Monday, 8 March 2010

Melaka tawar peluang kerja kepada rakyat Sabah


MELAKA 5 Mac - Berita baik kepada rakyat Sabah di sekitar Lembah Klang yang sedang menganggur dan mencari pekerjaan.

Tenaga kerja mereka sedang diperlukan di Melaka bagi mengisi kira-kira 4,425 pelbagai peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang antaranya sektor perindustrian, pertanian, perhotelan dan peruncitan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman esok bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih terperinci.

"Dalam pertemuan itu nanti, perbincangan turut berkisar mengenai usaha mempromosi dan kita secara rasmi akan menjemput kontinjen pasukan Sabah mengambil bahagian dalam temasya Sukan Malaysia XIII yang akan bermula Jun nanti," katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, jelasnya, perbincangan akan lebih menumpukan kepada jenis pekerjaan yang sesuai ditawarkan kepada rakyat Sabah yang kini berada di Semenanjung.

Katanya, langkah kerajaan negeri menawarkan pekerjaan kepada rakyat Sabah itu diambil selepas bancian yang dijalankan Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda UMNO yang mendapati kira-kira 200 penduduk dari negeri itu yang berada di Semenanjung terutama di Lembah Klang sedang mencari pekerjaan.

Mohd. Ali menjelaskan, bancian tersebut diketuai Pengerusi SHEB yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Azman Zainal Abidin.

Beliau berkata, mana-mana rakyat Sabah khususnya di Lembah Klang yang berminat bekerja di Melaka diminta melayari laman web Jobmalaysia atau mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) atau Invest Melaka.

Beliau memberitahu, mengikut statistik JTK sehingga bulan lalu, Melaka merekodkan 4,425 kekosongan jawatan dalam sektor perindustrian, pertanian, perhotelan dan peruncitan.

"Kita dapati kadar pengangguran di negeri ini juga mencatatkan 2.5 peratus bagi suku tahun pertama tahun lalu iaitu lebih rendah berbanding negara iaitu sekitar empat peratus," katanya.

Menurut beliau, peratusan berkenaan menunjukkan Melaka mencapai tahap penggunaan tenaga sepenuhnya memandangkan ia mencapai kadar pengangguran di bawah empat peratus seperti yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNILO).



Penduduk terkejut Ali sanggup redah jalan

RANAU 7 Mac - Jarak Kampung Kaingaran dari sini hanya kira-kira 60 kilometer. Bagaimanapun perjalanan untuk ke kampung paling hujung dalam daerah ini sebelum sampai ke Beluran, Sandakan, memakan masa lebih tiga jam.
Semuanya gara-gara jalan batu sepanjang 50 kilometer yang terpaksa ditempuh oleh sesiapa sahaja yang ingin ke kampung itu.
Selain sempit, jalannya berbahaya kerana perlu melalui lereng bukit, gelap, berhabuk ketika kemarau dan menjadi laluan berlumpur ketika hujan.
Dengan segala kesukaran itu, hampir tiada orang luar yang sanggup ke kampung berkenaan yang penduduknya terdiri daripada kaum Orang Sungai dan Dusun.
Justeru apabila terdengar khabar bahawa pemimpin dari Semenanjung iaitu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mahu datang ke kampung tersebut, ramai yang tidak percaya.
Seorang penduduk, Rahmah Nasrun, 54, berkata, tidak ada siapa yang mahu datang ke kampung itu kerana terpaksa melalui jalan batu berbukit bukau yang amat menyeksakan.
"Namun saya terkejut apabila melihat Mohd. Ali keluar dari kenderaan dan bersalaman dengan penduduk kampung ini," katanya.
Seorang lagi penduduk, Usin Sigandong, 50, yang terkejut dengan kehadiran Mohd. Ali berkata, dia tidak hairan dengan kehadiran pemimpin kerana selalunya mereka akan datang menaiki helikopter.
''Tetapi kalau dia mahu naik kereta baguslah kerana dapat merasai kesusahan penduduk di sini," katanya.
Sementara itu, Jaudin Tuahan, 35, berkata, dia bersama isteri dan dua anak lelakinya sanggup berjalan sejauh 15 kilometer untuk bersama Mohd. Ali pada Program Juara Rakyat anjuran UMNO Ranau itu.
''Hilang rasa penat apabila dapat bertemu pemimpin yang sudi datang ke sini," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Ranau, Datuk Masidi Manjun berkata, lokasi yang jauh di kawasan pedalaman itu bukan bertujuan 'menyeksa' Mohd. Ali yang juga bapa angkat kepada UMNO Ranau.
''Ia sebenarnya untuk memberi kesedaran kepada semua pihak termasuk diri saya betapa kita masih mempunyai tugas besar dan ada sesetengah cabaran itu tidak mampu ditanggung pemimpin tempatan bersendirian," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Ali berjanji akan memastikan keluh-kesah penduduk Kampung Kaingaran itu sampai ke pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.