Tuesday, 9 March 2010

Jenamakan semula produk Negeri Melaka



MELAKA 8 Mac - Semua hasil produk keluaran negeri ini perlu menjalani penjenamaan yang mampu memberi impak kepada industri pelancongan antarabangsa seterusnya melonjakkan lagi nama Melaka di mata dunia.

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob berkata, sebagai contoh, popularnya nama buah Melaka boleh dijenamakan semula dengan mengaitkannya dengan nama negeri Melaka.

"Ia perlu diberi impak seperti piza yang meningkatkan nama Itali.

"Di peringkat tempatan, sudah banyak pelancong-pelancong datang ke Melaka semata-mata untuk menikmati ikan bakar Melaka. Yang penting nama Melaka itu sendiri.

"Seperti buah kiwi, banyak orang sangka ia berasal dari New Zealand, tetapi sebenarnya ia terkenal oleh kerana promosinya sahaja," katanya.

Mohd. Khalil berucap ketika merasmikan Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Persidangan itu akan berlangsung selama empat hari sehingga Khamis ini.

Mohd. Khalil pada masa sama mencadangkan supaya kerajaan negeri membina sebuah Kompleks Kediaman Hang Tuah untuk menggambarkan kehebatan pahlawan itu ketika di zamannya untuk tatapan generasi masa hadapan.

Menurut beliau, kebanyakan tokoh-tokoh dari luar negara mencipta nama kerana datang ke Melaka dalam pelbagai urusan sama ada untuk pengembaraan, perniagaan, penaklukan atau urusan diplomasi.

"Bagaimanapun, tokoh-tokoh Melaka hanya dikenang melalui nama-nama jalan, bangunan atau tanah perkuburan mereka sahaja tanpa banyak tulisan-tulisan dan ini tidak memberi kesan kepada generasi baru.

"Saya mencadangkan sebuah Kompleks Kediaman Hang Tuah dapat dibina dengan pelan grafik komputer yang menunjukkan kehebatannya sebagai negarawan, pahlawan dan pelopor persilatan Melayu yang terkenal,'' katanya.

Tambahnya, dengan adanya balai, gelanggang silat rumah-rumah penjawat yang bekerja dengan Hang Tuah, ia akan mewujudkan satu lagi produk pelancongan yang diminati.

"Ia sekali gus menjadikan nama Hang Tuah lebih ternilai sebagai ikon Melaka setanding dengan nama-nama legenda antarabangsa yang lain dan boleh dijadikan aspirasi kepada generasi sekarang," katanya.

Menyentuh aspek pelancongan, Mohd. Khalil berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memberi perhatian terhadap beberapa perkara yang sering menjadi tumpuan pelancong.

Menurutnya, para pelancong seringkali terdorong untuk melawat ke Melaka dengan pengwujudan kawasan hijau dan kehadiran pelbagai spesies burung yang juga memerlukan perhatian PBT

"Secara umum, para pelancong akan terpengaruh secara positif dan negatif dalam perkara seperti kebersihan termasuk pengurusan tandas dan harga barangan yang tidak munasabah.

"Begitu juga dengan corak perkhidmatan dan layanan-layanan yang diberi di tempat seperti hotel-hotel, kompleks beli belah serta perhentian bas dan teksi. Kita juga perlu menambah pemandu pelancong yang pintar," katanya.

Dari segi pembangunan industri, Mohd. Khalil berkata, kerajaan telah berjaya membawa beberapa projek industri baru daripada luar negara seperti China, India, Arab dan Amerika Syarikat yang terkumpul sehingga kini berjumlah RM15.8 billion.