Saturday, 29 May 2010

Melaka bakal miliki syarikat penerbangan Melaka Air






MELAKA 28 Mei - Kerajaan negeri merancang untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri dikenali sebagai Melaka Air sebagai langkah terakhir agar Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) bernilai RM131 juta dapat digunakan pada tahap maksimum.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sejak LTAM dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Februari lalu, tidak ada syarikat penerbangan tempatan menggunakan lapangan terbang itu setakat ini.

Menurutnya, rancangan untuk menubuhkan Melaka Air terpaksa dibuat jika rundingan antara kerajaan negeri dengan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dan Lion Air bagi menggunakan LTAM menemui jalan buntu.

"Rundingan telah diadakan tetapi hingga kini tidak ada kata putus diberikan sama ada AirAsia dan Lion Air bersetuju untuk menjadikan LTAM sebagai salah satu destinasi penerbangan.

"Apabila kedua-dua syarikat itu tidak memberi sebarang jawapan bagi saya adalah lebih baik kita memiliki syarikat penerbangan sendiri yang dikenali sebagai Melaka Air. Kajian menyeluruh sedang dibuat dan akan diketahui tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Penerbangan Pertama (Sewa Khas) Melaka-Medan-Melaka menggunakan syarikat penerbangan Firefly di LTAM, Batu Berendam di sini hari ini.

Seramai 72 penumpang bertuah menyertai pakej tersebut berlepas dari LTAM kira-kira pukul 3.45 petang.

Pakej pelancongan tiga hari dua malam ke Medan itu adalah anjuran Putri Holidays Bhd. dengan kerjasama Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam, Datuk Gan Tian Loo; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Md. Yunus Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly), Datuk Eddy Leong.

Pada masa ini hanya syarikat penerbangan Riau AirLines menggunakan LTAM.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, melalui Melaka Air, kerajaan negeri tidak bercadang untuk membeli pesawat baru tetapi sebaliknya akan menyewa pesawat Boeing 737 dan Airbus daripada syarikat penerbangan lain.

"Jika menjadi kenyataan, Melaka Air akan menumpu kepada pakej pelancongan kesihatan dan rekreasi ke beberapa destinasi seperti Jakarta, Medan, Surabaya, Pekan Baru dan Bandung," katanya.

Mengulas mengenai penerbangan pertama sewa khas Firefly ke Medan, beliau berkata, usaha menganjurkan pakej pelancongan itu adalah sebagai langkah awal untuk memastikan LTAM digunakan pada tahap maksimum.

"Selepas tiga bulan LTAM dirasmikan oleh Perdana Menteri, inilah penerbangan pertama walaupun terpaksa disewa khas menggunakan pesawat milik Firefly, lapangan terbang ini dapat digunakan sebaik mungkin," katanya.

Beliau menjelaskan, pakej tersebut merupakan satu permulaan yang baik kepada LTAM untuk beroperasi bagi pasaran domestik dan antarabangsa khususnya.

Ujarnya, orang ramai berpeluang untuk menyertai pakej pelancongan Melaka-Medan-Melaka pada 25 Jun, 9 Julai dan 23 Julai.