Friday, 5 March 2010

Cadangan Pembinaan Jambatan


China Exim Bank boleh membiayai sehingga 85 peratus daripada kos AS$12.5 bilion (kira-kira RM43.75 bilion) untuk membina jambatan Melaka-Dumai, sepanjang 52 kilometer, menghubungkan Teluk Gong di Melaka dan Dumai di Sumatera, kata Pengurus Besarnya, Tang Yinlian hari ini.

Baki kos itu boleh ditanggung sendiri pemegang kepentingan jambatan itu, iaitu Straits of Malacca Partners Sdn. Bhd., katanya di Seminar Projek Jambatan Selat Melaka di sini.

"Kami akan berunding untuk mendapatkan pinjaman swasta yang melibatkan beberapa pihak bagi tujuan itu, kata Pengerusi Straits of Malacca Partners, Tan Sri Ibrahim Zain.

Bagaimanapun, beliau enggan membincangkan secara terperinci butiran jambatan itu, yang dianggarkan akan memakan masa sembilan tahun untuk disiapkan mulai dari tarikh mendapat kelulusan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang turut hadir di seminar itu, berharap kerajaan Indonesia dan Malaysia akan memberikan kelulusan pelaksanaan projek itu menjelang akhir tahun ini.

Sebaik siap, laluan kenderaannya akan menjadi penghubung buatan manusia terpanjang antara dua buah negara.

"Kami tahu, selain kelulusan kerajaan, terdapat isu lain seperti pengambilalihan tanah yang perlu diuruskan tetapi itu bukan menjadi masalah," kata Mohd Ali.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyokong pelaksanaan projek itu yang pertama kali dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi terpaksa diketepikan berikutan krisis kewangan Asia 1997/98 melanda negara ini.

Projek pembinaan jambatan itu berdaya maju dan menguntungkan dan dijangka meningkatkan sektor pelancongan Melaka serta ekonomi kedua-dua negara, kata Mohd Ali.

"Jambatan itu mempunyai potensi ekonomi yang besar, jika diambil kira penduduk di Sumatera yang berjumlah 70 juta orang berbanding dengan Singapura, yang mempunyai hanya 4.0 juta penduduk," katanya.

Katanya, trafik di atas jambatan itu dianggarkan kira-kira 15,000 kenderaan dan caj tol setiap kenderaan boleh dikenakan antara AS$75 (kira-kira RM262.5) hingga AS$85 (kira-kira RM297.5). - BERNAMA

Makluman


PEMBERITAHUAN PENSTRUKTURAN SEMULA MAJLIS TINDAKAN PELANCONGAN NEGERI MELAKA SEBAGAI PEJABAT KEMENTERIAN PELANCONGAN MALAYSIA NEGERI MELAKA


Sukacitanya dimaklumkan bahawa Kementerian Pelancongan Malaysia telah membuat penstrukturan semula Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Melaka (MTPN) kepada Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Melaka mulai 1 Januari 2010.

Sehubungan dengan itu, segala urusan rasmi dan surat-menyurat yang berkaitan dengan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Melaka hendaklah dialamatkan seperti berikut :

Pengarah
Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Melaka
Kementerian Pelancongan Malaysia
Aras 1, Pusat Konvensyen
Kompleks MITC
Hang Tuah Jaya
75450 Ayer Keroh
Melaka

No. Tel : 06-231 8200
No. Faks : 06-231 1400