Thursday, 16 December 2010

Cuaca sejuk di Chicago bekukan pokok, rumput



CHICAGO: Angin kencang dengan kelajuan 64.4 kilometer menyebabkan ombak membadai pantai dan suhu di bawah takat beku menyebabkan ais membeku (gambar) pada pokok dan rumput di sekeliling tasik di Chicago, Illinois, kelmarin.

Salji, suhu terlampau sejuk dan angin kencang menyebabkan pembatalan lebih 1,500 penerbangan di lapangan terbang bandar dan mencetuskan huru hara di bahagian barat tengah Amerika Syarikat.
Suhu amat sejuk sepatutnya berakhir sehingga hujung minggu ini dengan ribut dijangka tiba di kawasan barat tengah Khamis lalu, kata Perkhidmatan Kaji Cuaca Nasional. Salji menghala ke timur dengan amaran cuaca buruk dikeluarkan di Indiana, Ohio, Kentucky, Tennessee, Virginia Barat, timur Pennsylvania, barat New York dan Vermont.

Salji menebal di Pittsburgh dan Cleveland mungkin menerima 20 sentimeter salji ketika cuaca terus sejuk.

Kesan salji di Great Lakes menyebabkan salji menebal sehingga 60.96 sentimeter di utara Indiana, Ohio, barat Pennsylvania dan barat New York.

Beliau berkata Indianapolis, Cleveland, dan Pittsburgh mengalami salji yang cukup untuk mencetuskan masalah pengangkutan. – AFP

Selangkah ke perlawanan akhir



KUALA LUMPUR – Malaysia kini bagaikan sebelah kaki ke perlawanan akhir apabila cemerlang membenam juara bertahan, Vietnam 2-0 pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010, terima kasih kepada Safee Sali yang menjaringkan dua gol pada minit ke-65 dan 83.

Dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Safee dan kapten Safiq Rahim layak diangkat sebagai wira apabila rangkaian dua `S' itu menjadi nadi kemenangan negara.

Pada ketika penat beraksi di Bukit Jalil masih belum hilang, skuad negara terpaksa berlepas ke Hanoi hari ini untuk aksi separuh akhir kedua, Sabtu ini.

Dalam perlawanan semalam, gol pertama hadir pada minit ke-65 berpunca dari sepakan percuma Safiq yang bijak dikesan Safee sebelum melakukan tandukan mengelirukan penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.

Tujuh minit sebelum permainan tamat, 50,000 penyokong negara bersorak apabila Safee memastikan Malaysia mendapat bekalan selesa sebelum beraksi di Hanoi, Sabtu ini apabila menyambar peluang terhidang di hadapan gol Vietnam hasil bola muntah selepas percubaan Safiq ditampan Tan Truong.

Apa yang pasti, perlawanan semalam boleh dianggap aksi terbaik skuad negara sepanjang saingan Piala Suzuki AFF 2010 dengan permainan kemas dan pantas berjaya ditunjukkan anak-anak buah K. Rajagobal.

Rajagobal tidak banyak melakukan rombakan dalam skuad yang diturunkan ketika berdepan Laos dalam aksi terakhir kumpulan, kecuali kembali menurunkan Mohd. Asraruddin Putra Omar di bek kiri menggantikan Mohd. Sabre Mat Abu, selain Safee menggantikan Mohd. Amri Yahyah.

Harimau Malaya mencipta peluang pada minit ke-10 melalui gerakan lincah S. Kunanlan yang bijak menghidu kedudukan Safee dalam kotak penalti sebelum melorong bola kepada penyerang Selangor itu, namun dia menyepak lemah.

Penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat cemerlang menafikan hajat Vietnam untuk memperoleh gol pertama selepas menepis percubaan Nguyen Minh Phuong dari jarak dekat, di minit ke-15.

Pada minit ke-26, Malaysia semakin mengasak yang bagaimanapun disia-siakan Safee sekali lagi apabila rembatan leretnya tersasar di sebelah kiri pintu gol Vietnam.

Selepas separuh pertama buntu tanpa sebarang gol, Vietnam lebih banyak menguasai awal permainan babak kedua tetapi gandingan Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas berjaya mematahkan serangan lawan.

Saat yang dinantikan akhirnya tiba pada minit ke-65 menerusi Safee yang menggamatkan seluruh Stadium Nasional sebelum dia meledak gol kedua pada minit ke-83 bagi memastikan Malaysia berpeluang cerah layak ke perlawanan akhir buat kali kedua semenjak tahun 1996.


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dan FERZALFIE FAUZI

Seramai 884 pegawai perubatan letak jawatan

2010/12/15

KUALA LUMPUR: Seramai 884 orang Pegawai Perubatan telah meletakkan jawatan bagi tempoh 2007 hingga September lalu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, terdapat pelbagai faktor bagi peletakan jawatan itu antaranya ialah menerima tawaran sebagai tenaga pengajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta, mengikut pasangan ke luar negara, menerima tawaran pekerjaan lain dan masalah kesihatan.
Liow berkata, terdapat dua kategori peletakan jawatan iaitu peletakan jawatan, dan pelepasan dengan izin, untuk berkhidmat dengan agensi kerajaan lain seperti universiti dan pihak berkuasa tempatan.
"Daripada jumlah 884 yang meletak jawatan, seramai 757 Pegawai Perubatan meletak jawatan untuk tidak lagi berkhidmat dengan mana-mana agensi kerajaan manakala baki 127 lagi mendapat pelepasan dengan izin," katanya menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, pada tahun 2007, seramai 167 orang Pegawai Perubatan telah meletakkan jawatan manakala bagi tahun 2008 pula 303 orang.

"Walaubagaimanapun, bilangan Pegawai Perubatan yang meletakkan jawatan menunjukkan penurunan mulai tahun lalu yang mana jumlahnya adalah seramai 217 orang dan bagi tahun ini (sehingga September) seramai 197," katanya. - BERNAMA