Wednesday, 24 February 2010

Kemudahan trem diperkenal


MELAKA 18 Feb. – Kerajaan negeri berhasrat memperkenalkan sistem kemudahan trem bermula dari Jalan Ayer Keroh lama ke pusat bandar dalam usaha mengatasi masalah kesesakan jalan raya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cadangan mengenai pembinaan projek trem itu akan dibentangkan pada mesyuarat kerajaan negeri minggu depan.

Menurutnya, projek bernilai RM210 juta itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan jalan raya ke bandar ini pada hujung minggu dan cuti umum.

‘‘Jika diluluskan, stesen trem akan dibina berhampiran tol Ayer Keroh bagi menghubungkan laluan tersebut ke pusat bandar sejauh 30 kilometer.

‘‘Ini juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang sering berlaku terutama jalan masuk ke Banda Hilir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Tahun Baru Cina anjuran MCA Malim Jaya di sini malam tadi.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Asmah Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Md. Sirat Abu.

Selain itu, kata beliau, antara laluan yang dicadangkan bagi pembinaan trem itu bermula dari Jalan Ayer Keroh lama memasuki laluan Batu Berendam sebelum ke pusat bandar.

Ujarnya, pengendali bas pelancongan digalakkan meletakkan kenderaan masing-masing di stesen pertama berhampiran Tol Ayer Keroh untuk membawa pelancong memasuki pusat bandar dalam usaha mengatasi masalah kesesakan.

Pada masa yang sama dalam usaha meningkatkan sistem pengangkutan negeri ke arah yang lebih efisien, kata Mohd. Ali, pihaknya akan menemui semua syarikat pengendali bas lama yang berjumlah 230 bas di seluruh negeri bagi menaik taraf sistem pengangkutan bas awam.

Katanya, perbincangan itu dibuat sebagai susulan langkah kerajaan Pusat menyalurkan peruntukkan RM12 juta setahun bagi membolehkan kemudahan bas lama dinaik taraf atau diganti baru.

Sementara itu, Ketua Menteri berkata, jawatankuasa khas homestay yang dipengerusikan sendiri oleh beliau telah mengenal pasti 300 buah rumah lama di seluruh negeri untuk disewa bagi tujuan penyediaan homestay.

‘‘Kita juga sudah melantik anak syarikat Perbadanan Ketua Menteri, Muda Sdn. Bhd, untuk melaksanakan program ini dan saya sedang mendapatkan senarai rumah-rumah lama yang sesuai bagi dimasukkan ke dalam program ini,” katanya.

Kata beliau, 300 buah rumah lama itu akan disewa secara berperingkat oleh kerajaan negeri dengan permulaan di kawasan Melaka Tengah sebelum diikuti oleh daerah lain.