Thursday, 4 March 2010

Pembinaan trem bermula Mei


MELAKA 3 Mac - Pembinaan sistem pengangkutan terbaru dikenali sebagai trem bernilai RM272 juta pada Mei ini dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan jalan raya di bandar ini pada hujung minggu dan cuti umum.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pembinaan trem yang menggunakan teknologi dari China itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri meningkatkan taraf infrastruktur serta sistem pengangkutan awam di negeri ini.

Menurutnya, perkhidmatan terbaru itu yang dijangka siap Mei 2011 akan memudahkan pergerakan rakyat dan pelancong untuk pergi ke sesuatu lokasi tanpa perlu melalui kesesakan jalan raya.

Beliau berkata, trem itu akan bergerak mengikut jadual yang tepat selain mementingkan penjagaan alam sekitar menerusi penggunaan enjin berkuasa gas asli (NGV) yang pertama di negara ini.

''Perkhidmatan trem dijangka merancakkan lagi sektor ekonomi di negeri ini terutama dalam sektor pelancongan kerana ia akan menggalakkan kedatangan pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dengan Syarikat MRails International Sdn. Bhd., di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mohd. Ali menandatangani perjanjian itu mewakili CMI manakala Syarikat MRails International Sdn. Bhd., diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohammed Shamsherudin Mohd. Sharif.

Majlis tersebut disaksikan oleh Penaung syarikat terbabit iaitu Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Mohd. Ali berkata, langkah kerajaan negeri membina trem adalah salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu menambah baik sistem pengangkutan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan tersebut kepada Kementerian Pengangkutan untuk kelulusan segera.

''Pembinaan trem dijangka bermula Mei ini dan memakan masa selama 12 bulan untuk disiapkan. Jika segalanya berjalan lancar trem akan mula digunakan pada Mei 2011," ujarnya.

Katanya, landasan trem sejauh 40 kilometer itu bermula dari Plaza Tol Ayer Keroh melalui 23 lokasi termasuk tempat-tempat bersejarah hingga ke Dataran Pahlawan di Bandar Hilir.

Antara laluan landasan trem yang akan dibina ialah Hotel Seri Malaysia, Taman Botanikal, Zoo Melaka, Masjid Al-Azim, Muzium, Dataran Pahlawan, Kelab Harbour, Kampung Hilir dan Hospital Putra.

Sementara itu Presiden Syarikat MRails International Sdn. Bhd., Datuk Jaya Kumar berkata, koc trem yang akan beroperasi nanti mampu menampung 150 penumpang dalam satu masa dan ia berupaya membawa maksimum 40 koc.

Beliau menambah, perkhidmatan trem akan menggunakan konsep 'park and ride' iaitu pengguna boleh meletakkan kenderaan mereka di mana-mana stesen untuk pergi ke lokasi tertentu.

''Kita mencadangkan kadar bayaran RM2 kepada penumpang untuk semua destinasi dengan sekali bayar manakala warga emas dan pelajar yang berpakaian sekolah tidak dikenakan sebarang tambang," katanya.