Thursday, 29 September 2011

Bangunan bersejarah dicat semula


MELAKA 28 Sept. - Semua bangunan warisan di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia yang kini dijadikan muzium akan berwajah baru melalui projek mengecat yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk tempoh 10 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, projek tersebut hasil kerjasama kerajaan negeri dengan AkzoNobel, syarikat pengeluar cat ICI Paints (Malaysia) Sdn. Bhd.

Menurutnya, melalui kerjasama tersebut yang dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) pada 2009, dua bangunan yang telah siap dicat ialah Muzium Islam Melaka dan Muzium Yang Dipertua Negeri Melaka.

''Bagi tahun ini sebanyak tujuh buah bangunan akan dicat semula dan tujuh lagi pula bermula pada tahun depan yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Disember," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kerja-Kerja Mengecat Bangunan Warisan Fasa 1 di Kota St. John, Bukit Senjuang, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Zainal Abu dan Pengurus Pentadbiran AkzoNobel, Radzi Abdul Rashid.

Md. Yunos berkata, sebanyak RM200,000 akan diperuntukan setiap tahun bagi melaksanakan projek mengecat dalam usaha memelihara kecantikan dan keaslian produk pelancongan yang tidak ternilai sejarahnya itu.

Untuk tahun ini beliau berkata, sebanyak tujuh bangunan yang akan dicat semula ialah Muzium Belia, Balai Seni Lukis Melaka, Pejabat Pos Jalan Laksamana, Muzium Pendidikan Melaka, Muzium Pemerintahan Demokrasi, Muzium Samudera Fasa 1 (Flor De La Mar), tembok Stadthuys dan Kota St. John Bukit Senjuang.

Bagi projek yang bakal dilaksanakan tahun depan katanya, ia melibatkan kompleks Stadthyus yang menempatkan 18 unit bangunan di Jalan Laksamana, jam besar, 12 unit gerai, Muzium Sejarah dan Galeri Laksamana Cheng Ho.

''Bangunan lain ialah Muzium Islam Melaka, Jabatan Muzium Malaysia, Muzium UMNO, Muzium Setem, Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Muzium Istana Kesultanan Melaka," ujarnya.

Selain bangunan bersejarah kata Md. Yunos lagi, rumah-rumah ibadat yang juga berada di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia juga akan dicat semula dengan warna asal bangunan tersebut.

Tuesday, 27 September 2011

Pantai Tanjung Bidara diberi nafas baru


ALOR GAJAH 26 Sept. - Kerajaan negeri akan membangunkan semula pantai Tanjung Bidara, di sini yang dilihat semakin lesu tanpa kunjungan pelancong sehingga menyebabkan sebahagian aktiviti ekonomi sekitar pantai berkenaan hampir lumpuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Latiff Thamby Chik berkata, pantai itu pernah menjadi destinasi tumpuan pelancong tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini bilangan pelancong semakin berkurang.

"Kita akan memberikan nafas baru kepada Pantai Tanjung Bidara bagi mengembalikan zaman kegemilangannya seperti dahulu untuk menarik semula kunjungan pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini hari ini.

Menurutnya, sebagai permulaan, beberapa faktor akan diberikan perhatian dalam membangunkan semula pantai berkenaan antaranya pengurusan sampah, membaik pulih dan menggantikan infrastruktur asas serta menaik taraf rumah rehat serta calet.

Sementara itu Latif berkata, Tanjung Bidara Beach Resort yang ditutup beberapa tahun lalu dijangka dibuka semula di bawah pengurusan baru, SMI Holding Sdn. Bhd.

Syarikat itu, katanya, telah memulakan kerja penyelenggaraan dan baik pulih bermula 1 September lalu.

"Resort berkenaan adalah yang terbesar di Pantai Tanjung Bidara yang lengkap dengan segala kemudahan tetapi kini terbiar tetapi akan kembali berwajah baru tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata, kerja naik taraf dan pengindahan kawasan Pantai Tanjung Bidara akan dilakukan secepat mungkin dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Pesta Pantai Tanjung Bidara pada 9 hingga 11 Disember ini.

Monday, 26 September 2011

Buku Jingga..!!!



KUALA LUMPUR, 20 Dis: Pakatan Rakyat (PR) mengeluarkan Buku Jingga yang mengariskan rancangan berbentuk jangka pendek dan jangka panjang dalam mentadbir negara sekiranya mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.

Buku Jingga yang merupakan dasar bersama dipersetujui parti-parti dalam PR itu dikeluarkan melalui Konvensyen Ke-2 PR di Pulau Pinang pada 19 Disember dan disebut sebagai rencana dasar serta kebijakan untuk membela rakyat berlandaskan empat kerangka.

Kerangka pertama digariskan dalam buku itu ialah demokrasi yang telus dan tulen untukmemperkasakan ketuanan rakyat.

Kedua, memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk mem jana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil.

Ketiga, keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh.

Keempat, Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.

"Dasar Bersama ini menggariskan iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman," kata buku tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Preiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Selain itu tiga perkara pertama diangkat dalam dasar bersama PR meliputi komitmen mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

Diikuti pula dengan Komitmen mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.

Dan seterusnya Komitmen memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Program 100 hari memerintah

Buku tersebut turut mengariskan program 100 hari PR yang dilihat sebagai rancangan jangka pendek selepas berjaya mentadbir negara yang disebut sebagai permulaan kepada reformasi iaitu:

Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.

Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.

Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.

Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

Jawatankuasa Parlimen Pakatan Rakyat

Selain itu buku itu juga menyebut bidang-bidang yang akan diberi tumpuan khusus PR dalam usaha menterjemahkan dasar bersama ialah membebaskan institusi Negara, mewujudkan kemakmuran Melalui Pengagihan ekonomi yang adil dan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Dalam usaha membebaskan institusi negara PR akan meneruskan konsep pentadbiran yang kompeten, bertanggungjawab dan telus seperti yang telah diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat; sebagai gambaran sebuah pentadbiran yang membebaskan institusi-institusi negara dari cengkaman campur tangan politik.

PR juga akan mewujudkan Council of Experts dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik dan sosial untuk merangka dan mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat.

Seterusnya memperkukuhkan Jawakatankuasa Parlimen Pakatan Rakyat yang memantau fungsi dan keberkesanan Kementerian-kementerian, dengan penerbitan laporan Jawatankuasa Parlimen Pakatan Rakyat setiap enam bulan sekali.

Dan akhirnya memperhebatkan proses pendidikan politik melibatkan golongan sasaran yang lebih besar mengenai peri penting keutuhan institusi-institusi negara yang berintegriti; dengan kerjasama NGO dan masyarakat sivil/madani disamping istiqamah dalam kempen dan gerak kerja politik untuk memberi tekanan kepada pentadbiran sedia ada agar membebaskan institusi-institusi negara dari campur tangan politik.

Pendapatan isi rumah RM4000 sebulan

Dalam aspek pengagihan ekonomi yang adil, PR akan menukar aliran pemikiran rakyat supaya beralih dari tumpuan kepada persoalan ekuiti yang sering ditimbulkan lawan kepada langkah-langkah khusus meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat.

Dalam masa yang sama PR akan membongkarkan penyelewengan harta rakyat atas nama menjaga hak Melayu/Bumiputra termasuklah skandal kehilangan RM52 bilion saham yang diperuntukan kepada golongan elit dan kroni pemerintah atas nama Melayu/Bumiputra serta meneruskan skim bantuan terus kepada rakyat tanpa diskriminasi.

PR juga akan mempertahankan hak rakyat untuk mendapat bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi minyak dan barangan keperluan asas selain membela golongan termiskin berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500 tanpa mengira kaum dengan mensasarkan matlamat menjamin pendapatan isi rumah minima RM4,000 setiap keluarga dalam tempoh 5 tahun Pakatan Rakyat berkuasa.

Dalam aspek pengagihan ekonomi yang adil itu, PR juga menjamin kelangsungan bekalan makanan negara pada harga yang tidak membebankan negara dengan langkah-langkah drastik dalam tempoh dua tahun memerintah di peringkat persekutuan untuk mengurangkan pergantungan kepada import makanan.

Air dan rawatan percuma

Bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, Buku Jingga itu menyebut PR akan menyempurnakan pengambilalihan pengurusan industri air di Lembah Klang demi menjamin tarif air yang berpatutan untuk rakyat dan meneruskan Skim Air Percuma yang telah dinikmati rakyat serta menjamin tidak ada penswastaan sektor kesihatan bagi memastikan khidmat kesihatan yang bermutu dan percuma dapat terus disediakan kepada rakyat terbanyak.

Perkara lain yang turut digariskan di bawah program untuk meningkatkan pendapatan boleh gunarakyat ialah:

Mewujudkan Perbadanan Perumahan Negara sebagai badan induk yang mengawal, membangunkan dan mengurustadbir skim pembangunan rumah rakyat untuk menjamin setiap keluarga di Malaysia mampu memiliki kediaman yang selesa pada harga yang berpatutan dengan pendapatan mereka.

Menyelesaikan kes-kes projek perumahan terbengkalai yang menekan rakyat dengan apa jua kaedah yang difikirkan sesuai oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat pada kadar yang segera.

Meneruskan dan meningkatkan skim mikrokredit yang diperkenalkan untuk memberi bantuan khusus kepada golongan termiskin melonjakkan kedudukan ekonomi mereka, melalui bantuan kewangan, latihan dan pemantauan. Setakat ini, RM70 juta telah diperuntukkan untuk skim mikrokredit di negeri-negeri Pakatan Rakyat. harakahdaily.

Singapura, Malaysia tidak mungkin bergabung semula - Kuan Yew


SINGAPURA 25 Sept. - Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew membayangkan negara ini dan Malaysia tidak mungkin akan bergabung semula pada masa depan, setelah penyertaan republik itu dengan Malaysia pada 1960-an menemui kegagalan.

Kuan Yew berkata demikian ketika ditanya oleh seorang rakyat Malaysia semasa Dialog Global Singapura pada Khamis lalu, sama ada beliau menjangkakan kedua-dua negara itu akan bergabung daripada segi ekonomi dan politik bagi mengimbangi kebangkitan Indonesia sebagai sebuah kuasa di rantau ini.

Lee, bagaimanapun, menyatakan bahawa terdapat 'perkembangan positif' antara Singapura dan Malaysia, lapor Channel NewsAsia.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai 'pandangan yang positif terhadap hubungan dua hala' apabila membangunkan Wilayah Iskandar di selatan Johor dan menjadikan Singapura seperti 'Shenzen' merujuk kepada kawasan perindustrian di China, Lee berkata, ''(Singapura dan Malaysia) merupakan satu set kuasa pelengkap yang akan menjadi lemah dan tidak membawa menguntungkan kepada kedua-dua negara jika (Singapura dan Malaysia) tidak berbaik-baik.''

Tambah beliau: "Kamu (Malaysia) mahukan pelaburan daripada kami dan kami pula mahu melabur. Untuk tujuan itu, kami tidak mahu mempunyai masalah dengan Malaysia dan Malaysia yang mahukan banyak pelaburan sudah pasti tidak akan menimbulkan masalah kepada kami.

"Jadi itu merupakan satu perkembangan yang positif," katanya.

Semasa dialog yang berlangsung selama 40 minit itu, Lee turut menyentuh tentang pentingnya Singapura untuk 'mengekalkan perpaduan nasional' dan kekayaan negara ini diagih-agihkan kepada golongan yang kurang bernasib baik di republik ini.

Katanya, sistem meritokrasi, pragmatisme dan sebuah kerajaan yang bersih akan membantu Singapura untuk terus maju.

Ketika ditanya mengenai Pilihan Raya Umum pada Mei lalu, yang menyaksikan sokongan terhadap parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat semakin merosot, Lee berkata, ia "memang dijangka akan berlaku" kerana generasi muda ingin melihat persaingan. - AGENSI

Saturday, 24 September 2011

129 negara sokong Palestin

NEW YORK 23 Sept. - Ketika Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bersedia untuk mengemukakan permohonan pengiktirafan sebagai sebuah negara berdaulat, dua per tiga anggota Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah menyokong usaha berkenaan.

Delegasi Palestin menyatakan sebanyak 129 negara sudah memberikan sokongan kepada Palestin, lapor saluran televisyen, Al Jazeera.

Keadaan itu membawa makna Palestin menerima sokongan dua pertiga majoriti di Perhimpunan Agung PBB di mana Palestin boleh memilih untuk mendapatkan status bukan anggota dalam badan dunia itu.

''Pada peringkat ini, Palestin boleh ke Majlis Keselamatan PBB di mana Abbas menyerahkan permohonan berkenaan kepada Setiausaha Agung PBB,'' lapor Al Jazeera.

Dalam pada itu, rakyat Palestin mengadakan demonstrasi di jalan-jalan raya di Ramallah dan Gaza, semalam selepas ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Perhimpunan Agung PBB yang dilihat pro-Israel.

Lebih 1,000 penunjuk perasaan yang membawa kain rentang mengecam Obama, berkumpul di luar pejabat Abbas di Tebing Barat sebelum berarak ke pusat bandar.

Di Gaza pula, kira-kira 300 wanita mengadakan demonstrasi di luar pejabat PBB sambil melaungkan slogan anti-Obama.

Ucapan Obama itu mengulangi bantahannya terhadap usaha pengiktirafan Palestin itu dan menunjukkan simpati ke atas kesengsaraan hidup rakyat Israel.

Sementara itu, rakyat Palestin hari ini memberikan sokongan penuh kepada pemimpin mereka yang akan mengemukakan permohonan pengiktirafan tersebut.

Penyanyi dari Jenin, Ahmad Rahal mencipta lagu yang memuji Presiden Mahmoud Abbas sebagai seorang penjaga dan pelindung rakyat Palestin.

Menurut pemilik bengkel, Bilal Abu Ahmed, mereka amat menyambut baik tindakan Abbas dan gembira jika ia berjaya.

"Kami sudah tidak mampu untuk terus menderita. Biarlah anak-anak kami hidup dalam kemerdekaan," katanya. - Agensi

Thursday, 22 September 2011

MPAG tukar lampu jalan jenis LED


ALOR GAJAH 21 Sept. - Ke arah merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai bandar teknologi hijau, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengorak langkah menggantikan lampu jalan konvensional kepada jenis lampu putih diod pemancar cahaya (LED).

Setiausahanya, Shadan Othman berkata, sebanyak 10 unit lampu berkenaan dipasang pada lima tiang lampu jalan di persimpangan Melaka World Sollar Valley yang merupakan projek kedua selepas pemasangan jenis sama di Pulau Sebang, Ogos lalu.

Menurutnya, lampu LED dilihat lebih efektif dalam menjaga alam sekitar kerana ia tidak melepaskan gas karbon dioksida berbanding lampu konvensional jenis sodium yang melepaskan gas berkenaan sehingga 80 peratus.

"Pemasangan lampu LED lebih mesra alam berbanding lampu konvensional yang mencatatkan bacaan pelepasan karbon dioksida yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja pemasangan lampu berkenaan di persimpangan Melaka World Sollar Valley, Rembia di sini hari ini.

Katanya, ia merupakan projek perintis dan akan dipantau selama enam bulan untuk melihat keberkesanannya secara menyeluruh sebelum dikembangkan ke seluruh daerah ini meliputi lampu isyarat, lampu di perhentian bas dan kawasan pejalan kaki.

Shadan berkata, selain mesra alam, lampu LED juga menyumbang kepada penjimatan kos dan penyelenggaraan serta penggunaan tenaga elektrik yang rendah.

"Saya dimaklumkan pihak kontraktor bahawa penggunaan lampu LED dapat menjimatkan kos dan jumlah guna tenaganya pula kurang 60 peratus berbanding lampu konvensional dan kadar kecerahan juga tiga kali lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, dari segi penyelenggaraan, lampu LED berupaya beroperasi selama 50,000 jam bersamaan kira-kira empat tahun berbanding lampu konvensional hanya mampu bertahan selama 10 bulan.

Tambahnya, penggantian lampu itu juga sejajar dengan matlamat MPAG dan kerajaan negeri untuk mewujudkan bandar selamat yang salah satu kriterianya adalah pencahayaan di kawasan berisiko berlaku jenayah.

Tuesday, 20 September 2011

Gasing ikon baharu pelancongan Melaka


ALOR GAJAH 19 Sept. - Permainan gasing akan menjadi ikon baharu pelancongan kerana dilihat berpotensi untuk dikembangkan sebagai produk pelancongan yang mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sebagai permulaan aktiviti berkenaan juga akan menjadi salah satu acara utama dalam kalendar acara pelancongan negeri mulai tahun depan.

Menurutnya, di samping itu kerajaan negeri akan membangunkan infrastruktur sebagai langkah membangunkan dan mempromosikan permainan tradisional itu.

''Kita akan memartabatkan semula permainan tradisional terutama gasing agar ia tidak pupus ditelan zaman dan dihidupkan semula untuk dijadikan produk pelancongan baru.

"Kerajaan negeri amat serius dan akan terus merealisasikan untuk memartabatkan permainan tradisional ini ke peringkat yang membanggakan," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis penutup Karnival Gasing Pangkah di Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop.

Mohd. Ali berkata, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan perlulah memainkan peranan penting dalam membantu persatuan gasing yang terdapat di setiap mukim supaya aktiviti berkenaan dapat dirancakkan lagi.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan menimbang cadangan untuk menaik taraf Gelanggang Gasing Perkasa di Kampung Ramuan China Besar dan membina pintu gerbang beridentitikan gasing di kampung berkenaan.

Dalam karnival gasing yang diadakan selama dua hari berakhir semalam itu, sebanyak 14 pasukan dari lima negeri iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Singapura mengambil bahagian.

Friday, 16 September 2011

UNDILAH......

RAKYAT MALAYSIA MARILAH MENDAFTAR UNTUK MENGUNDI.....

Thursday, 15 September 2011

Filem paling seram


APABILA menyebut tentang filem bencana, apakah yang terlintas di fikiran kita? Pencerobohan makhluk asing ke atas bumi? Letusan gunung berapi atau banjir besar? Atau kuasa ajaib dari angkasa, atau pun menanti detik kiamat dunia?

Kita sudah melihat populasi manusia 'dihapuskan' dalam pelbagai cara, kebanyakannya dipersembahkan dengan efek berskala besar.

Namun, Contagion adalah sebuah kisah yang lebih realistik bagaimana dunia huru-hara dan manusiawi berdepan kepupusan hanya kerana penularan wabak baru.

Saya mengakui agak skeptikal semasa menonton treler filem ini, bimbang ia sekadar mengitar semula idea filem Outbreak (1995).

Mujurlah Contagion tidak mengikut rentak biasa Hollywood yang selalu melebih-lebihkan situasi contohnya babak teman lelaki yang mengorbankan nyawa demi kekasih atau anak kecil yang mahu menyelamatkan anjing.

Filem arahan Steven Soderbergh ini memberi fokus kepada aspek yang lebih penting, yakni senario yang bungkam dan bagaimana setiap karakter menangani ketakutan dengan cara yang lebih logik dan relevan. Hampir tiada imej janaan komputer (CGI) digunakan dalam filem ini.

Soderbergh pernah menang Oscar untuk Pengarah Terbaik menerusi Traffic (2000). Seperti filem itu, Contagion juga mempunyai struktur filem yang serupa iaitu plot yang bertingkat-tingkat, di mana setiap satu watak saling bersangkut paut meskipun sesetengahnya tidak mengenali secara langsung.

Filem dibuka ketika virus merebak secara senyap pada 'Hari Kedua'. Beth Emhoff (lakonan Gwyneth Paltrow) berada di lapangan terbang Chicago untuk pulang ke rumahnya di Minneapolis daripada lawatan kerja di Hong Kong. Dia kemudian memindahkan wabak itu kepada suaminya, Mitch (Matt Damon) dan anak mereka.

Turut ditunjukkan ialah senario wabak mula menular di Kowloon, Guandong dan London - lengkap dengan jumlah populasi penduduk - di mana mangsa yang terjangkit mula jatuh sakit. Jangkitan berlaku hanya melalui objek yang disentuh.

Sementara itu, di pusat kawalan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Atlanta, Dr. Ellis Cheever (Laurence Fishburne) menugaskan seorang pegawai khas epidemik, Dr. Erin Mears (Kate Winslet) untuk mencari punca dan penyelesaian terhadap masalah tersebut.

Manakala Dr. Leonara Orantes (Marion Cotillard) daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) terbang ke China dan diculik orang tempatan. Pada masa sama, muncul pula penulis blog Alan Krumwiede (Jude Law) yang mengambil kesempatan dengan menggembar-gemburkan situasi sehingga panik tercetus.

Berbulan-bulan CDC berusaha tanpa henti untuk menghasilkan vaksin ketika pasar raya dan tempat-tempat awam mula ditutup, kuarantin berlaku di mana-mana dan mangsa terpaksa dikebumikan beramai-ramai.

Tiada siapa yang tahu siapa akan menjadi mangsa seterusnya dan manusia mula hilang pertimbangan untuk meneruskan kehidupan.

Soderbergh sangat beruntung apabila barisan calon dan pemenang Oscar bersetuju untuk terlibat dalam Contagion, tetapi 'bintang' sebenar filem ini ialah virus halimunan tersebut.

Tidak keterlaluan jika saya menyifatkan virus itu sebagai pembunuh paling kejam dan menakutkan dalam sejarah sinema moden.

Tidak dinafikan lakonan yang ditampilkan cemerlang, kalau ada kekurangan pun barangkali kerana durasi kemunculan yang terhad. Namun, faktor terbesar yang memberi impak ialah imaginasi penonton yang diisi dengan tekanan dan ketakutan.

Kombinasi kerja kamera, pembentangan adegan demi adegan serta dialog yang ringkas dan padat, mewujudkan peristiwa-peristiwa yang dipercayai berlaku.

Tiada letupan yang diiringi jeritan atau babak raungan dan tangisan. Mungkin akan ada penonton yang berpendapat Contagion sebuah filem yang dingin emosi.

Bagaimanapun, itu gaya Soderbergh dan penulis lakon layar, Scott Z. Burns yang tidak mahu filem ini tampil terlalu dramatik, biarpun isunya tentang kematian. Tindakan terhadap uji kaji sains, perundangan, birokratik dan propaganda kerajaan dalam membanteras virus itu juga dipaparkan dengan sangat menarik.

Hanya pada penghujung filem, penonton akan didedahkan dengan apa yang berlaku pada 'Hari Pertama', punca dan asal-usul wabak tercetus.

Contagion ialah sebuah filem yang tidak patut dilepaskan. Anda akan berfikir dua kali untuk bersalaman selepas menontonnya.

Wednesday, 14 September 2011

Melaka optimis capai Bandar Teknologi Hijau


MELAKA 13 Sept. - Kerajaan negeri optimis dapat mencapai status Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020 melalui pelaksanaan pelbagai strategi termasuk pembinaan projek mega Melaka World Solar Valley di kawasan Rembia, di sini yang melibatkan pelaburan melebihi RM2 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, projek di atas tanah seluas 7246.23 hektar itu merupakan kawasan pembangunan teknologi hijau pertama di negara ini dan yang terbesar di dunia.

Menurutnya, prasarana itu bukan sahaja bakal mengeluarkan produk berasaskan teknologi hijau yang tenaganya boleh diperbaharui malah, berupaya memberikan nilai tambah kepada pendapatan rakyat negeri itu.

"Apabila projek ini siap kelak, penduduk akan memperolehi faedahnya kerana akan wujud peluang pekerjaan, perniagaan dan juga pembangunan insan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Seminar Pengurusan Buangan Terjadual Ke Arah Teknologi Hijau Peringkat Negeri Melaka 2011 di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Antara strategi yang telah dilakukan ke arah mencapai Bandar Teknologi Hijau adalah pelancaran Melaka Green City, penubuhan Akademi Teknologi Hijau Melaka dan melaksanakan beberapa projek kitar semula minyak masak terpakai sebagai sumber biodiesel.

Mohd. Ali berkata, bagi menjayakan matlamat berkenaan, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bermula daripada institusi kekeluargaan, agensi awam dan swasta serta sektor korporat.

"Kerajaan negeri telah bergerak aktif dalam menjayakan misi ini dan berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab bertepatan dengan slogan Melaka Maju, Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau," katanya.

Justeru itu, katanya, penggerak industri di negeri itu juga disaran menjalankan kajian mengenai pengurusan sisa buangan bersama pihak Akademi Teknologi Hijau Melaka, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (utem) serta Sirim bagi memastikan kaedah pelupusan sisa buangan bersifat mesra alam.

Sunday, 11 September 2011

Rakyat Britain pentingkan Facebook

LONDON 10 Sept. - Satu kajian mendapati masyarakat Britain lebih mementingkan masa untuk melayari laman web sosial Facebook berbanding mempunyai tandas pam.

Kajian yang diberi nama One Poll yang dijalankan ke atas 3,000 orang dewasa mendapati melayari Facebook berada pada kedudukan kelima, manakala mempunyai tandas pam di tangga kesembilan.

Kajian yang dijalankan oleh Muzim Sains London itu mengenai perkara yang perlu ada dalam kehidupan juga mendapati cahaya matahari berada pada kedudukan pertama, manakala melayari Internet di tempat kedua.

Pengurus Pameran Muzium, Sarah Richardson menyifatkan keputusan kajian tersebut sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

"Rakyat Britain taksub dengan keadaan cuaca dan ini membolehkan mendapat cahaya matahari berada di tempat pertama.

Sementara itu, keperluan mendapat bekalan air bersih berada di tempat ketiga, mempunyai peti ais di tempat keempat, manakala keperluan memasak dilihat kurang penting apabila berada di kedudukan ketujuh dalam senarai.

Kajian itu dijalankan sempena pameran Water Wars: Fight The Food Crisis di muzium sains tersebut. - AGENSI

Friday, 9 September 2011

Cukai perkhidmatan 6% tambah nilai, kad SIM


KUALA LUMPUR 8 Sept. - Cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus akan dikenakan bagi pembelian tambah nilai prabayar serta pek atau kad SIM prabayar bagi semua syarikat telekomunikasi, berkuat- kuasa 15 September ini.

Dengan cukai tersebut, pelanggan yang membeli kad prabayar bernilai RM10 perlu membayar RM10.60.

Dalam kenyataan bersama hari ini, syarikat-syarikat telekomunikasi berkata, para pelanggan prabayar akan dimaklumkan mengenai perkara itu mulai petang ini.

Para pengguna juga boleh merujuk di laman sesawang telekomunikasi untuk maklumat lanjut atau menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan untuk sebarang pertanyaan.

Cukai perkhidmatan itu adalah cukai perbelanjaan dan dikenakan kepada pengguna, seperti yang termaktub dalam Undang-undang Cukai Perkhidmatan.

Akta Cukai Perkhidmatan 1975 memperuntukkan syarikat-syarikat telekomunikasi mengenakan levi cukai perkhidmatan pada kadar semasa untuk perkhidmatan telekomunikasi termasuk perkhidmatan prabayar mudah alih.

Cukai itu sama dengan levi cukai perkhidmatan bagi pembelian makanan dan minuman daripada restoran dan hotel.

Sebelum ini, syarikat telekomunikasi telah menyerap cukai itu dalam perkhidmatan prabayar mudah alih sejak ia diperkenalkan pada 1998.

Langkah itu diambil untuk memastikan perkhidmatan prabayar kekal kompetitif berbanding pascabayar memandangkan kadar prabayar lebih tinggi untuk membuat panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sunday, 4 September 2011

‘Arwah terkulai di bahu saya’





KUALA LUMPUR 3 Sept. – Malang tidak berbau. Walaupun jarak perjalanan yang perlu ditempuhi oleh sebahagian petugas media dalam misi bantuan di Somalia sebelum diserang hendap semalam hanya tiga minit, namun tempoh itu tetap merupakan antara yang paling panjang yang pernah dilalui oleh jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan.

Ini kerana dalam perjalanan tiga minit itulah mereka ditembak sekurang-kurangnya dua kali dan salah satu daripadanya mengorbankan rakannya, jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor, yang juga ketua pasukan media yang bertugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia.

Menurut Aji Saregar, ketika kejadian, beliau dan Noramfaizul berada dalam kenderaan terakhir daripada tiga kenderaan yang bergerak dari hotel penginapan petugas media elektronik menuju ke hotel yang menempatkan petugas media cetak dan penulis blog.

“Sebelum memasuki pekarangan hotel itu dari hotel kami, saya terdengar bunyi tembakan dan sedar saya sendiri terkena tembakan di bahagian lengan kanan.

“Dalam kesakitan, saya memberitahu Noramfaizul bahawa kami diserang tetapi arwah tiba-tiba terkulai di bahu kanan saya. Saya dapat melihat bahu kanan arwah berlubang dan dia berada dalam kesakitan yang amat sangat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Aji Saregar menceritakan detik-detik cemas itu sebelum menaiki pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Mogadishu untuk pulang ke tanah air bersama jenazah Allahyarham Noramfaizul serta kesemua petugas media dan sukarelawan misi berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan itu (10.30 malam tadi waktu Malaysia), konvoi tiga kenderaan termasuk sebuah kenderaan tentera kerajaan Somalia ditembak oleh penyerang tidak dikenali kira-kira 200 meter sebelum memasuki hotel berkenaan.

Tembakan yang terkena bahu kanan Noramfaizul itu dilaporkan menembusi paru-parunya dan menyebabkan Allahyarham meninggal dunia ketika dirawat di hospital berdekatan kira-kira pukul 6.07 petang waktu tempatan sementara Aji Saregar hanya cedera di lengan.