Monday, 20 December 2010

Projek MRT bawa kesan positif












KUALA LUMPUR 19 Dis. - Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong penuh keputusan kerajaan untuk membina Aliran Transit Massa (MRT) di Lembah Klang mulai Julai tahun depan.

Langkah tersebut dianggap wajar kerana mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping menggerakkan ekonomi negara menjadi negara berpendapatan tinggi.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, penggunaan pengangkutan awam di kalangan warga kota ketika berulang alik ke tempat kerja mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Menurutnya, di samping itu juga, penggunaan kemudahan itu dijangka mampu mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar disebabkan pengurangan bilangan kenderaan.

"Sebagai contoh, jika sebuah tren mampu membawa sekurang-kurangnya 100 penumpang, ia sudah cukup untuk mengurangkan sebanyak 100 buah kenderaan di jalan raya.

"Dalam masa yang sama kadar pencemaran di Kuala Lumpur juga dapat dikurangkan dengan penggunaan kenderaan awam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan keputusan kerajaan untuk melaksanakan pembinaan fasa pertama projek MRT di Lembah Klang bagi memberikan keselesaan kepada rakyat.

Katanya, projek yang bernilai RM36 bilion itu dijangka siap dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang melibatkan laluan Sungai Buloh-Kajang sejauh 60 kilometer.

Tambah Maamor, apabila projek tersebut siap kelak, adalah menjadi harapan kepada pengguna agar harga tambang yang dikenakan tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.

"Majoriti pengguna mengharapkan agar caj yang akan dikenakan tidak membebankan supaya mereka tidak tukar fikiran dan memilih untuk menaiki kenderaan sendiri semula kerana merasakan ia lebih menjimatkan," ujarnya.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Marimuthu Nadason berkata, projek yang diumumkan itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh semua pihak kerana ia mampu memberikan impak yang tinggi kepada ekonomi negara melalui Projek Permulaan Ekonomi (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Menerusi projek tersebut, saya yakin bahawa pendapatan negara akan meningkat setiap tahun sehingga negara mencapai status negara maju menjelang 2020," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula berkata, projek tersebut perlu diperluaskan ke kawasan-kawasan lain dan tidak hanya tertumpu di bandar sahaja.

"Buat masa sekarang laluan yang dicadangkan melibatkan kawasan bandar dan sepatutnya kerajaan memperluaskannya mencakupi sehingga ke kawasan luar bandar," katanya.

Menurutnya, projek itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh kerana rakyat mahukan kemudahan awam disediakan walaupun kawasan tersebut tidak mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

"Sekiranya projek itu hanya memfokuskan kepada penduduk bandar sahaja ia akan membuatkan penduduk luar bandar terus ketinggalan dan terpinggir dalam arus pembangunan negara ini," tegasnya.

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH dan FARIZ FIKRI ZOLKARNAIN