Saturday, 27 November 2010

Transformasi fesyen terompah


MELAKA 26 Nov. - Suatu ketika dahulu, penggunaan terompah begitu popular di beberapa buah negeri terutamanya Melaka.

Penggunaan terompah yang berukir indah nampak lebih menarik apabila dipadankan dengan pemakaian baju kurung pesak atau kebaya nyonya.

Tidak hairanlah di awal kegemilangan penggunaan terompah ia turut diminati bukan sahaja oleh golongan wanita tetapi lelaki kerana kepelbagaian fungsi selain keunikan reka bentuknya.

Jika kaum wanita memakai terompah dipadankan dengan baju kurung pesak dan kebaya nyonya manakala bagi kaum lelaki pula sering memakainya ketika pergi ke surau atau sebarang majlis keraian.

Ini kerana terompah lasak untuk dipakai kerana diperbuat daripada kayu ditambah dengan pelbagai corak dan warna ia menjadikannya lebih menarik.

Terompah juga mempunyai nilai warisan yang unggul kerana ia mewakili masyarakat Baba Nyonya, Melayu, Cina dan India.

Namun, peredaran masa selain perkembangan pesat dalam industri fesyen kasut sehingga terhasil pelbagai rekaan capal atau sandal yang lebih selesa dipakai, akhirnya telah menenggelamkan tradisi terompah.

Ini menyebabkan industri terompah mula gulung tikar dan mereka yang mengusahakannya pula boleh dibilang dengan jari.

Kalau ada pun ia dijadikan sebagai perhiasan kerana keunikan ukirannya.

Pada masa ini, pembuatan kasut terompah masih wujud tetapi diberi nafas baru dengan seni lukis dan warna untuk menambah tarikan padanya.

Bagi pengusaha terompah, Angela Chian Yook Yin, 45, minatnya yang pada awalnya sekadar suka-suka akhirnya menjadi sumber pendapatan bulanannya.

Kegemarannya melukis dan mewarna sejak kecil nyata tidak sia-sia apabila bakatnya digunakan untuk menghasilkan terompah istimewa yang dihiasi dengan corak yang dilukis dan diwarnai sendiri.

Angela yang mula menceburi bidang tersebut dua tahun lepas berkata, pada awalnya dia hanya melukis dan mewarna corak pada sepasang terompah untuk kegunaannya sendiri.

Namun demikian, disebabkan corak yang dihasilkannya kelihatan cantik ia telah menarik minat rakannya untuk membeli terompah tersebut.

Menurut Angela, selepas itu seorang demi seorang rakannya tertarik dengan hasil seninya yang halus lalu membeli terompah lain yang turut dihias dengan pelbagai corak.

''Sejak dari itu timbul idea untuk saya memulakan perniagaan ini kerana semakin hari semakin banyak tempahan yang diterima.

''Akhirnya perniagaan kecil-kecilan yang pada mulanya dibuat di rumah dikembangkan dengan menjual hasil seni saya di kedai," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurut Angela, untuk menyiapkan corak hiasan pada sepasang terompah bergantung kepada corak dan saiz terompah tersebut.

Katanya, hiasan corak sepasang terompah mengambil masa satu hingga dua hari untuk disiapkan kerana dia perlu menunggu sehingga warnanya kering dengan sepenuhnya.

''Tidak kurang juga yang meminta saya menjahitkan manik pada terompah yang ditempah untuk menjadikan ia kelihatan lebih menarik. Menjahit manik adalah antara proses yang paling sukar," katanya.

Tambahnya, terdapat 12 jenis corak berlainan yang kesemuanya berasaskan bunga yang boleh dipilih oleh pelanggan.

Sementara itu, saiznya pula adalah antara satu hingga 12 untuk kanak-kanak dan dewasa.

Menurutnya harga sepasang terompah yang siap dihiasi dengan corak pula antara RM22.90 hingga RM250.

Bercerita tentang pelanggannya pula, Angela berkata, kebanyakannya merupakan masyarakat bumiputera terutama golongan wanita Melayu yang suka memakai terompah buatannya.

Kedainya yang terletak di Galeri Warisan, Dataran Pahlawan sering dikunjungi pelanggan yang datang dari pelbagai negara.

''Ada di antara pelanggan yang datang merupakan penduduk tempatan di negeri ini tapi tidak kurang juga pelancong dari negeri lain seperti Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

''Tidak kurang juga pelancong dari luar negara seperti Singapura, India, Indonesia, Thailand dan Australia yang turut tertarik membeli terompah untuk dijadikan sebagai buah tangan," katanya.

Menurut Angela, untuk mempelbagaikan lagi bakatnya melukis dan mewarna corak, dia juga berjinak-jinak untuk mengaplikasikan ia pada pinggan mangkuk.

Oleh MARGARET GAMBANG

Thursday, 25 November 2010

417,079 pelawat kunjungi Menara Taming Sari

MELAKA 24 Nov. - Menara Taming Sari Berhad (MTSB) mencatat kutipan sebanyak RM3.92 juta melalui 417,079 pengunjung yang menaiki produk pelancongan menara berputar itu dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazary Ahmad berkata, kutipan sebanyak RM3.92 juta itu dicatatkan sepanjang tempoh 276 hari menara itu beroperasi dari 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.

Menurut beliau, jumlah tersebut menurun sedikit berbanding kutipan sebanyak RM3.93 juta sepanjang 283 hari beroperasi dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Ini bermakna, terdapat perbezaan tujuh hari waktu operasi antara tahun lalu dan tahun ini menyebabkan pendapatan tahun ini berkurangan sebanyak RM13,791.

"Walaupun tujuh hari tidak beroperasi tahun ini, perbezaannya tidaklah begitu ketara kerana MTSB sentiasa memperkenalkan pakej promosi selain nilai tambah kepada produk-produk sedia ada," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Secara purata, menurut beliau, menara berputar setinggi 110 meter memperoleh jualan tiket sekitar RM12,000 atau RM14,000 sehari.

Tambahnya, dalam tempoh dua tahun tersebut, kutipan bulanan tertinggi pernah diperolehi MTSB adalah sebanyak RM667,345.50 sepanjang 30 hari beroperasi pada Jun tahun lalu.

"Sebanyak 75,582 tiket telah terjual pada bulan tersebut.

"Pada Januari lalu pula, walaupun hanya beroperasi selama tiga hari, kita berjaya kutip sebanyak RM153,112 apabila 12,941 orang menaiki menara berputar ini," katanya.

Menara Taming Sari mula dibina pada Ogos 2006 dengan menggunakan kepakaran kejuruteraan dari Switzerland dan mula beroperasi sejak 18 April 2008.

Berperanan sebagai menara tinjau, ia boleh menampung kapasiti sehingga 66 orang dalam satu-satu masa.

Monday, 8 November 2010

P. Pinang gagal saingi Melaka


Sangat menghairankan kerana segala-galanya dimiliki termasuk 191 penerbangan antarabangsa seminggu tetapi negeri ini gagal meningkatkan jumlah kemasukan pelancong.

Malah, Pulau Pinang gagal mengatasi Melaka walaupun negeri itu tiada penerbangan antarabangsa dan kemudahan lain seperti di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen hari ini menyatakan kehairanan beliau bagaimana negeri ini hanya dikunjungi 5.5 juta pelancong tahun lalu berbanding Melaka, 8.9 juta orang.

Menurutnya, berbanding Melaka, negeri ini bukan saja mempunyai lebih banyak tarikan pelancongan malah menerima jumlah bantuan yang jauh lebih besar daripada Kerajaan Pusat termasuk peruntukan RM143 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).

"Apa yang berlaku tidak perlu saya nyatakan. Statistik menjelaskan segala-galanya dan sesuatu perlu dilakukan.

"Kerajaan negeri tidak boleh berharap kepada Kerajaan Pusat sahaja untuk promosi kerana kementerian bertanggungjawab untuk semua negeri, tidak hanya untuk memperkenalkan Pulau Pinang," katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis pra pelancaran Projek Menaik Taraf Sistem Kereta Api Bukit Bendera di sini, hari ini.

Menerusi projek membabitkan kos RM68.8 juta itu, kereta api jenis furnikular yang digunakan sejak 1923 digantikan dengan kereta api jenis elektrik yang lebih moden serta memberi keselesaan kepada pengunjung ke Bukit Bendera.

Kemudahan itu yang kini 90 peratus siap dijangka beroperasi Mac depan dan apabila siap sepenuhnya kelak, projek itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk operasi dan penyelenggaraan.

Menurut Yen Yen, potensi negeri itu menjadi peneraju sektor pelancongan cukup tinggi tetapi memerlukan komitmen tinggi daripada kerajaan negeri kerana sesetengah aspek bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat atau kementerian.

"Kuasa dan tindakan itu terletak di tangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka perlu peka mengenai perkara ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara perkara yang menjadi tanggungjawab kerajaan negeri adalah menjaga kebersihan, mempromosi dan mengambil tindakan menerusi PBT terhadap aduan pelancong.

"Contohnya, banyak aduan saya terima berhubung sukan air di Batu Feringghi. Begitu juga soal kebersihannya yang mungkin menjejaskan sedikit sebanyak kedatangan pelancong ke negeri ini.

"Kita tiada kuasa untuk menyelesaikannya sebaliknya ia tanggungjawab kerajaan negeri dan mereka harus bertindak menanganinya," katanya.

Dalam pada itu, Yen Yen berkata, sebaik sahaja projek menaik taraf sistem kereta api Bukit Bendera selesai hujung tahun ini, pihaknya akan menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan bentuk operasi termasuk kadar tambang.

Katanya, proses penyerahan berkenaan akan dibuat menerusi satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

"Kementerian telah memperkenalkan satu dasar baru iaitu projek-projek yang kita buat akan kita serahkan pada kerajaan negeri melalui MoU.

"Menerusinya, kerajaan negeri tahu apa patut mereka buat. Ini untuk mengelakkan projek yang kita buat membazir apabila berlaku salah faham mengenai pengurusannya," katanya.