaliknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lapan penumpang kereta api cedera ringan manakala pemandu lori berkenaan tidak cedera.

Kereta api tiga gerabak itu dalam perjalanan dari Stesen Kereta Api Tanjung Aru, di sini membawa penumpang yang kebanyakannya kakitangan kerajaan yang baru pulang kerja ke Stesen Kereta Api Papar, kira-kira 70 km dari sini.

Kereta api milik Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) itu dikatakan baru meninggalkan stesen berkenaan pada jam 5 petang dan dipercayai bergerak pada kelajuan antara 40 hingga 50 km sejam tetapi pemandunya dipercayai gagal memberhentikan kenderaan itu kerana agak hampir dengan lori berkenaan.

Ia menyebabkan kepala dan gerabak pertama kereta api itu tergelincir ke kanan landasan sebelum hangus manakala lori itu terputus dua dengan bahagian kepala dan tangkinya terpisah kira-kira 10 meter di kiri dan kanan landasan.
Penumpang yang panik terpaksa memecahkan cermin kereta api dan melompat keluar bagi menyelamatkan diri daripada api yang menjulang setinggi kira-kira 30 meter.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat pemandu lori membelok ke kiri jalan untuk melintasi landasan sebelum membawa bahan api itu ke sebuah stesen minyak, kira-kira 300 meter dari tepi landasan.

“Pemandu lori dipercayai gagal mengesan kereta api berkenaan tetapi sempat melompat keluar dari kenderaannya sejurus sebelum kenderaannya dirempuh kereta api," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Jurucakap JKNS berkata, kejadian menyebabkan kepala kereta api seberat kira-kira 60 tan itu tergelincir ke kanan landasan manakala gerabak depan hangus.

Katanya, lintasan kereta api berkenaan dibuat pihak tertentu secara haram, menyebabkan tiada pintu di landasan berkenaan.

Beliau berkata, kereta api itu baru dibeli JKNS dari China mula beroperasi sejak Februari lalu selepas dihentikan selama lima tahun berikutan projek menaik taraf landasan berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, berkata bomba yang menerima panggilan pada jam 5.38 petang menghantar lima jentera dengan 35 anggota ke tempat kejadian dan api berjaya dipadamkan kira-kira jam 6.45 petang.

Penumpang terpaksa pecah cermin selamat diri

KOTA KINABALU: “Saya duduk di gerabak pertama. Tiba-tiba saya dengar dentuman dan disusuli letupan kuat. Saya nampak api menjulang di sebelah kanan tingkap kereta api. Saya dan penumpang lain terpaksa memecahkan cermin untuk melompat keluar.

“Kami takut kereta api meletup. Bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada penumpang yang maut atau cedera parah,” luahan penumpang kereta api, Irwan Shamsuddin, 29.

Menceritakan detik cemas itu, Irwan yang bertugas sebagai anggota Jabatan Pertahanan Awam di bandar raya ini, berkata sebelum kejadian, beliau terdengar bunyi amaran kereta api tetapi tidak menyangka akan merempuh lori itu.

“Saya fikir pemandu kereta api hanya memberi amaran kepada orang yang melintas landasan. Bagaimanapun, selepas dentuman dan letupan itu, saya nampak api menjulang kira-kira 30 meter,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Penumpang, Razmi Jaafar, 37, berkata ketika kejadian beliau dan penumpang di gerabak pertama baru bergerak meninggalkan Stesen Kereta Api Tanjung Aru, dekat sini ke Papar pada jam 5 petang.

“Baru setengah jam bergerak meninggalkan stesen itu tiba-tiba saya terdengar letupan kuat dari arah depan. Saya nampak api menjulang. Saya dan penumpang lain terpaksa memecahkan tingkap untuk melompat keluar.

“Saya dan penumpang lain berebut-rebut keluar. Saya sempat menyelamatkan beberapa penumpang yang lain,” katanya.

Pemandu lori, Pauleh Dausun, 45, berkata ketika menghampiri landasan itu, ada sebuah kenderaan pacuan empat roda di depannya melintasi landasan.

“Saya dengar bunyi hon tetapi menyangka ia dari treler atau kenderaan lain di jalan. Saya hanya menyedari kereta api apabila ia sudah terlalu dekat. Saya cuba menekan pedal minyak. Kepala lori berjaya melepasi landasan tetapi tangki lori tersangkut di landasan.

“Saya terpaksa melompat keluar. Sejurus meninggalkan lori, saya terdengar dentuman dan disusuli dengan letupan kuat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau yang tidak cedera bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.

Saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Liza berkata, ketika kejadian beliau yang memandu kereta baru keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan terlihat lori berkenaan melintasi landasan tanpa ada sebarang tanda pemandunya ingin memberhentikan kenderaannya.

“Tiba-tiba saya nampak kereta api itu terus merempuh bahagian tangki lori itu. Letupannya kuat. Api menjulang tinggi,” katanya.