Sunday, 17 January 2010

Melaka pertama guna Aerorail



MELAKA - 17 Jan, Satu sistem pengangkutan Aerorail yang pertama di Asia Tenggara bernilai RM1.8 bilion bakal dibina di bandar raya Melaka menghubungkan Ayer Keroh dengan Banda Hilir, tidak lama lagi.
Berbeza dengan monorel atau sistem transit ringan (LRT), gerabak penumpang Aerorail yang dibina syarikat Pyramid Express Sdn. Bhd. bergerak menggunakan trek kabel.
"Ia melibatkan laluan sepanjang 18.4 kilometer dengan pembinaan fasa pertama bermula berhampiran Melaka Mall sehingga Dataran Pahlawan di Banda Hilir," kata Pengarah Urusannya, Datuk Lim Sue Beng.
Beliau berkata demikian selepas upacara pecah tanah projek berkenaan di Dataran MBMB yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, semalam.
Projek yang sama turut menyaksikan syarikat itu membina 10 buah hotel bertaraf empat bintang di setiap stesen Aerorail yang bakal dibina kelak.
"Melalui 10 stesen bakal dibina dalam kedua-dua fasa, tempoh perjalanan dari Ayer Keroh ke Banda Hilir hanya mengambil masa sekitar 45 minit tanpa melalui kesesakan trafik," ujarnya sambil menambah, projek tersebut dijangka siap pada 2012.
Selain Malaysia, teknologi sama telah digunakan di Switzerland, Kanada, Jerman dan Amerika Syarikat.
Terdahulu, Mohd. Ali berkata, sistem Aerorail yang menggunakan teknologi Amerika Syarikat akan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di bandar raya Melaka.
"Kenderaan yang masuk ke bandar raya Melaka semakin bertambah terutamanya di hujung minggu dengan kedatangan pelancong.