Tuesday, 14 December 2010

Kerajaan nafi dakwaan Planet Nibiru akan langgar bumi pada 2012




2010/12/14

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini menafikan dakwaan bahawa Planet X atau Planet Nibiru akan melanggar Bumi dan menyebabkan kerosakan teruk pada 2012.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili, berkata Agensi Angkasa Negara (Angkasa) telah bekerjasama dengan agensi angkasa lepas antarabangsa seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat bagi menjalankan pemantauan berhubung dakwaan tersebut.
"Pihak NASA telah mengatakan bahawa tiada bukti sahih tentang kewujudan Planet Nibiru dalam pencerapannya. Setakat ini tiada satu pun objek dalam angkasa lepas yang dikenal pasti memberi ancaman kepada Bumi secara langsung.
"Sekiranya kewujudan planet itu sahih, ia akan dapat dilihat dengan mata kasar dan pastinya ahli astronomi akan buat pemantauan objek tersebut kerana semakin menghampiri bumi seperti yang dikatakan," katanya pada sesi soal jawab Dewan Negara di Parlimen, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Shamsudin Mehat tentang pendirian kerajaan berhubung dakwaan berkenaan.

Dakwaan berhubung Planet Nibiru akan melanggar Bumi mula dibangkitkan pada tahun 1995 namun semakin hangat dibincangkan oleh orang ramai terutama di internet sejak tahun lalu. - BERNAMA

87,583 bankrap kerana kad kredit



14/12/2010 3:02pm

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Seramai 87,583 individu diisytiharkan

bankrap dan daripada jumlah itu, 4,651 atau 5.1 peratus diisytiharkan bankrap kerana terbabit dalam hutang kad kredit sehingga Oktober tahun ini.

Ekoran daripada itu, kerajaan akan berbincang dengan Bank Negara (BNM) bagi mencari penyelesaian berhubung kadar faedah tinggi yang dikenakan kepada pengguna kad kredit hingga menyebabkan lebih 4,000 diisytiharkan bankrap kerana kegagalan membayar hutang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, langkah itu perlu diambil kerana angka yang dicatatkan dipandang serius kerajaan kerana majoriti mereka yang terlibat adalah daripada kalangan generasi muda.

"Semestinya pihak kerajaan akan memandang serius dan saya bercadang akan berjumpa pihak berkenaan dalam mengendalikan isu ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mohamad inginkan penjelasan berhubung tindakan yang akan diambil kerajaan bagi menangani isu itu di mana menurut beliau kira-kira 23 peratus pengguna kad kredit di kalangan generasi muda telah diisytiharkan bankrap kerana gagal membayar hutang ekoran kadar faedah yang tinggi iaitu antara 12 hingga 18 peratus. - Bernama