Saturday, 27 November 2010

Transformasi fesyen terompah


MELAKA 26 Nov. - Suatu ketika dahulu, penggunaan terompah begitu popular di beberapa buah negeri terutamanya Melaka.

Penggunaan terompah yang berukir indah nampak lebih menarik apabila dipadankan dengan pemakaian baju kurung pesak atau kebaya nyonya.

Tidak hairanlah di awal kegemilangan penggunaan terompah ia turut diminati bukan sahaja oleh golongan wanita tetapi lelaki kerana kepelbagaian fungsi selain keunikan reka bentuknya.

Jika kaum wanita memakai terompah dipadankan dengan baju kurung pesak dan kebaya nyonya manakala bagi kaum lelaki pula sering memakainya ketika pergi ke surau atau sebarang majlis keraian.

Ini kerana terompah lasak untuk dipakai kerana diperbuat daripada kayu ditambah dengan pelbagai corak dan warna ia menjadikannya lebih menarik.

Terompah juga mempunyai nilai warisan yang unggul kerana ia mewakili masyarakat Baba Nyonya, Melayu, Cina dan India.

Namun, peredaran masa selain perkembangan pesat dalam industri fesyen kasut sehingga terhasil pelbagai rekaan capal atau sandal yang lebih selesa dipakai, akhirnya telah menenggelamkan tradisi terompah.

Ini menyebabkan industri terompah mula gulung tikar dan mereka yang mengusahakannya pula boleh dibilang dengan jari.

Kalau ada pun ia dijadikan sebagai perhiasan kerana keunikan ukirannya.

Pada masa ini, pembuatan kasut terompah masih wujud tetapi diberi nafas baru dengan seni lukis dan warna untuk menambah tarikan padanya.

Bagi pengusaha terompah, Angela Chian Yook Yin, 45, minatnya yang pada awalnya sekadar suka-suka akhirnya menjadi sumber pendapatan bulanannya.

Kegemarannya melukis dan mewarna sejak kecil nyata tidak sia-sia apabila bakatnya digunakan untuk menghasilkan terompah istimewa yang dihiasi dengan corak yang dilukis dan diwarnai sendiri.

Angela yang mula menceburi bidang tersebut dua tahun lepas berkata, pada awalnya dia hanya melukis dan mewarna corak pada sepasang terompah untuk kegunaannya sendiri.

Namun demikian, disebabkan corak yang dihasilkannya kelihatan cantik ia telah menarik minat rakannya untuk membeli terompah tersebut.

Menurut Angela, selepas itu seorang demi seorang rakannya tertarik dengan hasil seninya yang halus lalu membeli terompah lain yang turut dihias dengan pelbagai corak.

''Sejak dari itu timbul idea untuk saya memulakan perniagaan ini kerana semakin hari semakin banyak tempahan yang diterima.

''Akhirnya perniagaan kecil-kecilan yang pada mulanya dibuat di rumah dikembangkan dengan menjual hasil seni saya di kedai," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurut Angela, untuk menyiapkan corak hiasan pada sepasang terompah bergantung kepada corak dan saiz terompah tersebut.

Katanya, hiasan corak sepasang terompah mengambil masa satu hingga dua hari untuk disiapkan kerana dia perlu menunggu sehingga warnanya kering dengan sepenuhnya.

''Tidak kurang juga yang meminta saya menjahitkan manik pada terompah yang ditempah untuk menjadikan ia kelihatan lebih menarik. Menjahit manik adalah antara proses yang paling sukar," katanya.

Tambahnya, terdapat 12 jenis corak berlainan yang kesemuanya berasaskan bunga yang boleh dipilih oleh pelanggan.

Sementara itu, saiznya pula adalah antara satu hingga 12 untuk kanak-kanak dan dewasa.

Menurutnya harga sepasang terompah yang siap dihiasi dengan corak pula antara RM22.90 hingga RM250.

Bercerita tentang pelanggannya pula, Angela berkata, kebanyakannya merupakan masyarakat bumiputera terutama golongan wanita Melayu yang suka memakai terompah buatannya.

Kedainya yang terletak di Galeri Warisan, Dataran Pahlawan sering dikunjungi pelanggan yang datang dari pelbagai negara.

''Ada di antara pelanggan yang datang merupakan penduduk tempatan di negeri ini tapi tidak kurang juga pelancong dari negeri lain seperti Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

''Tidak kurang juga pelancong dari luar negara seperti Singapura, India, Indonesia, Thailand dan Australia yang turut tertarik membeli terompah untuk dijadikan sebagai buah tangan," katanya.

Menurut Angela, untuk mempelbagaikan lagi bakatnya melukis dan mewarna corak, dia juga berjinak-jinak untuk mengaplikasikan ia pada pinggan mangkuk.

Oleh MARGARET GAMBANG