Sunday, 30 October 2011

Negeri Sembilan juara Piala Malaysia


29/10/2011 10:44pm

Shah Alam 29 Okt. - Pasukan Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia 2011 dengan menewaskan Terengganu 2 - 1 dalam perlawanan di Stadium Shah Alam malam ini.

- Utusan

Saturday, 29 October 2011

Terengganu jadi pilihan, NS mantap


KUALA LUMPUR – Terengganu menjadi pilihan untuk menjulang Piala Malaysia pada final di Stadium Shah Alam hari ini.

Namun, pengalaman beraksi pada perlawanan akhir serta dibarisi pemain berpengalaman, menjadikan harapan Negeri Sembilan tidak boleh diketepikan.

Itu ramalan jurulatih bola sepak negara menjelang aksi kemuncak bola sepak negara hari ini.

Bagi jurulatih Terengganu, Irfan Bakti, pasukannya mempunyai rangkaian pemain terbaik untuk menjulang Piala Malaysia buat kali kedua selepas kali terakhir pada 2001 ketika menewaskan Perak 2-1.

Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah pula lebih selesa jika pasukannya dilabel sebagai underdog.

Sebaliknya, dia menganggap Terengganu sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Malaysia pada final hari ini, berdasarkan prestasi skuad Penyu musim ini.

Menganggap Terengganu merupakan pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia, Azraai berkata, rekod menjuarai Piala FA dan keupayaan muncul naib juara Liga Super membuktikan skuad Penyu merupakan pasukan yang lebih konsisten.

Ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusof pula menyifatkan kehadiran bekas rakan sepasukannya di Terengganu ketika memenangi Piala Malaysia 2001, Hairuddin Omar, serta beberapa lagi pemain berpengalaman menjadikan Negeri Sembilan pasukan yang perlu dihormati.

Ketua pasukan Negeri Sembilan, Shukor Adan berkata, pengalamannya yang pernah beraksi pada pentas akhir bukan kelebihan.

“Bermain buat kali ketiga berturut-turut dalam perlawanan akhir Piala Malaysia saya tidak fikir bukan satu kelebihan buat kami.

“Tiap kali perlawanan akhir, ia adalah satu pentas yang berbeza buat setiap pemain, perasaan gementar itu sentiasa ada sebelum melangkah ke dalam padang.

“Tambahan berdepan Terengganu yang semakin konsisten dan mempunyai barisan serangan paling berbisa, perlawanan esok (hari ini) bukan satu perlawanan yang mudah buat Negeri Sembilan,” katanya.

Saintis ulang eksperimen "lebih laju dari cahaya"


PARIS 29 Okt- Para saintis yang mengejutkan dunia fizik dengan laporan ujikaji zarah yang bergerak melepasi had laju alam semesta berkata semalam bahawa mereka sedang mengulangi eksperimen yang mencetuskan perdebatan itu.

"Ujian yang baru telah bermula dua atau tiga hari lalu," kata Timbalan Ketua Institut Fizik Nuklear dan Fizik Partikel Kebangsaan Perancis (IN2P3), Stavros Katsanevas.

"Para pengkritik mengatakan bahawa keputusan kami adalah kesilapan statistikal. Ujian yang baru ini akan membantu kami menjawab kritikan itu," katanya kepada AFP.

Pada 23 September, pasukan itu mengejutkan ahli-ahli fizik partikel dengan mengatakan mereka telah berjaya mengukur neutrino yang bergerak sekitar enam kilometer sesaat lebih pantas daripada halaju cahaya yang diputuskan oleh Einstein sebagai kelajuan yang paling tinggi boleh wujud.

Neutrino itu telah diukur melalui trajektori sepanjang 732 kilometer antara Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) di Switzerland dan sebuah makmal di Itali.

Menerusi transformasi yang kompleks beberapa daripada proton tiba di destinasi sebagai neutrino dengan perjalanan merentas kerak bumi.

Friday, 28 October 2011

CAP gesa kerajaan haramkan asbestos


PULAU PINANG, 12 Oktober: Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M Mohamed Idris mempertegaskan, sudah tiba masanya Kerajaan Malaysia mengharamkan segala bentuk kemasukan asbestos ke negara ini kerana terdapatnya peningkatan penyakit yang ada hubungkaitnya dengan asbestos chrysotile.

Malaysia harus mengambil keputusan tersebut memandangkan ianya telah dipersetujui dalam perbincangan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) walaupun perwakilan dari APCO Worldwide membantah kemasukan chrysotile ke dalam pengharaman tersebut dengan alasan negara akan mengalami kerugian ekonomi.

"Kerajaan Malaysia wajar mengambil satu keputusan sepertimana yang diputuskan dalam perbincangan dengan DOCH pada 28 Mac lalu tidak terikut dengan bantahan dari APCO Worldwide yang beranggapan tindakan itu boleh merugikan ekonomi negara.

Tindakan itu akan menyelamatkan peningkatan penyakit yang ada hubungkait dengan asbesto yang diharamkan di kebanyak negara sekarang ini, " ujarnya.

Kerajaan Malaysia juga harus mengetahui pandangan dari sudut sainsifik cukup jelas segala bentuk asbestos boleh menyebabkan berbagai penyakit seperti mesotelioma, kanser paru-paru dan jenis kanser yang lain. Tambahan lagi asbestos adalah salah satu karsinogen pekerjaan paling penting membabitkan kira-kira separuh kematian akibat kanser.

Menurut WHO angka kematian di negara yang telah lama mengharamkan kemasukan asbestos semenjak 1990 an pun terus meningkat berkali ganda.

Memang tidak dinafikan, akibat terlalu lama mengamalkan kebenaran kemasukan asbestos banyak negara terpaksa menghadapi risiko menghadapi masalah berkenaan.

Malaysia pun katanya, harus bertindak sejajar dengan sikap negara lain demi keselamatan rakyat yang lebih ramai mati akibat penyakit itu dariapda kemalangan di tempat kerja.

"Walaupun APCO Worldwide telah membawa masuk Dr David Berstein dari Switzerland bagi menyekat pengharaman itu namun Malaysia yang mementingkan kesihatan rakyatnya harus bertindak adil bukan terpengaruh dengan desakan yang tidak munasabah sebab tiada pertanda yang mengatakan ia membawa kebaikan adalah mustahil, " jelasnya.

Malaysia juga kena meniru langkah yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang mengadakan kempen secara global untuk membasmi penyakit yang dikaitkan dengan asbestos.

Malaysia juga harus mengambil langkah sepertimana Thailand yang mengambil langkah mengharamkan terus pengunaan asbestos di bumbung rumah khasnya di kawasan bandar daripada menurut desakan golongan yang mementingkan keuntungan daripada kesihatan orang ramai.

"55 negara telah mengambil langkah mengharamkan dan negara terakhir berbuat demikian ialah Thailand. Memandangkan Thailand dan Malaysia banyak persamaan semua yang diperkatakan oleh APCO Worldwide tidak ada lojiknya. Kita tahu mereka hanya mementingkan keuntungan daripada memikirkan kesihatan rakyat, " tambah S.M Mohamed Idris lagi.

Banjir: Penduduk tinggalkan Bangkok


BANGKOK 27 Okt. - Beribu-ribu penduduk mula meninggalkan kota Bangkok hari ini menyebabkan stesen bas, kereta api dan lapangan terbang penuh sesak.

Tindakan itu diambil selepas kerajaan memberi amaran akan menggunakan cuti lima hari yang diumumkan untuk memindahkan penduduk yang terancam, sebelum banjir besar melanda Bangkok hujung minggu ini.

Amaran kerajaan itu bagaimanapun hanya dikuatkuasakan di tiga daripada 50 daerah di Bangkok, tetapi kerajaan mengakui seluruh bandar raya mungkin akan dilanda banjir dalam tempoh beberapa hari lagi.

Amaran pemindahan terbaru dikeluarkan di daerah Sai Mai awal hari ini selepas banjir mula menenggelamkan jalan raya, stesen minyak dan kediaman.

Kerajaan-kerajaan asing turut memberi amaran kepada rakyat mereka dengan pejabat Kementerian Luar Britain menyatakan banjir mungkin akan mengganggu sistem pengangkutan, menyebabkan kawasan pelancongan ditutup dan menjejaskan bekalan elektrik serta air.

Usaha melindungi Bangkok berdepan tamparan psikologi besar semalam, selepas benteng banjir di sekitar lapangan terbang kedua terbesar di bandar raya itu dinaiki air, memaksa terminal ditutup.

Stesen bas Mo Chit dilaporkan sesak sejak semalam ekoran orang ramai bertindak meninggalkan bandar raya ini sempena cuti lima hari.

Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi turut dipenuhi orang ramai.

Di Sai Mai, beratus-ratus penduduk berebut-rebut menaiki trak tentera untuk meninggalkan daerah itu ekoran bantuan yang tidak mencukupi.

Protes harga tiket mahal: Laman web FAM digodam

28/10/2011 2:38am

Oleh ILLAH HAFIZ AZIZ
KUALA LUMPUR 28 Okt. – Laman rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah digodam pihak tidak bertanggungjawab, awal pagi ini.

Laman web itu, www.fam.org.my difahamkan tidak lagi berfungsi seperti biasa, sebaliknya telah mempamerkan logo FAM yang diubah suai dengan meletakkan imej ‘khinzir’ dan turut dimasukkan rakaman dua rakaman video berbau provokasi.

Selain itu, laman web yang digodam dengan latar belakang warna merah itu turut menyelitkan satu artikel dari sebuah akhbar tempatan (bukan terbitan Utusan Malaysia) bertajuk ‘Harga tiket RM50 wajar’.

Kata-kata herdikan yang menggunakan bahasa kesat turut diselitkan pada laman yang digodam itu.

Provokasi terbaru ini difahamkan wujud akibat kenaikan harga tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu, Sabtu ini.

Wednesday, 26 October 2011

Banyak minum soda tingkatkan kelakuan ganas remaja


PARIS 25 Okt. - Sepasukan penyelidik Amerika Syarikat (AS) hari ini mendedahkan wujudnya kaitan antara perlakuan ganas golongan remaja dengan jumlah air soda yang mereka minum.

Dalam kajian yang dilakukan terhadap sekumpulan pelajar sekolah menengah di Boston, mereka yang minum lima tin minuman ringan setiap minggu didapati mudah terlibat dengan perlakuan agresif berbanding pelajar yang kurang mengambil minuman tersebut.

''Apa yang kami temui ialah wujud kaitan yang kuat antara jumlah minuman ringan yang diambil oleh remaja dengan perlakuan ganas mereka.

''Bukan hanya keganasan terhadap rakan sebaya malah perlakuan ganas terhadap teman masing-masing serta adik-beradik.

''Ia satu penemuan yang mengejutkan bagi kami apabila kajian yang dijalankan cukup jelas memperlihatkan perkaitan itu,'' kata Profesor di Sekolah Kesihatan Awam, Harvard University, David Hemenway.

Katanya, kajian itu berdasarkan kepada soal selidik terhadap 1,878 responden yang terdiri daripada golongan pelajar berusia antara 14 dan 18 tahun di pusat Boston, kawasan yang mencatatkan jumlah jenayah yang tinggi berbanding pinggir bandar Boston.

Antara soalan yang dikemukakan adalah sama ada mereka pernah meminum arak atau merokok serta membawa senjata dan melakukan keganasan terhadap rakan serta ahli keluarga.

Hemenway berkata, di kalangan mereka yang minum 14 tin minuman ringan dalam seminggu, 43 peratus daripada mereka didapati membawa senjata api atau pisau manakala 27 peratus lagi melakukan keganasan terhadap teman masing-masing dan lebih 58 peratus pula bertindak ganas kepada rakan sebaya. - AFP

Saturday, 22 October 2011

Obama announces full American military withdrawal from Iraq




President Barack Obama announced on Friday a nearly complete withdrawal of American military forces from Iraq by the end of the year 2011.
"Today, I can report that as promised, the rest of our troops in Iraq will come home from Iraq at the end of this year," Obama said. "After nine years, America's war in Iraq will be over. Over the next two months our troops in Iraq--tens of thousands of them--will pack up their gear and board convoys for the journey home."
Obama affirmed that he has been in talks with Iraqi Prime Minister Nouri al-Maliki and that the Iraqi government supported the American withdrawal.
"We are in full agreement about how to move forward," Obama said.
Although it was extended several times, the timeline for withdrawal was originally drafted under former President George W. Bush and implementing it was a key campaign promise for Obama when he was running for president in 2007 and 2008.
The military will keep about 160 servicemen and women in Baghdad to provide security for the embassy there.
Since the invasion in 2003, the war has claimed the lives of 4,478 American service members.



p/s= kepada sesiapa yang ada simpan dinar Iraq tu, he3 berita gembira x lama lagi....!!!! dua bulan lagi....nilai matawang dinar Iraq pasti naik semula....

Friday, 21 October 2011

NTC sahkan Muammar Gaddafi terbunuh



2011/10/20

SIRTE (Libya): Pihak berkuasa Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mengesahkan bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi ditangkap dan kemungkinan terbunuh di bandar kelahirannya, Sirte, dalam serangan yang dilancarka Pejuang Revolusi negara itu, sebentar tadi.

Menteri Penerangan Libya, Mahmoud Shammam, berkata beliau mengesahkan Gaddafi terbunuh selepas mendapat maklumat daripada Pejuang Revolusi yang melihat sendiri mayat bekas pemimpin negara itu.
“Anggota kami di Sirte sudah melihat mayatnya....Mustafa Abdul-Jalil (Pengerusi NTC) akan mengesahkan perkembangan terbaru itu tidak lama lagi. Pejuang Revolusi memberitahu bahawa Gaddafi kelihatan menyertai satu konvoi dan mereka menyerang konvoi berkenaan,” katanya di sini, sebentar tadi.
Jurucakap operasi ibu pejabat NATO di Naples, Itali, Kolonel Roland Lavoie, berkata pesawat bersekutu melancarkan serangan ke atas dua kenderaan pasukan keselamatan pro-Gaddafi awal pagi tadi, di mana mereka terpisah daripada kumpulan itu sebelum menuju ke Sirte.

Bagaimanapun, pihak berkuasa NATO yang enggan namanya didedahkan berikutan syarat yang ditetapkan dalam undang-undang pasukan keselamatan bersekutu, berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada Gaddafi terbunuh atau ditangkap.

Semua pihak mengambil langkah berhati-hati untuk mengumumkan kematian Gaddafi apabila laporan yang diterbitkan sebelum ini (merujuk kepada kematian ahli keluarga Gaddafi atau penangkapannya) disahkan tidak tepat.

Sementara itu, satu daripada kumpulan Majlis Ketenteraan Misrata, berkata pejuang mereka berjaya menangkap Gaddafi.
Manakala, Komander bagi kumpulan lain dalam Majlis Ketenteraan Misrata pula, Abdel-Basit Haroun, berkata Gaddafi terbunuh dalam serangan udara yang disasarkan ke atas konvoi yang sedang melarikan diri. - AP

Thursday, 20 October 2011

PM ajak peminat tonton perlawanan United dengan City di Seri Perdana



KUALA LUMPUR 19 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak mempelawa peminat bola sepak untuk bersama-sama beliau menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris, Manchester United menentang Manchester City di kediamannya, di Seri Perdana, Putrajaya pada pukul 8 hingga 11 malam, Ahad ini.

Kata Perdana Menteri, mereka yang berminat boleh mendaftar di laman web 1Malaysia di http://www.1malaysia.com.my/sunday-night-football/ dan berpeluang menonton perlawanan itu bersama seorang rakan.

Beliau yang juga peminat setia Manchester United menambah, pendaftaran itu akan dibuka bermula esok (20 Oktober) sehingga pukul 5 petang Jumaat ini.

''Selepas dua kali menonton perlawanan bola sepak bersama-sama peminat bola di kawasan terbuka iaitu di Bukit Bintang dan Putrajaya, saya berpandangan sudah tiba masanya untuk saya pula menjadi 'tuan rumah' dengan menganjurkannya di Seri Perdana pada malam Ahad, 23 Oktober ini.

''Jemputan ini juga bagi membolehkan saya meluangkan masa secara santai (lepak) dengan rakan-rakan Facebook dan Twitter saya," katanya dalam entri terbaru bertajuk Mari Berjumpa Mari Berhubung: Sunday Nite Football @ Seri Perdana di blognya hari ini.

Bahaya spa ikan


Kementerian Kesihatan nasihat orang ramai henti terapi ikan

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan memberi amaran risiko terapi ikan atau lebih dikenali sebagai spa ikan kerana boleh menyebarkan pelbagai penyakit berbahaya, termasuk Hepatitis C, HIV/AIDS dan tibi serta beberapa penyakit lain yang berjangkit menerusi bawaan air.

Himpun diteruskan tanpa Pas


KUALA LUMPUR 19 Okt. - Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (Himpun) akan meneruskan perhimpunan mempertahankan akidah umat Islam di Shah Alam, Sabtu ini walaupun Pas membuat keputusan untuk tidak menyertai program tersebut.

Pengerusi Bersama Himpun, Mohd. Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, pihak sekretariat akan mengumpulkan seberapa ramai masyarakat Islam daripada pelbagai latar belakang atas semangat persaudaraan demi mempertahankan akidah yang satu.

Sesungguhnya beliau berkata, dorongan perhimpunan itu bertitik-tolak daripada keprihatinan terhadap amanah dan tanggungjawab kepada Allah atas kepentingan akidah tauhid yang satu dan bukan menyentuh untuk kepentingan mana-mana parti politik.

''Namun begitu, ingin saya jelaskan di sini bahawa kehadiran parti-parti politik termasuk seluruh kepimpinan dan ahlinya adalah amat dialu-alukan. Oleh itu, kami terus membuka undangan kepada semua kepimpinan Islam dari semua parti politik supaya turut serta dalam perhimpunan ini.

''Kami benar-benar mengharapkan semua pihak memahami bahawa isu yang hendak ditampilkan oleh Himpun ini berkaitan dengan persoalan mempertahankan akidah umat Islam daripada tergugat, pada masa sama mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini bagi mengulas keputusan Pas untuk tidak terlibat di dalam program Himpun Sabtu ini.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pihaknya telah dimaklumkan bahawa program itu tidak melibatkan parti-parti politik dan oleh itu, Pas mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.

Mengulas lanjut Azmi berkata, di dalam perhimpunan itu pihaknya mahu menyampaikan mesej bahawa akidah umat Islam mesti dipelihara dan diperkukuhkan dalam sebuah negara berbilang agama.

Satu lagi mesej jelas beliau, ialah mengenai penegasan berhubung larangan menyebarkan dan mengembangkan agama selain Islam kepada umat Islam yang sepatutnya dihormati dan tidak dicabar.

''Melalui perhimpunan ini kita juga mahu menyampaikan mesej supaya semangat perhubungan yang harmonis antara semua penganut agama perlu dipertahankan berdasarkan hak dan kebebasan beragama seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan,,'' ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Penasihat Kehormat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, keengganan Pas menyertai perhimpunan itu membuktikan parti tersebut berkiblatkan kuasa semata-mata.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai talam dua muka, beliau turut mendesak Pas supaya membuat pertimbangan untuk kembali ke pangkal jalan semula dengan menyertai perhimpunan ini.

"Tindakan Pas seolah-olah menolak realiti wujudnya cabaran keruntuhan akidah umat Islam yang berleluasa di negara ini.

"Kenapa Pas menggadai prinsip asas agama ini? Adakah mereka (Pas) melihat kuasa politik itu lebih besar daripada perjuangan mendaulatkan agama? Adakah menjaga hati rakan-rakan pembangkangnya lagi penting?'' soalnya.

Tambah Ahmad Zaki, sepatutnya Pas dengan imej Islamnya berada di barisan paling hadapan bagi menangkis gejala murtad dan bukannya bertindak mengecewakan masyarakat Islam kerana enggan terlibat.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman yakin perhimpunan itu akan menerbitkan nilai-nilai positif di kalangan penganut agama lain terhadap Islam.

''Melalui perhimpunan ini kita akan mengingatkan mereka supaya menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bukannya bertindak mencetuskan ketegangan agama,'' katanya lagi.-utusan

Samsung-Apple masih mesra


SEOUL 19 Okt. - Hubungan perniagaan antara Samsung Electronics Co. dan Apple Inc masih kukuh namun tindakan saman pelanggaran hak cipta oleh syarikat telekomunikasi Amerika Syarikat (AS) tersebut terhadap rakan perniagaannya mungkin memutuskan hubungan itu pada masa depan.

Apple membeli beberapa komponen utama untuk produk telefon pintar iPhonenya dari syarikat Korea Selatan itu walhal Samsung merupakan pesaing terbesarnya dalam pasaran telefon pintar berkenaan.

Laporan menyatakan tindakan undang-undang pelanggaran hak cipta oleh Apple itu mungkin menjejaskan perjanjian baru dengan Samsung dalam membekalkan komponen kepada syarikat telekomunikasi AS tersebut.

Ketua Operasi Samsung, Lee Jae Yong berkata, beliau sudah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook 'selama dua, tiga jam'.

''Kebanyakan perbincangan dengan Cook melibatkan penghantaran komponen kepada Apple yang dipersetujui akan diteruskan sehingga 2013 dan 2014,'' katanya selepas pulang dari majlis memperingati pengasas Apple, Steve Jobs yang meninggal dunia di AS.

Jemputan Cook kepada Jae Yong itu menimbulkan persoalan apakah kesan kepada pertikaian undang-undang hak cipta antara kedua-dua syarikat telekomunikasi gergasi tersebut.

Spekulasi timbul bahawa Apple mungkin menukar pembekal komponen di Taiwan ekoran pertikaian berkenaan.

Ditanya kesan perbincangan itu terhadap pertikaian undang-undang antara kedua-dua syarikat, Jae Yong berkata, kes saman itu merupakan isu berasingan yang akan dibincangkan oleh peguam mereka.

Samsung kelmarin memfailkan tindakan undang-undang di Jepun dan Australia bagi menghalang penjualan model terbaru iPhone atas dakwaan Apple melanggar hak cipta paten telefon bimbitnya. - dpa

Wednesday, 19 October 2011

Terminal kapal angkasa pertama Virgin Atlantic dibuka secara rasmi



LONDON 18 Okt. - Jutawan Britain, Richard Branson hari ini merasmikan pembukaan lapangan terbang kapal angkasa yang pertama di dunia bernilai AS$209 juta (RM627 juta) bagi memberi peluang kepada pelancong untuk terbang ke orbit.

Terminal itu dibina di kawasan gurun di New Mexico dan akan memulakan operasi pada tahun depan.

Terminal tersebut akan menempatkan kapal angkasa Virgin Galactic, pusat kawalan misi dan kawasan menunggu khas apabila penerbangan pertama dijangka berlepas pada akhir 2012.

Semasa upacara pembukaan, jutawan tersebut disertai Gabenor New Mexico, Susana Martinez, angkasawan Buzz Aldrin serta orang ramai bagi menyaksikan ciptaan unik itu.

Syarikat Virgin kini dalam usaha melakukan ujian roket di lapangan terbang itu.

"Lapangan terbang itu sangat hebat dan menjadi antara yang paling unik di dunia.

"Kami berharap mempunyai sumber kuasa yang mencukupi untuk melakukan penerbangan ke angkasa lepas menjelang 2012," kata Branson.

Sementara itu, kira-kira 450 orang telah membeli tiket untuk menyertai penerbangan ke orbit dengan 150 daripada mereka hadir pada upacara pembukaan tersebut.

Sebelum memasuki kawasan hangar, pengunjung disajikan dengan simulator penerbangan kapal angkasa WhiteKnightTwo yang akan menjadi kapal utama untuk membawa penumpang ke orbit.

Tambang bagi penerbangan ke orbit menaiki kapal angkasa WhiteKnightTwo melibatkan kos sebanyak AS$200,000 (RM600,000) bagi perjalanan pergi balik.

Penerbangan ke orbit itu dijangka mengambil masa selama dua jam setengah dan penumpang berpeluang menyaksikan Bumi dari orbit serta berada dalam keadaan terapung-apung, yang sebelum ini hanya dialami oleh angkasawan. - AGENSI

Sunday, 16 October 2011

Mr Bean Transformation

Demonstrasi anti kapitalis merebak


FRANKFURT 16 Okt. – Beribu-ribu penunjuk perasaan berdemonstrasi di luar ibu pejabat Bank Utama Eropah di sini, pada hari pertama protes menentang ketidaksamaan ekonomi dan ketamakan kapitalisme di seluruh dunia, semalam.

Pihak penganjur menganggarkan kehadiran hampir 6,000 orang, manakala polis mendakwa 5,000 orang yang berkumpul di dataran dengan membawa logo gergasi mata wang euro berwarna biru kuning.

Sebelum itu, demonstrasi secara aman dan terkawal turut diadakan di London, Hong Kong, Jepun dan Australia dengan ribuan penunjuk perasaan membawa sepanduk yang ditulis dengan ayat menentang sistem kapitalis.

Sementara itu di Rome, polis anti rusuhan melepaskan tembakan meriam air dan gas pemedih mata terhadap beratus-ratus penunjuk perasaan anti kapitalis di sini, manakala sekumpulan aktivis bertindak liar membakar ruang tambahan Kementerian Pertahanan berdekatan ibu negara Itali. – AFP

Friday, 14 October 2011

Rich vs Poor: How Parents Wealth Helps Or Hurts Children

Bali kena gempa dari dasar laut


50 cedera gegaran magnitud 6.1 dirasai sehingga Pulau Jawa, Lombok

BALI: Gempa bumi kuat pada magnitud 6.1 menggegarkan Pulau Bali, destinasi pelancongan popular Indonesia, semalam menyebabkan penduduk panik selain menjadi punca sekurang-kurangnya 50 orang cedera, ramai luka di kepala dan ada yang mengalami patah tulang.
Kajian Jabatan Geologi Amerika menyatakan, gempa bumi itu berpusat 100 kilometer barat daya pulau itu pada kedalaman 60 kilometer di bawah dasar laut.
Walaupun ia tidak mencetuskan amaran tsunami, gempa bumi itu dirasai beratus-ratus kilometer hingga ke Pulau Jawa dan Lombok.

“Gempa itu menyebabkan saya terjatuh dari motosikal,” kata seorang mangsa yang cedera, Miftahul Chusna.

Antara yang cedera termasuk seorang pelajar dan tiga guru apabila siling sekolah menengah mereka runtuh, kata wakil agensi bencana alam tempatan, I Gede Tejo.

Pegawai perhubungan awam untuk Hotel Sanur Beach, Candy Juliani, berkata gempa bumi itu menyebabkan keadaan kelam kabut dan tetamu bergegas keluar bilik dan berada di jalan.
“Kami ada laluan kecemasan untuk situasi seumpama ini. Tetapi, semua orang panik dan tidak menghiraukannya,” katanya.

Agensi Meteorologi, Cuaca dan Geofizik Indonesia (BKMG) berkata, magnitud gempa itu adalah 6.8, sedalam 10 kilometer.

Siling di beberapa sekolah dan pejabat serta kuil Hindu purba di sepanjang pantai turut rosak manakala dinding retak.

“Saya masih ketakutan. Tiada kerosakan besar berlaku tetapi ada barang yang terjatuh dari dinding. Ia amat kuat,” kata Stuart McDonald, seorang penduduk Australia.

Gegaran juga dirasai selama beberapa minit di kawasan pelancongan utama, Kuta, kata Endro Tjahjono, pegawai Agensi Meteorologi, Cuaca dan Geofizik. – Agensi

Protes anti-Wall Street terus merebak


NEW YORK 12 Okt. - Protes anti-Wall Street sejak tiga minggu lalu di New York terus merebak apabila sekumpulan 500 penunjuk perasaan Occupy Wall Street berhimpun di hadapan kediaman orang kaya di Manhattan, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Setelah menerima tekanan daripada tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan di Boston, kumpulan itu turut berarak melalui laluan sepanjang Upper East Side yang menempatkan kediaman taikun media, Rupert Murdoch dan pakar industri konservatif, David Koch.

"JP Morgan tidak bagus! Rakyat perlukan Robin Hood!" pekik penunjuk perasaan ketika berarak di luar blok apartmen mewah yang turut didiami pengurus eksekutif syarikat kewangan terkemuka itu, Jamie Dimon.

Kediaman Datuk Bandar New York yang kaya, Michael Bloomberg turut berada di kawasan itu.

Tuntutan supaya orang kaya AS membayar lebih banyak cukai adalah permintaan utama Occupy Wall Street yang turut disokong oleh parti sayap kiri dan kesatuan sekerja.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mereka menahan 129 orang penunjuk perasaan di Boston semalam, antara tindakan keras terbesar ke atas pergerakan Occupy Wall Street.

Jurucakap Jabatan Polis Boston, Eddy Chrispin berkata, majoriti penahanan dibuat kerana penunjuk perasaan berhimpun secara haram.

Di Washington, polis menahan enam penunjuk perasaan yang memasuki bangunan pejabat Senat dan memekik slogan kira-kira selama 15 minit sebelum pengawal keselamatan menyuraikannya.

Penunjuk perasaan di New York yang marah dengan tindakan kerajaan menyelamatkan bank-bank berpangkalan di Wall Street, mula berhimpun pada 17 September lalu, membawa kepada demonstrasi berterusan yang semakin menarik perhatian dan kini sudah merebak ke bandar raya lain di AS. - AFP

Suplemen vitamin E boleh sebabkan kanser


WASHINGTON 12 Okt. - Penyelidik Amerika Syarikat (AS) hari ini memberi amaran pengambilan suplemen vitamin E boleh menyebabkan risiko menghidap kanser prostat meningkat sebanyak 17 peratus.

Berdasarkan satu ujian terhadap 35,000 lelaki sejak 10 tahun lalu, penyelidik mendapati penghidap penyakit kanser itu menghadapi risiko lebih tinggi dengan pengambilan suplemen vitamin E, berbanding selenium atau plasebo.

"Makanan suplemen yang mengandungi vitamin E nyata sekali meningkatkan risiko kanser prostat di kalangan lelaki," jelas satu kajian yang disiarkan dalam jurnal Persatuan Perubatan Amerika.

Kajian itu dilakukan berdasarkan penyelidikan sebelum ini yang mencadangkan kebarangkalian selenium atau vitamin E boleh mengurangkan risiko menghidapi kanser prostat.

Kajian tersebut dijalankan pada 2001 dengan pembahagian kepada empat kumpulan.

Kumpulan pertama akan mengambil selenium, kumpulan kedua akan menerima 400 pil vitamin E unit antarabangsa secara harian dan kumpulan seterusnya diberi kedua-duanya serta yang terakhir akan menerima plasebo.

Sejumlah 620 lelaki dalam kumpulan pertama yang mengambil vitamin E menunjukkan risiko tinggi menghidap kanser prostat berbanding kumpulan kedua yang terdiri daripada 555 lelaki.

Kumpulan ketiga sebanyak 575 lelaki diberi selenium manakala 529 lelaki mengambil plasebo.

"Hasil pemerhatian terhadap peningkatan risiko menghidap kanser prostat sebanyak 17 menunjukkan potensi seolah-olah tidak berbahaya walaupun bahan-bahan aktif biologi seperti vitamin boleh memudaratkan kesihatan," jelas kajian tersebut. - AFP

Thursday, 13 October 2011

41 belia muflis setiap hari gagal urus kewangan


KUALA LUMPUR 11 Okt. - Seramai 41 belia Malaysia berumur lingkungan 21 hingga 40 tahun dianggarkan menjadi muflis setiap hari akibat kurangnya pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj berkata, belia merupakan golongan utama menghadapi masalah kewangan dan menjadi muflis berbanding orang dewasa akibat daripada perbelanjaan yang tidak terkawal.

"Antara punca utama adalah kerana urusan sewa beli seperti kereta, rumah dan penggunaan kad kredit.

"Apabila lebih 30 peratus daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang, seseorang itu sudah dikira mempunyai masalah kewangan.

"Ini menunjukkan betapa kurangnya kesedaran golongan muda berkaitan pengurusan kewangan mereka dan jika perkara ini dibiarkan, ia akan menjadi lebih teruk," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran program RINGGIT Pertama Saya di sini, hari ini.

Program RINGGIT Pertama Saya adalah kerjasama antara Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna Malaysia (ERA Consumer) dan Citibank Bhd. dalam usaha memupuk kesedaran kanak-kanak berhubung pentingnya pengurusan kewangan.

Program ini melibatkan 400 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun dari 20 buah tadika di seluruh negara.

Paul menambah, FOMCA menggesa kerajaan untuk memasukkan pendidikan pengurusan kewangan di dalam sistem persekolahan untuk memberi ilmu bersesuaian kepada kanak-kanak.

"Kita harus mendidik generasi akan datang mengenai pentingnya pengurusan kewangan dan usaha ini sebaiknya dimulakan dari peringkat sekolah lagi," ujarnya.

Penyanyi Ahmad Jais meninggal dunia


SHAH ALAM 11 Okt. – Penyanyi yang popular dengan lagu Lembaran Terakhir, Datuk Ahmad Jais meninggal dunia di Hospital Pakar Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) di sini kira-kira pukul 9.20 pagi ini.

Ahmad Jais atau nama sebenarnya, Mohamad Jais Ahmad, 75, meninggal dunia kerana komplikasi paru-paru setelah dimasukkan ke hospital berkenaan selama dua minggu.

Allahyarham yang dilahirkan di Kapar, Klang, meninggalkan lima anak dan 13 cucu.

Menurut anak keempat Allahyarham, Maimun, 31, sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar DEMC, arwah bapanya dimasukkan ke Pusat Perubatan KPJ.

“Hari ini merupakan hari yang ke-15 ayah dimasukkan ke DEMC dan ayah meninggal dunia pagi ini.

“Sebenarnya, sejak semalam lagi doktor memaklumkan kepada saya keadaan ayah tidak begitu baik.

“Jadi, sejak petang semalam lagi saya mula membacakan surah Yasin,” katanya ketika ditemui selepas jenazah Allahyarham yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21 dekat sini selepas solat zuhur.

Menurut Maimun, selain masalah paru-paru, Allahyarham bapanya menghidap asma dan selama berada di DEMC, arwah berada dalam keadaan koma.

Sebelum dikebumikan, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negeri untuk disembahyangkan.

Lagu-lagu hit Allahyarham Ahmad Jais termasuk Takwa dan Iman, Kucupan Azimat, Umpan Jinak di Air Tenang, Di Ambang Sore, Bahtera Merdeka, Azizah, Gelisah, Lembaran Terakhir dan Mengharap Sinar Menelan Kabus.

Allahyarham sepanjang penglibatannya sebagai penyanyi telah melahirkan 15 album berkonsepkan langgam dan asli.

Kali terakhir Allahyarham mengadakan persembahan ialah di Istana Budaya, Kuala Lumpur dalam Konsert Semalam Di Malaysia bersama kumpulan D’llyod pada Mei lalu.

Tuesday, 11 October 2011

Makin ramai golongan kaya Britain mahu berhijrah


LONDON 10 Okt. - Rusuhan di England, baru-baru ini mengakibatkan bilangan orang kaya negara ini menimbang untuk meninggalkan Britain terus meningkat.

Kaji selidik oleh Lloyds TSB International Wealth yang diterbitkan hari ini mendapati 17 peratus daripada 1,057 responden yang memiliki simpanan dan pelaburan melebihi 250,000 pound (RM1.27 juta) mahu berpindah ke luar negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

Angka itu meningkat daripada 14 peratus pada enam bulan lalu.

Sebanyak 61 peratus daripada mereka yang menimbang berpindah ke luar negara menyatakan bahawa jenayah dan kelakuan anti-sosial sebagai alasan utama mereka mengambil keputusan itu.

Jumlah itu meningkat daripada 43 peratus dan mengetengahkan kebimbangan yang timbul ekoran rusuhan di London dan beberapa bandar utama pada Ogos lalu.

''Rusuhan, kenaikan cukai dan peningkatan kos sara hidup menimbulkan suasana suram di kalangan rakyat kaya di United Kingdom.

''Ia akan mengembalikan kebimbangan penyusutan kekayaan daripada ekonomi kita, ketika orang kaya mencari tempat lain untuk tinggal,'' kata Pengarah Urusan Lloyds TSB International Wealth, Nicholas Boys Smith dalam satu kenyataan.

Rusuhan yang menyaksikan sejumlah kematian pada Ogos lalu itu berlaku selepas polis menembak mati suspek penjenayah di London.

Ia mencetuskan keganasan dan kerosakan harta benda di beberapa bandar utama Britain termasuk kedai dibakar dan dipecah masuk. - Reuters

Mampukah Bajet 2012 kembalikan kuasa 2/3 BN?

Dr Rosli Yaakop
Belanjawan 2012 cukup pemurah. Ada yang berlinangan air mata mengenangkan kemurahan hati Perdana Menteri Malaysia. Semua golongan mendapat habuan. Berjuta-juta orang murid sekolah yang belum layak mengundi pun mendapat habuan. Ibu penulis bakal mendapat RM3,000 sebab arwah ayahanda pernah menjadi AC di zaman penjajah.
Nampaknya, kerajaan UMNO-BN betul-betul mahu menjaga kebajikan rakyat – dan mesej itulah yang mahu diangkat setingginya - walaupun terpaksa bergadai bergolok dan dalam keadaan hutang negara semakin menimbun setelah masuk 14 tahun berbelanja boros. Ini betul-betul “Rakyat First” namanya. Hutang bertimbun tidak kesah. Bukan generasi ini yang akan membayar. Yang akan membayarnya generasi hadapan. Hai orang muda, tengoklah! Kerajaan UMNO-BN mewariskan kepada generasi hadapan hutang bertimbun bukan harapan segunung. Lihatlah negara Greek dan Amerika Syarikat. Akibat keborosan generasi lalu, generasi kini yang menanggung bebannya. Generasi lalu menikmati taraf hidup yang luarbiasa tingginya tetapi generasi kini hidup merempat.

Dalam tahun 2012, kerajaan UMNO-BN akan berbelanja RM232.8 bilion, 5.8% lebih tinggi berbanding anggaran belanjawan tahun 2011 (RM220 bilion). Hasil dianggarkan RM186.9 bilion menyebabkan difisit belanjawan sebanyak RM49.4 bilion atau 4.7% daripada KDNK. Ini bermakna kerajaan terpaksa berhutang lagi. Tiap-tiap tahun kerajaan menambah hutang dalam tempoh 14 tahun kebelakangan ini. Nampaknya, kerajaan UMNO-BN tidak mahu langsung mengambil iktibar daripada kerajaan Ireland, Greek, Itali dan Amerika Syarikat. Negara-negara ini berada di ambang keranapan disebabkan perangai suka berhutang.

Sepatutnya, dalam tahun-tahun ekonomi berkembang, longgokkan lebihan belanjawan supaya lebihan ini boleh dibelanjakan semasa ekonomi merosot. Disiplin fiskal ini ditolak ketepi oleh kerajaan UMNO-BN. Mereka berbelanja boros sepanjang masa tanpa langsung mengambil kira betapa beratnya generasi akan datang hendak menanggung beban keborosan generasi kini. Ini adalah pengurusan fiskal yang tidak bertanggungjawab. Dalam tahun 2012 mereka akan berbelanja boros lagi kerana kononnya hendak melawan impak negetif ke atas ekonomi negara akibat tren kitaran menurun yang dihadapi ekonomi dunia sekarang. Sebenarnya, kerajaan UMNO-BN berbelanja besar untuk membeli undi dalam PRU13 yang akan diadakan sebentar sahaja lagi. Ambil “Pakej Rangsangan Khas” dengan peruntukan sebanyak RM6 bilion sebagi contoh. Peruntukan ini akan dibelanjakan untuk menaikkan taraf dan membaik pulih bangunan sekolah dan membina bangunan tambahan, menaikkan taraf hospital, melaksanakan program tebat banjir, menaikkan taraf infrastruktur luar bandar dan membina rumah awam untuk golongan berpendapatan rendah dan nelayan. Setiap kali pilihanraya, inilah projek yang dilaksanakan.

Sayogia diketahui projek-projek ini semuanya tidak mempunyai “forward and backward linkages” yang besar dan tidak memberi impak terbaik untuk melawan kemelesetan ekonomi. Hakikatnyanya ialah, peruntukan ini hendak diagihkan secara segera kepada kontraktor-kontraktor kecil yang terdiri dari ketua-kutua cawangan dan bahagian parti tertentu sebagai “minyak pelincir” kepada jentera pilihan raya. Sudah 54 tahun kita merdeka, takkan rakyat tidak masak lagi dengan tipu muslihat kerajaan UMNO-BN ini? Jalan-jalan kampong yang diturap semula memang tidak berkualiti. Lepas tiga empat bulan ianya berlopak semula. Bangunan sekolah runtuh dan jambatan ruboh,

Belanjawan 2012 bukannya belanjawan satu Malaysia. Ia memberi kasih ke setengah-tengah wilayah dan mengabai dan menganaktirikan wilayah yang lain. Amalan pilih kasih yang keterlaluan oleh kerajaan UMNO-BN dalam pembangunan wilayah ini bukan perkara baru. Amalan buruk ini sudah sebati dan menjadi sebahagian dari perangai mereka. Contohnya, belanjawan 2012 memperuntukkan RM978 juta untuk membangunan lima gerbang wilayah - Lebuhraya pesisiran pantai Johor Baharu-Nusa Jaya di Iskandar, Johor, pembangunan pelancungan warisan di Taiping, skim agropolitan di Besut, Terengganu, projek gugusan industri sawit di Lahad Datu, Sabah dan projek bekalan air Samalaju di Sarawak. Tidak ada peruntukan untuk pempbangunan projek seperti ini di Kelantan dan Kedah semata-mata negeri-negeri diperintah oleh kerajaan selain dari UMNO-BN. Layanan yang diberi seolah-olah menunjukkan negara-negeri ini bukan sebahagian daripada Malaysia.

Penulis teringat peristiwa Gabenor Bank Negara Malaysia (Allahyarham Tun Ismail Mohd. Ali) pergi ke London (awalan tahun 1980an) melancarkan “Dawn Raid” bagi mengembalikan penguasaan syarikat perladangan terbesar di Malaysia (sekarang ini dikenali dengan nama Kumpulan Sime Darby) ke genggaman anak watan Malaysia. “Serangan komando” itu berjaya dan syarikat perlandangan itu kekal sebagai hakmilik rakyat Malaysia sehingga hari ini. Hari ini kerajaan UMNO-BN mahu membuka ruang bagi membolehkan pelabur antarabangsa menguasai sebuah syarikat perladangan bertaraf “blue chip” yang seratus peratus milik kaum Bumiputera dengan menyenaraikan syarikat itu di bursa saham. Kononnya, dengan penyenaraian itu penoraka FELDA akan menikmati “durian runtuh.” Pelik sungguh kerajaan UMNO-BN ini. Sesuatu yang berharga yang sudah ada di dalam tangan kaum Bumiputera mahu digadaikan kepada pelabur antarabangsa. Tidakkah mereka tahu peneroka FELDA LBJ Labu dan Sendayan di Negeri Sembilan pernah mendapat “durian runtuh” bila kerajaan Negeri Sembilan membeli tanah mereka kini telah kembali miskin? Hakikatnya, tanah yang tergadai tidak mungkin dapat ditebus kembali. UMNO menjaga kepentingan kaum pemodal yang rakus “at the expense of “ kaum Bumiputera yang miskin. Wahai kaum Melayu! Jadilah orang Yahudi yang membeli tanah bukan menjual tanah.

Sejarah memberi tahu kita bahawa tamaddun-tamaddun besar dunia – Greek, Farsi, kaum Ad, Thamud, Lut, Firaun dan lain-lain – ranap kerana keruntuhan akhlak. Nampaknya, kerajaan UMNO-BN tidak mahu mengambil iktibar dari sejarah khususnya dalam hal membangunkan modal insan. Ia masih kekal di dalam mode lama membangunkan modal insan dengan mengabaikan aspek pembangunan akhlak dan rohaniah. Belanjawan 2012 memperuntuk RM100 juta untuk melahirkan insan cemerlang, kreatif dan inovatif. Tiadak ada langsung bahagian daripada peruntukan ini mahu dibelanjakan ke arah mencemerlangkan aspek akhlak. Tidak terperanjat kita sekiranya di masa hadapan negara Malaysia akan akan menghadap masalah gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak se kronik yang dihadapi negara-negara barat hari ini akibat dari kecuaian membina insan yang berakhlak mulia. Bila kita membangunkan negara dan ummat mengikuti model Barat maka kita akan tersungkur macam negara Barat juga.

Tidak wajar mengajak rakyat menolak gula-gula yang ditawarkan Belanjawan 2012. Yang ditaburkan adalah harta rakyat, ambillah. Tetapi ingat, janganlah pemberian sekali (one-off gifts) itu menyebabkan kita menggadaikan pendirian yang membawa kerugian besar dalam lima tahun yang akan datang dan selanjutnya. Kerajaan UMNO-BN beri beras, tepong, gula, susu, minyak, kain batik, kain pelikat dan wang tunai, ambillah. Bila mengundi lain ceritanya kerana undi itu sulit. Ingat, selama 54 tahun UMNO-BN memerintah, wajah ekonomi, politik dan sosial Malaysia sudah menjadi cukup buruk. Tawaran-tawaran manis mereka itu tidak lain melain bahan “make-up” murahan untuk memperlihatkan wajah luaran yang anggun tetapi hakikatnya wajah dalamannya sudah terlalu hodoh dengan amalan rasuah, salahguna kuasa, boros dan memperkudakan institusi polis, kehakiman dan lain-lain.

Hari ini rakyat Malaysia hidup dalam zaman media baru yang mampu menyingkap wajah dalaman UMNO-BN betapa pun ia mahu disorokkan. Kalau mereka percaya rakyat Malaysia mudah sahaja termakan dengan gula-gula yang ditawarkan dan akan keluar berduyun-duyun memberi undi kepada mereka dalam PRU13 nanti, kerajaan UMNO-BN sebebarnya “ is sadly mistaken.”

Luar bandar juga akan tolak BN nanti


KUALA LUMPUR, 10 Okt: PAS yakin, penduduk luar bandar juga akan menolak BN sedikit waktu lagi dengan perkembangan pesat teknologi maklumat yang ada sekarang.

Ini kerana, BN tidak akan mampu mengawal media sebagaimana yang dilakukannya sekarang sehingga menyebabkan BN hanya disokong pengundi luar bandar.

Demikian kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) dalam kenyataanya kepada Harakhdaily.

Sehubungan itu, Perdana Menteri diberikan ingatan, dengan teknologi maklumat yang ada sekarang, penduduk luar bandar juga akan menolak BN apabila mereka mendapat maklumat yang tepat nanti.

"Walaupun penduduk luar Bandar tidak begitu pantas untuk mendapat maklumat semasa dan menapis propaganda BN, namun anak-anak mereka yang akan menyalurkan maklumat kepada ibu bapa dan orang kampung," katanya.

Idris berkata, ini akan berlaku kerana sebahagian besar penjawat awam dan eksekutif swasta berasal daripada luar bandar, dan merekalah yang menjadi duta maklumat Pakatan Rakyat di kawasan luar Bandar ketika mereka pulang ke kampung di hujung minggu.

"Fenomena ini bersedialah BN akan menjadi parti pembangkang di negara ini selepas PRU 13 apabila tembelang BN sudah diketahui oleh rakyat termasuk penduduk luar bandar," katanya.

Beliau memetik ingatan bekas presieden Amerika, Abraham Lincoln ada menyebut “Kamu boleh berbohong dalam satu masa, tetapi kamu tidak boleh berbohong dalam semua masa”

Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini melahirkan rasa bimbangnya kerana BN hanya parti yang disokong oleh penduduk luar Bandar sahaja.

Ia mengharapkan seluruh jentera BN bekerja keras supaya menarik perhatian penduduk bandar supaya menyokong BN.

"Inilah luahan rasa kebimbangan beliau ketika memberi taklimat kepada jentera BN Wilayah Persekutuan 9 Oktober 2011.

"Persoalannya sampai bila BN mampu mempertahankan sokongan di kalangan penduduk luar bandar sahaja? " soal Idris.

Bagi beliau, dunia sekarang sudah menjadi seperti satu kampung di era lebuh raya maklumat.

Sedikit masa lagi penduduk luar Bandar juga mampu memiliki kemudahan yang sama, pada waktu itu di manakah BN mahu bersembunyi.

Penduduk bandar yang mempunyai kelebihan untuk akses maklumat dengan lebih cepat tidak lagi boleh ditipu oleh media perdana BN malahan sebahagian besar mereka membakul sampahkan sahaja segala maklumat yang keluar daripada propaganda BN, katanya.

Ramai pekerja diperlakukan macam khadam


KUALA LUMPUR, 10 Okt: Rakyat Malaysia sehingga kini rata-ratanya masih berada dalam keadaan daif, manakala di kalangan pekerja pula masih juga terdapat mereka yang diperlakukan seperti khadam serta dibayar gaji di bawah paras kemiskinan.

40 peratus dari rakyat Malaysia tinggal di dalam isi rumah yang berpendapatan bulanan kurang dari RM1,500 sebulan, manakala tiga perempat dari golongan itu adalah berketurunan Melayu (Bumiputra) yang kononnya dibela oleh Umno BN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, namun dalam masa yang sama, kekayaan negara dipusatkan kepada segolongan kecil golongan kaya dan mahakaya, dengan 50 peratus kekayaan dan pendapatan yang dijana oleh ekonomi negara dibolot oleh golongan 20 peratus terkaya di negara ini.

Menurut beliau, sedangkan golongan 40 peratus terbawah yang rata-ratanya Melayu (Bumiputra) tidak ubah seperti melukut di tepi gantang yang hanya mendapat 15 peratus dari kekayaan dan pendapatan yang dijana.

Katanya, dalam keadaan seperti itu pun, masih wujud fenomena ketidakseimbangan di antara keperluan tenaga mahir dan tuntutan industri serta pergantungan kepada pekerja asing yang memberi kesan besar kepada pasaran kerja.

"Ini menyebabkan aliran wang tunai keluar negara sebanyak RM22 bilion setahun, sekali gus masih menjadi persoalan ekonomi mendesak yang perlukan penyelesaian segera," katanya ketika membahaskan Bajet 2012 Kerajaan Barisan Nasional pada persidangan Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Perdana Menteri menerusi Bajet 2012 yanbg dibentangkan 7 Oktober lalu, menurut beliau, menyandarkan angka pertumbuhan 5 hingga 6 peratus bagi tahun 2012 kepada perbelanjaan rakyat yang kononnya akan merancakkan penggunaan domestik.
Katanya, walaupun perbelanjaan domestik penting untuk menampung pertumbuhan ekonomi negara dalam suasana global yang tidak menentu, sandaran kepada perbelanjaan rakyat untuk meransang pertumbuhan ekonomi perlu lebih realistik dengan mengambil kira faktor harga barang meningkat dan gaji rakyat yang tersekat di takuk lama.

"Sebab itu Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 mengambil keputusan memperkenalkan kembali cukai dan eksais ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, alat kosmetik, celana dalam dan lain-lain kerana ia tidak memberi manfaat kepada rakyat terbanyak sedangkan kos pelepasan cukainya ditanggung oleh kerajaan.

"Maknanya, kita wajar prihatin dengan kebanyakan rakyat Malaysia yang terbeban dengan jumlah hutang yang membimbangkan," tegas beliau yang juga Ketua Umum PKR.

Pada akhir tahun 2010, menurutnya, jumlah hutang isi rumah yang ditanggung oleh rakyat Malaysia telah mencecah RM577 bilion bersamaan 77 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Katanya, nisbah jumlah hutang isi rumah kepada KDNK itu telah meningkat dua kali ganda semasa beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan, iaitu 33 peratus dalam tahun 1997 kepada 77 peratus apabila Perdana Menteri mengemudi Kementerian Kewangan di akhir tahun 2010.

"Pendapatan rakyat setiap bulan sebahagian besarnya dihabiskan untuk membayar hutang kereta dan rumah. Lantaran itu, rata-rata rakyat Malaysia masih berada dalam keadaan yang daif," katanya merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri 7 Oktober lalu, tegasnya, mengelak sepenuhnya dari menjawab persoalan kerangka asas ekonomi seperti yang dinyatakan oleh beliau itu.

Katanya, terdapat perbezaan yang besar di antara perubahan dasar yang membawa impak ekonomi yang berkekalan dengan membaiki kerangka dan sistem ekonomi, berbanding dengan pengumuman-pengumuman pemberian peruntukan dan hadiah wang tunai bagi satu tahun sahaja seperti yang dibuat oleh Perdana Menteri.

"Oleh sebab itulah, Pakatan Rakyat mengambil pendekatan dasar untuk membaiki kerangka ekonomi negara. Di antara tawaran Pakatan Rakyat yang sangat penting untuk membaiki struktur ekonomi negara adalah untuk memastikan dasar gaji minima terlaksana.

"Apa yang sangat ditakutkan kepada dasar gaji minima, sedangkan kajian Bank Dunia menunjukkan kadar RM1,100 seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat mampu ditanggung oleh majikan dan ekonomi," katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, katanya, seolah-olah lebih mengutamakan lobi taukeh-taukeh besar dan kroni mahakaya daripada keperluan jutaan rakyat yang sangat mengharapkan satu anjakan gaji yang menyeluruh meliputi 12 juta tenaga kerja di negara ini, bukannya gula-gula yang hanya memikat pekerja sektor awam tetapi mengenepikan kebajikan 90 peratus tenaga kerja yang lain.

"Oleh kerana pendekatan Belanjawan 2012 kerajaan Umno Barisan Nasional adalah penjenamaan semula yang pastinya akan melibatkan banyak peruntukan pengiklanan dan perunding, Dewan Rakyat berhak tahu secara teperinci berapa yang telah diperuntukkan kepada firma-firma asing dan tempatan bagi tujuan pengiklanan dan putar belit (spin).

"Berapa juga jumlah kontrak bagi tujuan ini yang telah ditandatangani?" tegas beliau.

Monday, 10 October 2011

Wanita panjat tembok istana 21 meter elak bayar RM12


NANJING 8 Okt. - Aksi seorang wanita, Ma Jei memanjat dinding tembok sebuah istana di timur China setinggi 21 meter bagi mengelak untuk membayar yuran masuk sebanyak 24.79 yuan (RM12.27) mengejutkan pelancong.

Jei yang memanjat tanpa bantuan tali atau peralatan keselamatan memberitahu, dia membesar di Nanjing, wilayah Jiangsu dan memanjat Istana Zhonghau itu sejak kecil dan tidak pernah membayar yuran masuk.

Bagaimanapun, beberapa pelancong yang cuba meniru aksi wanita tersebut mengakibatkan dua orang daripada mereka, jatuh dan patah kaki manakala tiga orang lagi perlu diselamatkan oleh polis.

''Cara dia memanjat tembok itu seperti seekor kambing gurun dan nampak mudah. Bagaimanapun, apabila orang lain mencubanya, ia tidak semudah itu,'' kata seorang pelancong. - Agensi

iPhone 4S terima tempahan besar


NEW YORK 8 Ogos - Syarikat telekomunikasi Amerika Syarikat (AS), AT&T semalam berkata, permintaan terhadap produk terbaru Apple, iPhone 4S amat mengejutkan apabila ia menerima tempahan awal sebanyak 200,000 unit dalam tempoh 12 jam.

iPhone 4S yang dilancarkan sehari sebelum kematian pengasas Apple, Steve Jobs akan mula dijual di AS dan enam negara lain pada 14 Oktober ini namun tempahan awal boleh dilakukan semalam.

Dua lagi syarikat telekomunikasi AS, Verizon Wireless dan Sprint turut menerima tempahan awal untuk produk terbaru Apple itu tetapi tidak mengumumkan tempahan yang diterima mereka.

Pelancaran produk itu mengecewakan beberapa penganalisis dan peminat kerana mempunyai persamaan dengan produk iPhone sebelum itu.

Ia bagaimanapun dilihat mempunyai tarikan dengan pengenalan pemproses laju seperti yang digunakan pada produk komputer tablet Apple, iPad selain teknologi sistem pengenalan suara dikenali sebagai Siri.

Peningkatan jualan produk terbaru iPhone itu juga dijangka dibantu oleh perasaan simpati terhadap kematian Jobs.

Di AS, harga iPhone 4S bermula pada AS$199 (RM597) untuk model 16 gigabait dan termahal ialah AS$399 (RM1,197) untuk model 64 gigabait. - AFP

Saturday, 8 October 2011

Apple berada di persimpangan


NEW YORK 7 Okt. - Kematian pengasas Apple Inc., Steve Jobs kelmarin membuatkan lembaga pengarah syarikat telekomunikasi terkemuka Amerika Syarikat (AS) itu berada di persimpangan.

Petanda awal untuk masa depan syarikat kini dilihat terarah kepada keperluan melakukan pembaharuan dan sama ada mereka perlu melantik Pengerusi Bebas atau menambah bilangan pengarah di dalam syarikat berkenaan.

Profesor Pentadbiran Korporat Boston University School of Management, Jom Post berkata, lembaga pengarah Apple Inc. perlu melantik Pengarah Bebas dan membawa masuk bakat-bakat baru yang tidak 'dibayangi' pengaruh Jobs.

''Mereka perlu menambah bilangan pengarah termasuk membawa masuk bakat-bakat baru yang 'bebas'," katanya.

Jobs, 56, meninggal dunia pagi kelmarin dan berita pemergian beliau mengejutkan seluruh dunia.

Beliau sebelum ini melepaskan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat pada 24 Ogos lalu selepas disahkan menghidap kanser, namun mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat.

Sementara itu, pendapat Post turut disokong seorang penganalisis daripada Jefferies & Co., Peter Misek.

Jelasnya, ahli lembaga pengarah Apple yang ketika ini hanya tujuh orang dilihat terlalu kecil berbanding pesaing syarikat berkenaan.

Begitu juga dengan penganalisis daripada BGC Partners, Colin Gillis yang berpendapat jawatan Pengerusi Apple Inc. tidak seharusnya dipegang oleh ketua pegawai eksekutif syarikat itu.

Di bawah pentadbiran Jobs, Apple terus mengecap kejayaan dan mengalami revolusi di peringkat tertinggi menerusi pengenalan beberapa produk pengkomputeran moden seperti Power Mac G3, PowerBok dan juga iBook.

Pada tahun 2001, Apple telah memperkenalkan perisian sistem operasi pertama mereka, Mac OC X, selain beberapa aplikasi pengkomputeran menerusi platform iApps seperti iMovie, iTunes, iPhoto, iCal dan iSync.

Tidak cukup dengan itu, kejayaan dalam bidang telekomunikasi turut dicatatkan Apple pada 2007 apabila memperkenalkan peranti telefon bimbit pintar iPhone dan komputer tablet iPad yang kini semakin menarik perhatian masyarakat dunia. - REUTERS

Thursday, 6 October 2011

Pemergian Steve Jobs tinggalkan kesan berzaman: Bill Gates




2011/10/06

SAN FRANCISCO: Kematian pengasas Apple, Steve Jobs akan memberi kesan kepada dunia untuk tempoh yang lama, kata pengasas Microsoft, Bill Gates.

Beliau menyifatkan kematian Jobs hari ini sebagai satu kehilangan yang menyedihkan dan menyifatkan persahabatan antara mereka sebagai penghormatan yang tiada ternilai.
“Steve dan saya kali pertama bertemu hampir 3 lalu dan sehingga itu menjadi sahabat baik, rakan pesaing hampir separuh daripada hidup kami," katanya.
“Dunia jarang mempunyai seseorang yang mempunyai kesan yang besar seperti yang dimilik Steve, kesan yang akan dirasai berzaman lamanya," katanya dalam satu kenyataan. - AFP

Restoran asam pedas eksklusif RM2.8 juta di Melaka


MELAKA 5 Okt. - Industri pelancongan makanan di negeri ini dirancakkan lagi dengan pembukaan sebuah restoran eksklusif di tebing Sungai Melaka di sini yang menyediakan menu utama makanan popular Melaka iaitu asam pedas apabila dijangka mula beroperasi awal tahun depan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Zainal Abu berkata, dikenali dengan nama Restoran Melayu, premis dua tingkat yang dibina dengan kos RM2.8 juta itu mula dibina sejak April lalu.

Menurut beliau, ia adalah restoran eksklusif pertama dibina di kawasan pentadbiran MBMB bagi menyediakan masakan Melayu yang terletak di lokasi strategik iaitu berhampiran kawasan tumpuan pelancong di Taman Rempah.

"Saya yakin, pembukaan restoran di tapak seluas 4,429 meter persegi ini bakal menjadi daya tarikan baru pelancong ke Melaka yang sinonim dengan masakan asam pedas di kalangan pelancong," katanya ketika membuat lawatan ke tapak projek itu di sini semalam.

Menurut Zainal, restoran dua tingkat itu mampu menampung 800 pelanggan dalam satu-satu masa dan akan dikendalikan oleh satu operator sahaja.

"Secara keseluruhannya projek ini dilaksanakan dengan baik dan mengikut jadual, cuma kita minta kepada mereka supaya menambah tiga lagi petak tempat letak bas bagi kemudahan bas pelancong," katanya.

Sunday, 2 October 2011

Warga Australia gemar bercuti


CANBERRA - Sama ada anda tersesat di Manchester, Britain atau sedang mendaki gunung di North Dakota, Amerika Syarikat, anda pasti akan terserempak dengan pelancong dari Australia kerana penduduk negara itu paling banyak melancong di dunia.

Keputusan tinjauan Global Travel Visa tahun ini menunjukkan, rakyat Australia membelanjakan paling banyak wang untuk melancong, dengan purata AS$3,600 (RM11,500) untuk satu lawatan berbanding purata antarabangsa sebanyak AS$1,900 (RM6,060).

Tinjauan itu juga menunjukkan tiga negara iaitu AS, Britain dan Jepun menjadi destinasi utama pelancong seluruh dunia di sebalik bencana alam dan kelembapan ekonomi.

Penduduk Arab Saudi juga berada pada kedudukan kedua bagi pelancong paling banyak berbelanja, dengan purata perbelanjaan AS$3,130 (RM9,980) untuk setiap percutian dan Malaysia, Mesir serta Emiriyah Arab Bersatu menjadi destinasi pilihan mereka.

Penderma Jepun tinggalkan RM415,000 di tandas awam


TOKYO - Bagaimana anda selalunya mendermakan wang kepada orang lain? Seorang penduduk di Jepun menggunakan cara paling pelik untuk mendermakan wangnya.

Penderma tidak dikenali itu meninggalkan wang tunai bernilai 10 juta yen (RM415,000) di dalam sebuah tandas awam di Jepun, beserta arahan duit itu mesti digunakan untuk membantu mangsa bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu, Mac lalu.

“Saya sendirian. Saya tiada masa depan jadi berikan wang ini kepada penduduk Tohoku,” menurut nota tulisan tangan itu, merujuk kepada bandar di utara Jepun yang musnah teruk dalam bencana buruk itu.

Pihak berkuasa Sakado mengesahkan, kelmarin, mengenai sebuah beg plastik berisi wang tunai itu yang ditemui di dalam tandas di bandar tersebut pada 22 September lalu.

Menurut pegawai majlis perbandaran di kawasan itu, wang tersebut akan diserahkan kepada persatuan Palang Merah Jepun jika penderma misteri itu tidak menuntutnya semula dalam tempoh tiga bulan.