Wednesday, 10 March 2010

Melaka laksana bandar hijau


kincir angin untuk menjanakan tenaga elektrik


panel solar untuk menghasilkan elektrik

MELAKA 9 Mac – Kerajaan negeri akan membangunkan kawasan seluas 330 hektar sebagai projek pembangunan bandar hijau yang akan dikenali sebagai Bandar Hijau Hang Tuah Jaya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, projek yang menelan belanja RM2 bilion itu akan dilaksanakan tidak lama lagi sebagai menyahut galakan kerajaan menerusi Dasar Teknologi Hijau Negara.

Menurut beliau, menerusi dasar tersebut, pembangunan bandar hijau yang akan dibangunkan di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan menjadi model contoh bandar yang bercirikan mesra alam.

“Ciri-ciri bandar ini ialah kurang pencemaran, sikap dan penduduk yang mesra alam, kualiti udara yang baik, penggunaan sumber tenaga, pengekalan kawasan hijau yang terancang serta melaksanakan polisi mesra alam.

“Sebenarnya, kerajaan negeri telah mengambil langkah awal menghijaukan negeri ini bermula dengan bangunan-bangunan hijau terutama di pusat pentadbiran di Seri Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob sempena pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mohd. Ali berkata, pengangkutan awam yang akan dibangunkan di kawasan tersebut dikenali sebagai trem menggunakan enjin berkuasa gas asli (NGV) yang pertama di negara ini juga adalah disifatkan sebagai mesra alam.

Katanya, apabila pembangunan bandar hijau dilaksanakan ia akan dapat mengurangkan kesan perubahan iklim global yang dihadapi dunia pada masa ini.

“Selain itu, kerajaan negeri juga merancang melaksanakan pemasangan panel solar bagi lampu-lampu di jalan raya di seluruh negeri ini dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida,” ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, prestasi ekonomi negeri ini pada 2009 telah mencatatkan perkembangan yang baik dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM15.9 bilion berbanding RM15 bilion pada tahun sebelumnya.

Ujarnya, sektor perkhidmatan masih kekal sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK negeri selain ia didorong oleh sub-sektor pelancongan dan diikuti oleh sektor pembuatan yang merekodkan pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus.

“Ini merupakan pencapaian yang sangat memberangsangkan berbanding ketika berlakunya kegawatan ekonomi global.

“Kegigihan kerajaan negeri memperkenalkan dan melaksanakan dasar serta strategi yang berkesan telah mendatangkan hasil dan pulangan yang baik,” katanya.

Sehubungan itu katanya, usaha akan ditingkatkan bagi memastikan sektor tersebut mengalami pertumbuhan yang positif dengan pertumbuhan baru dengan nilai tambah yang tinggi.

bas berkuasa hibrid

pembangunan yang lebih terancang

Add to Google